Bersuara Satukan Insomniacks & Yonnyboii Tentang Buli
Lebih heavy dan gritty, ia satu fasa baharu buat mereka daripada sudut bunyi dan mesej.

Oleh RUMI | Foto Universal Music Malaysia

“Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Dia tambah grittiness yang menjadikan Bersuara lebih hidup.” – Insomniacks

“YONNY adalah jiwa kepada lagu ini,” akui Insomniacks, merujuk Bersuara, single baharu yang dirakam bersama penyanyi solo itu yang memperlihatkan sebuah karya yang lebih berani dan emosional.

“Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Dia tambah grittiness yang menjadikan Bersuara lebih hidup.”

Ia malahan dianggap satu fasa baharu, baik buat Insomniacks mahu pun Yonnyboii, bukan saja dengan bunyinya yang lebih berat dan agresif, malah mesej yang dibawa, iaitu mengenai keberanian untuk menyuarakan perasaan serta mempertahankan harga diri.

Lahir daripada pengalaman peribadi, rasa tidak didengari, serta tekanan emosi yang sering dipendam, lagu ini tercetus daripada perasaan apabila pandangan dan suara seseorang seakan-akan diketepikan.

“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli” kata Insomniacks lagi, memetik kenyataan medianya. “Ia tentang tahu nilai diri dan berani bersuara.”

Ia menyerlahkan sisi heavy dan gritty dalam muzik mereka, namun masih mengekalkan elemen emosi yang kuat dalam membuka ruang kepada eksplorasi bunyi yang lebih tegas dan lantang, sekali gus menandakan perkembangan semula jadi dalam perjalanan muzik mereka.

Kolaborasi ini juga emperlihatkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif buat Yonnyboii yang selama ini dikenali dengan gaya rap, malah dia mengakui lebih selesa dengan genre ini.

“Saya sebenarnya lebih lama menjiwa muzik alternatif berbanding rap. Jadi, apabila masuk ke genre rock ini, saya rasa lebih selesa. Bagi saya, ini fresh start untuk berkongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” katanya.

Bersuara yang dikreditkan sebagai ciptaan dan lirik olehnya, Iqie, Danial dan Iskandar, serta diterbitkan oleh Insomniacks, Yonnyboii dan Taja MUH, katanya, juga berupa luahan peribadi yang sangat dekat dengan dirinya.

“Lagu ini terhasil apabila saya rasa saya tak didengari oleh sekelompok orang,” katanya, menyifatkan kolaborasi bersama Insomniacks memberikan pengalaman yang menyeronokkan dan bebas tekanan.

“Saya buat lagu ini sebagai keyakinan untuk bersuara tentang apa-apa kesusahan yang saya lalui. Ia tentang meluahkan apa yang kita pendam. Kalau simpan, sakit dia lagi dalam. Jadi, bersuara saja.”

Diharap dapat memberi impak kepada pendengar, Insomniacks dan Yonnyboii juga ingin Bersuara menjadi ruang selamat untuk meluahkan emosi dan sebagai peringatan tegas terhadap isu buli.

“Kami harap pendengar lebih berani mengekspresikan perasaan mereka dan lepaskan tekanan,” kata mereka. “Dan paling penting, hentikan pembulian.”

Bersuara boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 6 Februari lalu.