Biasa Main Gangster, Adam Corrie Rasa Aneh Bila Jadi Hero
Buka diari seni 2026nya lewat drama vertikal, termasuk jadi pengarah, positif di sebalik kesedihan pada Tahun Baru Cina ini.

Oleh Zurina Waji | Foto Helmi  (Teh Tarik Times)

“Sebab saya jarang bawa watak macam ini, jadi chef. Memang untuk menjiwai (watak) mulanya rasa pelik juga. Tambahan dengan dialog yang saya sangat tidak biasa lontarkan.”

“SAYA ni biasa pukul-pukul, bunuh-bunuh. Gangster, itulah saya,” kata Adam Corrie, ketawa, mengakui mengapa membawakan watak bertentangan, seperti menjadi seorang Chef agak mencabar buatnya.

Biar terasa aneh, awalnya, aktor dan usahawan ini bagaimanapun senang berpeluang memperluaskan keupayaannya lewat drama, Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa itu yang diarahkannya bersama Ollyn Khadri.

“Sebab saya jarang bawa watak macam ini, jadi chef. Memang untuk menjiwai (watak) mulanya rasa pelik juga. Tambahan dengan dialog yang saya sangat tidak biasa lontarkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa di ibu kota, baru ini.

Ujarnya, tidak hanya watak, malah projek ini juga menyaksikan keupayaannya duduk di kerusi pengarah dan bukan untuk drama biasa, tapi bereksperimentasi dengan drama vertikal bagi platform media sosial.

Tampil memegang watak Ah Seng, seorang lelaki mualaf, pemilik rangkaian kafe Kopihut ini tidak menafikan ada kesamaan mengenai jalan cerita drama itu dengan idea asal konsep Penerbit, Fazi Fuad.

“Persamaan mungkin dalam 50 peratus, daripada segi hidup sebagai peniaga dan seorang mualaf,” katanya mengenai drama itu yang akan memulakan tayangan pada 19 Februari ini, di platform TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie, jam 10 malam.

Selain Adam, drama ini turut dibintangi Kenji Sawahii, Sheila Mambo, Nam Ron, Jesse Lim, Ammar Alfian, Wan Gegau dan Izuan Razali. Ia menampilkan Kopihut, Aji-Ya dan Sentai untuk Kolaborasi dan Rakan Strategik.

“Saya dan Ollyn sama-sama buat pemilihan pelakon. Seperti Kenji, bukan kerana kami sudah lama berkawan, tapi kerana dia sesuai jadi bapa Ah Seng. Sama macam Ammar yang jadi pengawal peribadi ayah Ah Seng, cuma kali ini dia main watak baik,” tambahnya.

SINOPSIS

Mengenai Ah Seng, seorang mualaf, yang berdepan cabaran sejak membuka gerai pan mee. Selain persepsi masyarakat dan konflik nilai dalam dunia F&B, dia juga menghadapi tekanan daripada bapanya yang sukar menerima perubahan hidup anaknya itu. Penyertaan dalam sebuah pertandingan masakan, Halal Cookdown, antara titik penting dalam perjalanan drama ini.

“… mak tahu saya seorang Islam, jadi tidak ada babi. Mak masak ikan, udang, ketam. Alhamdulillah mak menerima saya, cuma tahun ini tidak ada sambutan Tahun Baru Cina kerana mak baru meninggal dunia… “

Ditanya mengapa menyasarkan platform media sosial, kata Adam, “Dunia sekarang, orang memegang telefon bimbit di tangan. Jadi, untuk memberikan mesej terbaik kepada masyarakat, drama vertikal yang kini menjadi trend adalah antara caranya.”

Mengambil masa enam hari penggambaran, ujarnya, proses pasca suntingan Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa bagaimanapun berlarutan sehingga dua bulan memandangkan ia membabitkan penggunaan grafik dan kesan khas.

“Mengarah dan berlakon pada masa sama tidaklah susah sangat apabila kita sudah tahu konsep, tahu apa nak dibuat pada babak sebab sudah berbincang awal. Jadi, bila turun saja ke set, dah boleh set up dan shoot,” katanya.

Bercerita mengenai dirinya, katanya, dalam gembira menanti respons terhadap penghasilan dramanya, di samping menyambut kehadiran Ramadan, Tahun Baru Cina yang mendahului mengundang sebak apabila mengingatkan pemergian ibunya, Lim Ah Hong, 84, bulan lalu.

Adam agak terkilan lantaran ibunya tampak sihat dalam pertemuan terakhir mereka, seminggu sebelum itu.

Gagal mengubungi ibunya, beberapa hari kemudian, katanya membuat hatinya resah sehinggalah seorang sahabat ibunya menemukannya sudah meninggal dunia di rumah bersama ubat sakit perut di sisi.

Mengakui akan sentiasa merindukan air tangan ibunya, terutama sambal udang dan masakan  sengkuang bersama sambal belacan, dia bersyukur kerana perhubungan mereka tidak terputus walaupun setelah dia memeluk Islam.

“Walaupun berlainan agama, keluarga saya tidak pernah menolak saya dan menerima saya dengan hati yang terbuka. Saya tetap balik Taiping untuk sambutan Tahun Baru Cina, tapi tidaklah terbabit dalam amalan seperti pada malam sambutan raya.

“Masa makan besar, kerana mak tahu saya seorang Islam, jadi tidak ada babi. Mak masak ikan, udang, ketam. Alhamdulillah mak menerima saya, cuma tahun ini tidak ada sambutan Tahun Baru Cina kerana mak baru meninggal dunia, tak sampai dua bulan.

“Sebagai menghormati keluarga, saya tak boleh sambut. Tak boleh pakai baju (warna) yang terang, bukan sebab percaya pada amalan, sekadar meraikan dan menjaga hati keluarga,” katanya, turut berkongsi selain dia, adik bongsunya juga beragama Islam kerana dipelihara bidan yang menyambut kelahirannya sejak berusia sekitar tiga bulan.