‘Buah Hati’ Tomok Buat Peminat

Karya terbaru sebagai keraian ikatan antara mereka yang terjalin selama lebih dua dekad.
Oleh RUMI
“… ia mengangkat makna kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat, iaitu dalam melindungi, membimbing serta berkorban demi kebahagiaan anak-anak, disertai doa agar mereka membesar dengan baik, kuat dan bahagia.”
“BUAH Hati sangat dekat di hati saya,” kata penyanyi dan komposer, Tomok, yang membuka tirai 2026nya dengan pelancaran single terbaharu itu yang cicipta bersama Barr Hadiff dan lirik oleh Fedtri Yahya.
“Ia diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi.
“Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya menjadikan gabungan melodi dan mesej lagu ini sesuatu yang sangat istimewa. Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh semua peminat.”
Diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah label Luncai Emas yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik ini, menurutnya, karyanya itu sarat dengan tema kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi.
Jelasnya, ia mengangkat makna kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat, iaitu dalam melindungi, membimbing serta berkorban demi kebahagiaan anak-anak, disertai doa agar mereka membesar dengan baik, kuat dan bahagia.

Tomok, menerusi kenyataan medianya, berkata sebuah video lirik rasmi turut dikeluarkan, memaparkan foto-foto peminat bersama insan tersayang yang dihantar sendiri oleh mereka.
“Ini sebagai tanda penghargaan terhadap nilai kasih sayang dan kekeluargaan,” kata juara program realiti, One In A Million ini mengenai inisiatif istimewa itu yang mencerminkan usahanya untuk mendekati para peminatnya.
“Sekali gus meraikan ikatan cinta, kebersamaan dan hubungan emosi yang terjalin antara kami.”
Bermula sebagai vokalis kumpulan pop New Boyz sekitar tahun 1999, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, baru berusia 15 tahun, ketika itu. Meledak, antaranya dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang, dia dan kumpulannya memutuskan untuk berehat seketika selepas kejayaan konsert 25 Anniversary New Boyz Live in Singapore pada Oktober 2024.
Buah Hati kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Popsicle Records.




Comments are closed.