Pasca Gempa: Bikin Orang Jatuh Cinta Lagi, Bisakah Lombok?
Bibit persoalan memburu kala gempa dan tsunami dahsyat Palu, Sulawesi Tengah mengimbas musibah Lombok yang masih membekas, tentunya bukan dalam jangka masa sebentar.
Oleh Zurina Waji
KECANTIKANNYA masih bersisa di balik simpang siur di muka yang membiaskan perjalanan hidupnya. Berbatik, dia duduk memeluk lutut di ambin rumah beratap lalang dan bertembok anyaman buluh itu.
Hati berdetik, cuba menebak usianya.
“Nenek Ramelan? Oh, 102 tahun dia!” kata seorang pemuda belum separuh baya usia.
Diajak bicara, sosok tua itu sekadar mengumam. Pemuda tadi senyum, mencelah: “Maaf, nenek ini tidak mengerti bahasa Indonesia. Orang tua-tua kami yang berusia lebih 50 tahun cuma bisa berbahasa Sasak.”
Di Rembitan, Pujut dalam wilayah Lombok Tengah yang kurang setengah jam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, penghuni tua seperti Nenek Ramelan adalah legasi masyarakat Sasak tradisional Desa Sade.
Dari seni bina rumah berlantai tanah, berselang lumbung padi hinggalah pada penampilan masyarakat petani ini yang mana wanitanya merupakan penenun, desa kecil di perbukitan yang dihuni 152 keluarga itu masih berpegang teguh pada tradisi yang diwarisi seawal era pemerintahan kerajaan Pejanggik yang berpusat di Praya sebelum runtuh pada 1696.
NENEK RAMELAN…Legasi suku Sasak
POHON CINTA…tempat memohon jodoh menurut kepercayaan warga Desa Sade.
Lombok yang berada dalam wilayah Nusa Tenggara Barat juga pernah menjadi sebahagian daripada empayar Raja Kareng Asem, Bali di bawah pemerintahan Anak Agung Gede Ngurah pada 1800 sebelum kedatangan Belanda.
Biar pun setelah Islam menebar, uniknya masih ada yang menjadi penganut Wetu Telu.
“Iaitu campuran sedikit Islam dan animisme kerana di awal penyebaran Islam itu tidak lengkap,” kata pemandu pelancong, Pak Didi, mengenai anutan Wetu Telu. “Islam dibawa masuk ke Lombok lewat pelbagai sumber, antaranya dari Jawa oleh Sunan Prapen iaitu cucu Sunan Giri. Juga dari Makassar selain pedagang.
“Ia adalah gambaran daripada kehidupan, tiga proses iaitu semasa di dalam perut, menjalani hidup dan akhirat. Jadi, sembahyangnya juga tiga kali iaitu pada Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha. Cuma, biar pun dulu ketika menganut animisme, masyarakatnya memperakui nenek kaji sak kuasa iaitu Tuhanku yang tunggal.”
Ditanya benarkah Nenek Ramelan di Desa Sade sudah mencecah usia 102 tahun, dia menggeleng.
“Dia memang tua tetapi belum sampai 100 tahun. Disebabkan orang tua-tua ini ramai buta huruf selain hanya bisa berbahasa Sasak, mereka biasanya mengagak saja umur atau bila berlakunya satu-satu kejadian,” katanya.
Menenun dan Diculik, Adat Sasak Jadi Rezeki
Syurga pelancong back-packers dan surfers asalnya, Lombok menyaingi Bali untuk mood chill. Daripada Pantai Tangsi yang digelar Pink Beach di wilayah Lombok Timur iaitu dua jam perjalanan dari kota Mataram, lantaran pasir merah jambunya ke biru kehijauan laut di gili yang bermaksud pulau-pulau kecil seperti Gili Trawangan adalah kenikmatan yang tidak dapat disangkal lagi.
Lombok yang penduduknya majoriti beragama Islam terus membina reputasi dengan meraih Destinasi Halal Terbaik Dunia di Anugerah Pelancongan Halal Dunia (WHAT) 2015 selain Destinasi Bulan Madu Halal Terbaik Dunia, menjadikan pelancongan industri kedua terbesar selepas pertanian.
PESONA…tarikan di Gili Trawangan
Di Desa Sukarare, penenun seperti Ani, 37, melihat pelancongan memberi nafas baru buat Lombok.
Miskin, wanita seperti Ani bergantung pada jualan kain tenunannya yang memerlukan masa tidak kurang tiga bulan untuk disiapkan. Baru 10 bulan melahirkan anak keduanya, dia berjalan kaki dari pusat jualan ke rumah mentuanya yang mengambil masa setengah jam, tiga kali sehari, hanya untuk menyusukan bayinya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana maraknya industri pelancongan Lombok, walaupun hanya berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, bermakna rezeki buat banyak keluarga sepertinya, apatah lagi suaminya yang bersawah hanya beroleh pendapatan 15 Ribu Rupiah atau kira-kira RM4.05 sehari.
Dan masa depan lebih baik, tentunya buat Askar, bayinya.
Suku Sasak secara tradisinya menuntut anak gadis belajar menenun seawal usia sembilan tahun.
“Ikut adat Sasak, perempuan itu tidak boleh berkahwin sehinggalah dia pandai menenun,” kata Pak Ram yang memandu van pelancong. Lucu, bicara penuh bersirat, perbualan pantas beranjak pada adat culik masyarakat Lombok, di mana perempuan dilarikan lelaki yang mahu mengahwininya.
“Di Lombok, anak gadis kalau hilang biasanya diculiklah. Ia adat, tak salah tapi bukan boleh sembarangan culik kerana mesti suka sama suka. Perempuan dilarikan ke rumah keluarga lelaki, diusahakan tanpa keributan dan merupakan sebahagian prosesi perkahwinan sebelum penikahan.”
Alam dan Kesombongan Manusia
Subuh 29 Julai, Lombok dilanda gempa bumi. Gempa berpusat berhampiran Gunung Rinjani yang berukuran 6.4 skala Richter dan meragut 17 nyawa, termasuk seorang pendaki rakyat Malaysia itu hanya amaran pada gempa susulan seminggu kemudian yang menyebabkan kerosakan bernilai RM1.39 bilion.
Data Penanganan Darurat Bencana sehingga 23 Ogos lalu mencatat 555 kematian, di mana 466 direkodkan di Lombok Utara yang mengalami goncangan kuat. Seramai 390,529 orang didapati hilang tempat tinggal ekoran kemusnahan 74,000 kediaman dan mengakibatkan 7,000 orang cedera. Hampir 1,000 gegaran selepas gempa, termasuk satu yang berukuran 7.0 skala Richter melambatkan usaha pemulihan.
Lalu, timbul kegusaran. Bukan hanya hal kemanusiaan, tetapi juga industri pelancongan dengan sasaran kedatangan 4 juta pelancong bagi 2018 yang bersangkut perekonomian masyarakatnya. Kala Lombok terkial-kial, Sulawesi Tengah pula dilanda gempa dan tsunami pada 28 September lalu. Gempa berpusat di wilayah Donggala pada ukuran 7.5 magnitud itu mengorbankan lebih 2,000 nyawa, menjadikannya paling bahaya di dunia, tahun ini.
Soalnya, secepat mana Lombok dapat pulih?
Eksodus pelancong dari Lombok, antaranya dengan keributan kerana berebut-rebut mahu meninggalkan Gili Trawangan dalam keadaan bot tidak mencukupi, menambah kepanikan dunia yang menyaksikan sekurang-kurangnya 17 negara termasuk Peranchis, Britain dan Australia, selain Malaysia mengeluarkan amaran kembara susulan kejadian gempa.
Di pantai Senggigi, gempa mengakibatkan hotel seperti The Santosa Villas and Resort terpaksa ditutup selama lapan bulan bagi kerja-kerja pembaikan. Sedang di Gili Trawangan, di mana penunggang basikal dan kereta kuda yang digelar Cidomo biasa dilihat melewati deretan resort mewah yang dalam pembinaan, sepi seolah tidak berpenghuni.
Ia bagaimanapun, dikatakan tidak separah impak berikutan penutupan Gunung Rinjani di Lombok Utara sehingga sekurang-kurangnya setahun bagi kerja pemulihan sebelum hanya boleh dibuka semula pada 2020.
Pada ketinggian 3,726 meter, gunung berapi kedua tertinggi Indonesia ini adalah sebahagian daripada Taman Nasional Rinjani yang berkeluasan 41,300 hektar. Gunung dengan trek pendakian terbaik di Asia Tenggara ini dikenali dengan keindahan alamnya seperti Danau Segara Anak yang memukau pandangan serta menjadi tempat suci penganut Hindu Bali untuk memuja semangat gunung, selain penganut Wetu Telu yang melakukan ritual pada malam-malam bulan mengambang.
SENJA…di Pantai Kuta, Lombok
Tiga bulan berlalu dan menurut Irma dari Hero Lombok Travel yang beroperasi di kota Mataram, Lombok yang kini dalam tahap pemulihan sudah mulai menerima kunjungan pelancong seawal Oktober lalu.
“Benar, ada hotel yang hancur di Gili Trawangan misalnya, tapi masih bisa dikunjungi termasuk Gili Meno dan Gili Air, dan destinasi percutian lainnya seperti Air Terjun Sendang Gile dan Tiu Kelep tetap dibuka, selain Pink Beach.
“Pasca gempa masih okay kerana impak gempa berdampak di Lombok Timur dan Utara,” jelasnya.
Hati bagaimanapun, bagai diketuk apabila Pak Didi yang pernah menjadi pemandu pendaki di Gunung Rinjani, berkongsi pandangan: “Jangan sombong sama alam. Mungkin Tuhan mahu beri peringatan, sebenarnya. Mungkin Rinjani sendiri sudah lemas dijamah manusia. Ini mungkin cara Rinjani untuk beristirehat dan manusia jangan sombong, belajar menghormati alam.”
Kedamaian Lombok yang tidak sebingit Bali mungkin antara sebab pelabur seperti bintang Hollywood, David Hasselhoff pun mahu melabur menerusi satu pembangunan mewah di Gili Meno. Juga Indonesia, di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo, yang bakal menyaksikan pembangunan resort berintergrasi Mandalika di Lombok Selatan.
Sudah tentu, masyarakat dunia diharap memahami apa yang berlaku di Lombok adalah kehendak alam. Dan dalam usaha Lombok memulihkan dirinya, barangkali apa yang diungkapkan Pak Didi berikutnya perlu disemat, “Saat ekosistem diganggu, budaya dan kerohanian tidak dihormati, adakah anda fikir Tuhan akan membiarkan kerakusan itu berleluasa?”