Antusiasme Malam Simfoni Luka
Digetarkan for Revenge dalam sebuah konsert yang bersorak dalam ribuan luka.

Oleh Zurina Waji | Foto Ecolalia Pictures

“… for Revenge membawa para penggemarnya untuk berjuang dalam galau, merintih dalam muzik keras, serta melagukan perasaan lewat bait lirik yang mengungkapkan apa yang mungkin tidak bisa diungkapkan… “

INI kali yang ke-3 buat for Revenge hanya dalam tempoh setahun, lebih sedikit, untuk bertandang ke Kuala Lumpur bagi konsert dengan antusias yang makin memuncak daripada para penggemarnya.

Malam Simfoni Luka, baru ini, menjadi bukti yang ditinggalkan band alternatif post-hardcore ini yang hanya menembusi pasaran Malaysia, akhirnya, selepas 18 tahun bergelar anak seni dengan tahun ini menyaksikan keraian dua dekad mereka dalam muzik.

Juga digelar band emo, ia menyaksikan keupayaan for Revenge membawa para penggemarnya untuk berjuang dalam galau, merintih dalam muzik keras, serta melagukan perasaan lewat bait lirik yang mengungkapkan apa yang mungkin tidak bisa diungkapkan selama ini.

Bahkan ang hadir kali pertama pun tidak mungkin terlepaskan daripada disapu gelombang vibrasi yang dicambahkan sekitar 2,000 anak muda yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur pada konsert anjuran ICON Entertainment itu.

Ia sekali gus membuat rasa ingin tahu sehebat manakah band asal Bandung, Indonesia ini.

Manifesto – Ribuan Luka menjadi pembuka panggung for Revenge, mengajak audiens untuk “kembali bersorak dalam ribuan luka, dalam ribuan kecewa, kita kembali bersua dalam ribuan luka, menanti reda yang tak kunjung tiba.”

Dipandu vokal Boniex Norwega, ada kalanya hampir melengking, band ini meneruskan malam dengan Derana, Jentaka dan Bernama Karma, sebelum hati dijentik lagi dengan kedalaman rasa diberikan Bandung Hari Ini dan Jakarta Hari Ini.

Kecamuk perasaan bagai terhampar tanpa selindung, mengesahkan pengakuan ramai penggemarnya bagaimana karya band ini membuat mata basah lewat lagu seperti Ku Benci Dunia dan Seisinya, antaranya.

Sudah tentu, tidak tertanding penantian terhadap Serana yang dirakam setelah kembalinya Boniex bersama pemain gitar, Chikal Nurzaman yang sempat meninggalkan for Revenge seketika. Sehinggakan apabila Penyangkalan harus menutupi malam, audiens seolah enggan melepaskan momen yang turut dikongsi Archims (dram), Izha (bes) dan Prasgs (gitar) itu.

Apatah lagi dengan pencahayaan sinematik yang bertepatan dengan jiwa yang dibuai oleh muzik yang disusun semula, eksklusif untuk persembahanlive ini,beserta visual khas yang membiaskan bait-bait yang dilagukan.

Malam Simfoni Luka, bagaimanapun tidak hanya memberikan for Revenge, malah lebih dulu menambat hati audiens dengan kehadiran band tanah air, Insomniacks, walaupun ini bukan gandingan pertama mereka, selain Midnight Fusic.

Pesona pop moden Insomniacks serta nuansa dreamy alternative Midnight Fusic membuka ruang untuk malam yang menggetarkan hati, usai pemanas badan oleh pendatang baru yang berpotensi, Bluntsheep, serta Natasya Sabella.

Sementara Midnight Fusic yang memberikan, antaranya Modus Operandi dan Caramel Cream, jelas masih perlu membina pengalaman, Insomniacks yang baru ini dinobat Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025 mengesahkan reputasi mereka yang menjadi kegilaan anak-anak Uni.

Cuma sayang, hanya lima lagu, termasuk Igauan Malam dan Pulang, semoga ada ruang lainnya untuk Insomniacks menebarkan keupayaan mereka, melangkaui zon anak muda dan lingkup galau mereka, sekalian mengingatkan bahawa bakat tempatan juga boleh berdiri sama tinggi.

Melihat audiens yang tadinya berbagi rasa, masih dengan keghairahan sesudah konsert berakhir, mengingatkan saya pada bait Ribuan Luka yang mencetak pesan di video muzik lewat surah ke-29, ayat 2 Al-Quran yang diterjemah: ”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dnegan hanya berkata: “Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”