Kos Produksi Hampir RM2 Juta, Sejarah Bakal Tercipta di Konsert Ella

Tanpa penajaan, Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Oleh Zurina Waji | Foto Hitman Solutions
“… akan memberi impak besar pada malam konsert, akan jadi ikonik. Pentas paling besar, lebih 100 meter dari kiri ke kanan. Paling banyak piro, paling banyak api (bunga api), paling banyak konfeti.” – Rohit Rampal
“LAGI 10 peratus,” kata Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal mengenai tiket Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen yang tidak banyak berbaki lagi untuk mencapai kapasiti sekitar 60,000 audiens.
Menampilkan Ella, konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari itu bakal mencatat sejarah, bukan saja buat si Ratu Rock, malah peminat dan industri muzik tanah air, secara keseluruhannya.
Rohit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, mengakui konsert berkenaan juga adalah yang terbesar bagi portfolio Hitman Solutions yang dikenali dengan penganjuran konsert artis, tempatan dan antarabangsa.
“Ini akan menjadi sejarah untuk konsert Rockqueen dengan tiada penajaan, segalanya oleh peminat, untuk peminat,” katanya pada majlis istimewa, Jamuan Tengah Hari Bersama Ella di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid, bagi meraikan media yang menyokong perjalanan kerjayanya selama lebih tiga dekad.
Sambil menyifatkan konsert itu sebagai paling gah pernah diadakan, dia turut mendedahkan pembinaan pentas yang dibangunkan dengan inspirasi dan idea penuh teliti sebagai tanda hormat terhadap legasi Ella sendiri.
“Konsep pentas separa bulan sepanjang 35 meter nanti melambangkan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai simbol penyatuan peminat, hadirnya para penggemar muzik melalui sejarah yang dicipta bersama.
“Sudah tentu ini melibatkan kos yang agak tinggi, mungkin paling tinggi dan tidak pernah kami lakukan dalam mana-mana acara, ini yang pertama buat Hitman, termasuk logistik yang menyaksikan konsert Rockqueen Ella mencecah hampir RM2 juta,” katanya.
Manakala aspek audio, visual, dan susunan kandungan persembahan, jelasnya, juga dirancang teliti dalam kebersamaan untuk memberikan pengalaman bertaraf antarabangsa yang belum pernah disaksikan di negara ini.
“Kami mahukan sebuah pentas yang besar, kami mahukan sebuah pentas yang unik. Ia akan memberi impak besar pada malam konsert, akan jadi ikonik.
“Pentas paling besar, lebih 100 meter dari kiri ke kanan. Paling banyak piro, paling banyak api (bunga api), paling banyak konfeti,” katanya, turut mempertontonkan visual pentas kepada media.
“… kami sepakat untuk mengkelaskan tetamu atau ahli Majlis Tertinggi ini mengikut zaman atau generasi mereka sendiri, sesuai dengan Ella yang sudah menawan pelbagai lapisan generasi… “ – Kapten Azhar

MOMEN LUAR BIASA
Ujar Rohit, pihaknya juga sedang merancang sesuatu yang “luar biasa, tiada tandingannya.”
“Kami sedang merancang,” katanya, senyum memandang Ella yang berada di sebelahnya, ditemani suami, Kapten Azhar Ghazali. “Kami harap orang akan kagum dengan set up kami. Ayuh, kita penuhkan stadium kerana kami sedang menyiapkan sesuatu yang akan mencipta sejarah.”
Pada majlis sama, Kapten Azhar turut memperkenalkan barisan artis jemputan pada konsert nanti, iaitu Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider, serta band The Boys yang pernah bersama Ella pada era 80an dulu.
“Antara kriteria pemilihan ialah (artis jemputan) mestilah mempunyai momen atau hasil kerja bersama Ella, sebelum ini.
“Oleh itu, untuk menjadikan sesuatu yang mempunyai impak tersendiri, kami sepakat untuk mengkelaskan tetamu atau ahli Majlis Tertinggi ini mengikut zaman atau generasi mereka sendiri, sesuai dengan Ella yang sudah menawan pelbagai lapisan generasi daripada sudut pendengar,” katanya.
Ella, dalam kenyataannya, berkata konsert yang bertunjangkan misi kebajikan itu, selari dengan kepercayaannya bahawa muzik mampu menyatukan dan memberi impak bermakna, menjadikannya lebih daripada hanya sebuah persembahan pentas.
“Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya. Kami sedang mengukuhkan perjalanan kandungan konsert, selain latihan intensif pada fizikal, vokal serta mental kerana ini adalah persembahan solo terbesar sepanjang kerjaya saya.
“Anda bukan sekadar penonton, tapi andalah sejarah itu sendiri.”
Tiket terhad masih boleh didapatkan dengan melayari www.ticket2u.com.my manakala cenderamata eksklusif rasmi, termasuk baju T, jersi, baju panas, jaket, topi dan beg boleh dibeli di www.hitmanlive.com





Comments are closed.