Liyana Jasmay, Bidan Terjun yang Hangatkan Fantasi Fiksi
Kenapa karya romantik komedi arahan Tam Suhaimi ini lain daripada yang lain.

Oleh Zurina Waji | Foto Roslen Fadzil dan UTV

“… daripada pandangan penulis itu, ia jadi lucu sebab dia masuk ke alam yang dia tulis dan dia sedar apa yang ditulisnya sebenarnya tak masuk akal.” – Liyana Jasmay

SEKILAS, dengan dres pendek dan dandanan seakan gadis anime itu, tidak kelihatan seperti tuan punya badan akan meraikan ulang tahunnya yang ke-38 kelak. Jauh sekali menduga dia juga seorang ibu beranak satu.

Cuma apa yang nyata, keupayaannya di layar sememangnya sukar disangkal.

Di majlis Tayangan Media telefilem terbaharu UTV Original, Fantasi Fiksi, baru ini, bukan saja penampilan Liyana Jasmay yang menarik perhatian para tetamu, malah kerana angin segar yang diberikannya pada karya berkenaan.

Tapi anehnya, dia bukan saja menerima tawaran itu tanpa mengetahui cerita mahu pun peranan yang akan dibawa, malah sebenarnya bidan terjun menggantikan Nora Danish yang terpaksa melepaskan separuh jalan, ketika itu.

“Tam telefon saya, bertanya ‘Nana, Nana awak buat apa sekarang?’” katanya, mengimbau perbualan dengan pengarah, Tam Suhaimi yang memanggilnya Nana. “Katanya lagi, ‘Awak kena tolong saya. Saya kena shoot cerita ni.

“Sebab sepatutnya Kak Nora (Danish), tapi dia dah kena Covid pula. Tak tanya apa pun, berlakon jadi apa, tak tanya. Semuanya tak tanya sebab percayakan kawan-kawan. Saya cuma tanya, okey bila nak shoot?”

Gandingan pelakon hebat antara kekuatan karya ini yang menghimpunkan empat pemegang trofi Festival Filem Malaysia (FFM), iaitu Sharifah Amani, Pelakon Wanita Terbaik FFM19 (Gubra); Amy Mastura, Pelakon Wanita Terbaik FFM14 (Puteri Impian), dan Sazzy Falak, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM19 (Gol & Gincu), selain Liyana sendiri yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik FFM19 lewat filem Papadom.

Turut dibarisi Iedil Dzuhrie, Sherry Al-Hadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadun, dan Luqman Hafidz, aktres yang juga pengarah ini mengakui menyukai cerita yang ditulis Tam itu sebaik menerima skripnya.

“Saya suka sebab (mengenai) penulis kan, benda ini banyak terjadi dalam industri (lakonan) kita. Ada penulis yang bersikap defensif, dan ada penulis jenis tak kisah, apa-apa komen pun dia terima.

“Tapi apabila cerita dibuat daripada pandangan penulis itu, ia jadi lucu sebab dia masuk ke alam yang dia tulis dan dia sedar apa yang ditulisnya sebenarnya tak masuk akal. Ia adalah satu sentuhan yang indah, jarang dapat cerita macam ini yang memang Tam punya fortelah,” katanya.

“Terperangkap dalam dunia penulisan dia sendiri, twistnya di dalam ini, Azalea adalah the other woman. Dalam watak telenovela Melayu, dan Indonesia misalnya, watak the other woman itu akan dibenci sekeras-kerasnya.” – Tam Suhaimi

SINOPSIS

Azalea, seorang penulis skrip yang sering dikritik kerana cerita klise, terperangkap di dalam dunia fiksyen ciptaannya sendiri selepas satu insiden di set. Untuk kembali ke dunia sebenar, dia perlu membuat Irfan jatuh cinta kepadanya walaupun sedar dia menjadi watak antagonis. Kini, dia perlu memilih sama ada mengikut takdir cerita atau mengubah nasibnya sendiri.

Fantasi Fiksi, menurut Penerbit dan Presiden UTV, Datuk Nana Hasan, adalah sebuah naskah lain daripada yang lain.

“Ceritanya buat kita rasa geram pada Azalea, ada rasa nak marah. Ia ada benda yang akan buat orang tak sabar nak tengok apa berlaku seterusnya. Ia berbeza dan kelakar, suatu yang akan disukai rakyat Malaysia,” katanya.

Jadi watak klise, over the top, dalam dunia fantasi yang dimainkan Liyana, menurut Tam, mencambahkan pelbagai momen mencuit hati dengan plot twist yang akan menambah keterujaan audiens.

“Terperangkap dalam dunia penulisan dia sendiri, twistnya di dalam ini, Azalea adalah the other woman. Dalam watak telenovela Melayu, dan Indonesia misalnya, watak the other woman itu akan dibenci sekeras-kerasnya.

“Jadi, apakah harapan dia untuk memenangi hati si hero itu?” katanya.

Ditanya mengenai Iedil yang tampil berbahasa Indonesia , akuinya, pemilihan pelakon itu menepati karakter Irfan yang diciptanya, iaitu seorang lelaki yang berdarah campuran Indonesia.

“Saya tak suka apabila kadang kita tengok di TV, misalnya watak pembantunya (dilakonkan) orang Malaysia, tapi disuruh cakap bahasa Indonesia, jadi bunyinya tahu sangat dibuat-buat. Saya fikir siapa pelakon Malaysia yang boleh berbahasa Indonesia, maka Iedil orangnya,” katanya.

Menariknya Iedil, seperti Liyana, juga menerima lamaran Tam tanpa bertanya apa-apa pun.

“Tam ada banyak idea yang sangat menarik dan cerita ini sangat segar, jadi saya fikir kenapa tidak? Kebetulan saya ada kelapangan, lebih lagi bila tahu ramai kawan lain pun ada,” kata Iedil yang berlakon seawal usia 14 tahun lewat filem, Iman Alone, arahan Datuk Rahim Razali.

Satu pengiktirafan daripada Sharifah Amani tentunya yang melihat Fantasi Fiksi sebagai satu escapism, menampilkansebuah cerita ringan yang turut memberikan pengalaman menyeronokkan buatnya.

Juga apabila dia berkongsi pandangan mengenai Liyana, “Saya tahu Nana akan bawa watak ini dengan sangat baik. Saya memang enjoy. Dalam cerita ini, akan nampak muka saya terkesima dengan pilihan yang Liyana ambil.

“Sebab amat menarik untuk melihat seorang pelakon sepertinya gembira dengan kerja dia. Dia gembira dengan ruangannya itu, dan saya gembira apabila melihatnya melakukan segalanya demi menghidupkan wataknya itu.”

Tapi, bagaimana dengan Nora Danish?

“Allah (beri) memang tak salah alamat,” katanya yang meminjamkan suaranya sebagai narator di dalam cerita ini. “Sakitnya saya, ketika itu, sebab Allah nak menjayakan cerita itu sebegini. Apabila Liyana Jasmay yang bawa, sangat sesuai watak itu untuknya berbanding saya. Alhamdulillah.

“Saya buat sebab Tam adalah kawan baik dan saya akan buat apa saja untuk menyokong Tam.” Eksklusif di aplikasi UTV, sila muat turun untuk menonton Fantasi Fiksi pada harga RM9.50 saja.