Generasi Seluar Dangri dan Ella Yang Tak Terganti

Di tengah kericuhan pasca konsert Majlis Tertinggi Rockqueen, ada satu hakikat tak mampu dipadamkan.
Oleh Zurina Waji | Foto Hitman Solutions
“Selepas Negaraku, barangkali, Standing In The Eyes of The World paling memberi bekas daripada segi rasa – membakar semangat patriotisme, merungkai kecintaan pada negara bernama Malaysia.”
Di era ketika benchmark sesebuah pertunjukkan diukur dengan kenyataan, “Tak ada orang yang baling botol ke pentas”, Ella telah mencipta momen bersejarah. Bukan sekali.
Sejak 1980an lagi. Iaitu, ketika era tauke funfair mengusap perut sambil tersenyum, lebar sampai ke telinga. Kerana Battle of the Band membawa puluhan band rock ke pentas, dan berbondong fans, mat dan minah rock.
Itulah era yang memberikan pentas kepada Ella & The Boys yang meledak dengan Dua Insan Bercinta, karya Lord dan lirik oleh Ayi yang masih terasa hangatnya biarpun setelah hampir empat dekad.
Bikin sejarah, harus diketahui, bukan asing dalam kamus perjalanan Ella.
Sesuai dengan gelar Ratu Rock, terbaru di konsert Majlis Tertinggi Rockqueen (MTR) di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menawarkan tiket serendah RM39 telah meraih kehadiran 55,000 orang.
Ini tentang bagaimana malam anjuran Hitman Solutions itu menyaksikan Ella bertandang lagi, mengembalikan detik ikonik Sukan Komanwel 1998 ketika Standing In The Eyes of The World berkumandang, live, buat pertama kali.
Diiringi jaguh skuasy dunia, Datuk Nicole Ann David; ratu gimnas, Farah Anne; serta dua pemegang rekod Sukan Paralimpik, Zyad Zulkifli dan Mohamad Rdizuan Mohamad Puzi, menaiki trak mengelilingi stadium, gelojak di dada tidak dapat disangkal lagi.
Selepas Negaraku, barangkali, Standing In The Eyes of The World paling memberi bekas daripada segi rasa – membakar semangat patriotisme, merungkai kecintaan pada negara bernama Malaysia. Rasa mengharukan itu datang seawal piano berdenting dengan kemunculan penciptanya, Datuk Wah Idris di pentas.
Di bawah sorotan lampu, berlatar pentas kelam, ia mengingatkan bagaimana Wah yang menciptanya bersama David Gates dengan lirik oleh Datuk Habsah Hassan, berjuang untuk Ella ketika beberapa penyanyi popular lain turut menginginkannya.
Bernuansa light rock, lagu berusia 28 tahun itu ternyata tidak pernah gagal untuk menjentik sebak di hati, menjadi antem patriotisme yang melangkaui warna kulit dan latar. Rasa padu yang diberikan bunyian kompang, idea cetusan Ella semasa rakaman kerana mahukan suntikan budaya Malaysia, masih membangkitkan aura dan meniupi roh lewat suara serak basahnya itu.
MTR, pada malam itu, mencipta momen paling bermakna apabila roh Standing In The Eyes of The World meresapi satu stadium yang ikut bernyanyi dan tidak hairanlah apabila ada yang mengakui tentang air mata yang ikut bergenang.


BACA: Kos Produksi Hampir RM2 Juta, Sejarah Bakal Tercipta di Konsert Ella
“Peace.Love.Rindu, juga ciptaan Lord, untuk duet Ella dan suami, Kapten Azhar lama tidak saya perhatikan sehingga akhir-akhir ini, ia membawa benih rasa cinta merpati dua sejoli ini yang memperluaskan erti… “
BIKIN SEJARAH
Bagi portfolio Hitman Solutions, MTR seharusnya menjadi konsert paling gah pernah diadakan. Konsep pentas separa bulan sepanjang 35 meter yang melambangkan MTR sebagai simbol penyatuan fans itu membuat ramai terkesima.
Impresiif, setanding energi Ella selama tiga jam persembahan dan suara yang menghambat audiens, terutama generasi seluar dangri yang jadi saksi kelahiran seorang Puteri Rock beserta imej rebel yang dibawanya selepas meninggalkan The Boys.
“Very raw. Very street, pakai jeans, T-shirt, jeans koyak,” kata Datuk Ramli Sarip lewat tayangan video. Produser album solo pertama, Pengemis Cinta itu memberikan pernyataan, “Ella, bila dia buat performance, dia adalah Ella. Tak boleh nak cakap dia (macam) siapa. Tapi dialah Ella. Itu dia.”
Dangri, dalam dunia saya, datang daripada arwah Abah, mantan Tentera British di Singapura. Simbol rebel, ia berevolusi melewati perang dan liberasi, ke zaman hippie dan diadopsi seniman muzik ke kelompok grunge serta hip hop dan fesyen jeans mereka.
Dan Ella adalah sebahagian daripada perubahan itu. Ikon, dalam muzik juga fesyen, mendengarnya dengan tenaga tidak terkuras pada usia hampir mencecah 60 tahun, seolah dihambat kembali ke zaman kaset dan gaya rawnya.
Iaitu, ketika bait puitis ke sufisme menjadikan muzik keras rock sebagai platfform, menongkah zaman, menghidupkan bara nostalgia sepertimana diberikan Ella seawal membuka panggung dengan Rama-Rama, diiringi persembahan memukau koir 30 kanak-kanak.
Atau, ketika dia jmemberikan tributenya kepada rocker wanita, daripada Ratu Rock Indonesia, Allahyarham Nike Ardilla ke Ruhil Amani, lewat Kawan, juga Salam Untuk Kekasih, Nadia; melangkaui ekspektasi dengan Setelah Aku Kau Miliki sebagai penghargaannya kepada Shima.

Senarai tamunya? Penghormatan buat sang Ratu jelas ketara, baik ketika Joe Flizzow memberikan versi rapnya dalam duet Bayangan, juga dalam angin segar yang dipinjamkan Sam Bunkface dan Amir Masdi, selain Tam Spider untuk duet paling dinantikan, melagukan Dunia Batinku, pertama kali dalam 20 tahun.
Amy mungkin tidak memberikan duet terbaik dengan Dua Insan Bercinta, tapi aura frontman Search itu dengan jaket gothicnya tidak mungkin dikesampingkan. Seperti halnya Lord dan Satiman bukan sekadar The Boys, tapi lebih dalam, menyoroti perhubungan lebih empat dekad yang sempat dingin sehinggakan Layar Impian terpaksa diberikan Lord dalam diam pada fasa itu.
Peace.Love.Rindu, juga ciptaan Lord, untuk duet Ella dan suami, Kapten Azhar lama tidak saya perhatikan sehingga akhir-akhir ini, ia membawa benih rasa cinta merpati dua sejoli ini yang memperluaskan erti dengan menyisihkan RM2 bagi setiap tiket yang terjual untuk kebajikan.
Ella, tampil serba putih sebelum separuh masa kemudian santai dengan baju T putih dan jeans, memberikan semua itu bersama para pemuziknya di bawah Pengarah Muzik, Datuk Acis. Tidak menyedari keributan awal pada audio yang memberi dampak pada sebahagian audiens di Tingkat 3, malam MTR sememangnya mencipta banyak momen yang tidak mudah terlupakan.
Sementara penganjur harus dipertanggungjawabkan, malangnya Ella diheret sama dengan cara yang tidak adil. Masih, di tengah tulus suaranya meneriakkan, “Free Palestine!”, terngiang-ngiang Datuk M Nasir memberi pandangan, “Dan tak ada orang lagi yang boleh gantikan dia.” Titik.




Comments are closed.