Wings Orang Kita: Testimoni Pasca 4 Dekad
Bagaimana konsert yang membuka tirai 2026 itu berbicara tentang masa depan band rock ini.

Oleh Zurina Waji | Foto RPM

“Pengkisahan Singa Sahara itu, gelaran sosok yang juga sahabat dan menantu Baginda Nabi SAW, mengimbau pada banyaknya karya lalu Wings, sepertimana banyak band rock era 80an-90an dengan lirik puitis ke sufisme… “

“SUSAH nak nyanyi.” Ternigang-ngiang suara Datuk Awie pada pertemuan, seminggu menuju ke Konsert Wings Orang Kita, sementara alunan muzik keJawaan membuka lagu yang diberi judul Khalifah Empat itu, menghiasi latar perbualan.

Ia juga menguatkan lagi rasa, jangan sampai terlepas momen semacam apa yang akan dipercikkan lagu karya Edrie Hashim itu apabila diperdengarkan kelak, buat julung kalinya, pada malam 30 Januari itu.

Kerana saya sudah jatuh cinta pandang pertama pada Khalifah Empat yang menurut pendiri band Wings ini berkisar tentang Sayidina Ali r.a, serta merupakan salah satu daripada empat lagu baharu mereka yang berada dalam set list.

Biar merasa aneh dengan dialog ikonik filem Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok (kata laluan untuk membuka pintu gua tempat persembunyian geng penyamun) pada pembuka dan penutup lagu, kecuali mungkin kerana bait Jawanya jika sekadar mahu membibitkan rasa Nusantara, keasyikan pada intipati karya itu tidak dapat dinafikan.

Pengkisahan Singa Sahara itu, gelaran sosok yang juga sahabat dan menantu Baginda Nabi SAW, mengimbau pada banyaknya karya lalu Wings, sepertimana banyak band rock era 80an-90an dengan lirik puitis ke sufisme daripada pengkarya seperti Allahyarham Loloq, Bob Lokman, JS Kevin, selain Datuk M Nasir, antaranya.

BACA: “Sekali air bah, sekali pantai berubah.” – Awie tentang Wings selepas 40 tahun

Bukan sedang-sedang vibrasi diberikan Wings pada malam di Zepp Kuala Lumpur itu, membuka tirai 2026 dengan formasi Sham dan Edrie di gitar, selain Awie, yang memilih meneruskan perjuangan bersama Pae (dram) dan Arm (bes) yang diserap usai konsert 40 tahun band itu, tahun lalu.

Sekeping Kertas Bermaruah membuka gelanggang Wings yang turut menggunakan khidmat pemuzik berpengalaman, Firdaus di keyboard, sambil audiens mengalu-alukan Merrah, putera Awie sendiri, sebagai salah seorang daripada penyanyi latar.

Lubuk Pusing, Ingatkan Dia, Romania, dan Rock N Roll Lu Punya Suka antara judul yang disusun bagi 10 lagu pertama, malam itu, termasuk Di Ambang Wati, lagu yang meniupkan jiwa pada romansa tiga dekad filem Sembilu yang malahan membuat rockers pun ikut cair!

“… Biarkan Berlalu memberikan momen mengharukan dengan Sham dan gitar solonya, kembali menyentuh hati seperti pada 1987, ketika lagu itu pertama kali dirakam untuk debut Belenggu Irama mereka.”

DARI NUSANTARA KE SWINGING 60S

Memasuki separuh malam, debar mulai menyisip. Segmen lagu baharu, menurut saya, adalah momen make or break Wings selepas empat dekad yang tidak diraikan tanpa keributan susulan pengunduran mengejut dua anggota lamanya.

Juga kerana sekitar 2,000 saksi yang akan mendengarnya live, buat pertama kali, akan menjadi testimoni terhadap keupayaan empat judul baharu – Yes I Know, Burong Tujuh dan Sang Kekasih selain Khalifah Empat – memandu dalam perjuangan, bersama pemuzik semuda Pae dan Arm yang diharap membawakan nafas segar sambil Wings mengekalkan DNA mereka.

Sebahagian malam anjuran Rumah Produksi Merah itu, serahkan kepada Awie yang tampil serba hitam bersama bandnya, semua berambut gondrong, untuk membuka segmen lewat Yes I Know yang membuat rasa seolah dicampak ke era swinging 60s.

Entah apakah kerana mood ala The Rolling Stones dan The Beatles, atau liuk tubuh yang mengiringi persembahan frontmannya, membangkitkan rasa seksi pada lagu tentang kesaksian dalam perjalanan seorang manusia sedari bayi itu.

Ketika ada yang turut berkomentar bagaimana muziknya mengingatkan pada band Inggeris, Uriah Heep yang melegenda dengan Lady in Black, harus diakui Yes I Know bakal memutikkan perspektif berbeza pada perjalanan Wings yang jelas memerlukan audiens baharu, melewati era Battle of the Band yang memperkenalkan mereka.

Jujur, tidak hanya muzik yang membawa pendengar merapati Wings, malahan pengaruh sang vokalis – anda fans atau tidak, mengagumkan dengan kelunakan suara serta mencapai key tertentu pada usia yang bakal mencecah 58 tahun.

Mahu tidak mahu, perlu diakui, pesona dimilikinya melangkaui pentas muzik. Apakah dia berdiri sebagai Awie sang rocker, atau Husin dengan loghat Peraknya (karekter dalam siri Hantu Kak Limah karya Allahyarham Mamat Khalid), malam Wings Orang Kita sekali lagi mengesahkan dia sememangnya seorang penghibur.

Rasa itu memuncak apabila audiens dibawa bernostalgia, antaranya lewat Opera Hidup, Hukum Karma, dan Sayap Ilusi, dengan Biarkan Berlalu memberikan momen mengharukan dengan Sham dan gitar solonya, kembali menyentuh hati seperti pada 1987, ketika lagu itu pertama kali dirakam untuk debut Belenggu Irama mereka.

Kala Lipas Kudung seharusnya menamatkan malam, Wings terpaksa akur bahawa malam itu tidak akan sempurna tanpa antem, Sejati. Benar, nostalgia memang mengasyikkan, tapi sampai bila?

Sejauh mana band Wings berani meneroka, bermula dengan bunga-bunga langkah baharu mereka lewat empat lagu baharu awal tadi, menurut saya, terzahir pada konsert, malam itu.

Justeru, menunggu Wings yang akan datang adalah keterujaan yang berbaloi untuk dinantikan.