Suguhan Seni dan Wakaf RM300,000 M Nasir

Tentang luar biasanya malam Konsert Amal Gendang Pati Dato (Dr) M Nasir UPSI.
Oleh Zurina Waji | Foto Exploremualim
“… menjalin hubungan dengan institusi ini, seawal 2016, malah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada November 2024, malam itu adalah satu “pemberian” daripada sang seniman.”
“SUDAH banyak saya menerima, hari ini saya memberi,” kata M Nasir, mencuri ruang di tengah persembahannya, bersaksikan sekitar 5,500 audiens yang hadir untuk Konsert Amal Gendang Pati Dato (Dr) M Nasir, baru ini.
Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, dibanjiri para penggemarnya untuk sebuah persembahan yang bukan biasa, tapi membawa makna tersendiri.
Sekian lama menjalin hubungan dengan institusi ini, seawal 2016, malah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada November 2024, malam itu adalah satu “pemberian” daripada sang seniman.
Konsert itu, menurut Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, Prof Madya Dr Kamarulzaman Mohamed Karim, sebenarnya merupakan cetusan idea M Nasir sendiri.
“Beliau berniat untuk memberi sumbangan dalam bentuk pendidikan dan itulah diterjemah menerusi Konsert Amal Gendang Pati Dato (Dr) M Nasir,” katanya mengenai acara yang turut menyaksikan pembabitan pelajar FMSP, antaranya kumpulan pergendangan Melayu.
Ikut mewarnai persembahan, FMSP Dance Troupe yang pada akhir tahun lalu merangkul trofi Persembahan Terbaik (Tarian Rakyat) di Fesival Tarian Antarabangsa Korea ke-34 di Korea Selatan, lewat lagu seperti Mentera Semerah Padi dan Phoenix Bangkit, dan getar yang ditiupi deVokalis Choir UPSI menerusi Hijab Kekasih.
“Saya akan bawa pelajar UPSI ke konsert saya, CIPTA 4,” kata M Nasir, malam itu, disambut tepukan gemuruh audiens, sekali gus berupa pengiktirafan tertinggi terhadap bakat muda, selain FMSP sendiri, yang menjadikannya pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan sejak 2021.
Luncai Emas Sdn Bhd, syarikat milik M Nasir, juga merupakan rakan strategik UPSI sejak 2016.
Kolaborasi sebegini, tambahnya, menepati hasrat UPSI untuk ikon seni tanah air menjadi inspirasi kepada pelajar, mendedahkan mereka pada industri seni yang sebenar, sekali gus menjadikan acara sebagai satu proses belajar yang tanpa henti.
“Sejajar hasrat beliau, kira-kira RM300,000 daripada hasil malam konsert diletakkan di dalam Tabung Wakaf Dato Dr M Nasir sebagai wakaf pendidikan di universiti bagi membantu pelajar muzik berbakat meneruskan pengajian.”

M NASIR, IKON PENDIDIKAN SENI NEGARA
Satu detik mengharukan, ujar Dr Kamarulzaman, apabila inisiatif bersama UPSI dengan M Nasir, dengan sokongan Roman Abadi yang dikendalikan isteri, Datin Marlia Musa, Konsert Amal Gendang Pati Dato (Dr) M Nasir mencatat kutipan kasar sekitar setengah juta Ringgit.
“Sejajar hasrat beliau, kira-kira RM300,000 daripada hasil malam konsert diletakkan di dalam Tabung Wakaf Dato Dr M Nasir sebagai wakaf pendidikan di universiti bagi membantu pelajar muzik berbakat meneruskan pengajian.
“FMSP adalah fakulti pertama yang mengiktiraf ikon dan secara konkrit, manfaat ini dapat dirasai dalam jangka panjang. Selama ini, kontribusi melalui konsert tamat selepas habis acara. UPSI mengambil pendekatan lain, mahukan yang ada manfaat berterusan.
“Bentuk wakaf ini juga sesuai dengan ajaran Islam dan akan terus menjana pahala kepada siapa pun yang menyalurkan wakaf, atau inisiatif, sama mendapat manfaatnya, dunia dan akhirat,” jelasnya.
M Nasir, bagaimanapun menurut Dr Kamarulzaman yang juga Timbalan Pengerusi Program, bukanlah figura pertama diintai UPSI sebagai calon bagi penganugerahan Ijazah Kehormat, sebelum ini.
“Lebih awal ialah Allahyarham Pak Ngah,” katanya, merujuk komposer dan penggiat lagu Melayu itu, atau nama sebenarnya Suhaimi Mohd Zain, yang bagaimanapun meninggal dunia pada September 2018 sebelum dapat dilaksanakan. “Calon lain ialah M Nasir, dan Alhamdulillah beliau bersetuju.
“Jika disebut soal kerelevanan M Nasir, siapa lagi ikon muzik negara yang boleh mencipta lagu, menulis lirik, menyanyi, malah ada produksi sendiri, dan daripada sudut keusahawanan, beliau juga pengkarya berpendapatan paling tinggi di MACP.
“Justeru, M Nasir paling sesuai dijadikan ikon pendidikan seni negara, khususnya dalam bidang muzik,” katanya lagi.




Comments are closed.