“Sekali air bah, sekali pantai berubah.” – Awie tentang Wings selepas 40 tahun

Bayangan langkah berikut band legenda ini diberi, bermula di Konsert Wings Orang Kita.
Oleh Zurina Waji | Foto RPM
“Kenapa mesti nak kena sama. Ahli pun dah berbeza. Ahli pun dah lain. Semestinya pembawaan itu sudah berubah, setiap umur meningkat pasti akan ada perubahan.”
“KITA tak faham sebenarnya orang punya kehendak apa,” kata frontman Wings, Datuk Awie, usai memperdengarkan tiga lagu baharu yang berada dalam set list yang menanti audiens konsert 30 Januari mereka.
Digelar Konsert Wings Orang Kita, ia disebut sebagai sebuah konsert khas yang menghimpunkan legasi, semangat dan pembaharuan daripada band yang diperkenalkan seawal zaman Battle of the Band itu.
Di studio di luar Kuala Lumpur, tempat sesi latihan akhir mereka diadakan, baru ini, yang menyusul selepas satu majlis doa selamat, dia melihat tahun 2026 bakal meniupi nafas baharu buat mereka.
Paling mengujakan, tentunya tentang penerbitan dua album baharu, sekali gus, yang seolah petanda satu era baharu buat Wings yang tahun lalu meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-40 di tengah kemelut susulan pengunduran mengejut dua anggotanya, Black dan Eddie.
Wings kini meneruskan langkah bersama Edrie Hashim dan Sham, selain Awie, sebelum band ini mengumumkan mengekalkan Pae dan Arm, masing-masing di posisi dram dan bes, selepas konsert 40 tahun mereka, akhir tahun lalu.
Ditanya tentang perjalanan Wings selepas 40 tahun, Awie berkata, “Lainlah. Kenapa mesti nak kena sama. Ahli pun dah berbeza. Ahli pun dah lain. Semestinya pembawaan itu sudah berubah, setiap umur meningkat pasti akan ada perubahan.
“Apa kata orang… sekali air bah, sekali pantai berubah.”
Sudah menyenaraikan sekitar 18 lagu, setakat ini, album yang dirancang dikeluarkan sebagai sebuah set premium box di sebalik kecenderungan pasaran terhadap penerbitan single, selain perkalihan pada platform digital dan penstriman.
Justeru, album baharu yang mengandungi tiga lagu yang diperdengarkan sebelumnya – Burung Tujuh, Yes I Know dan Khalifah Empat – disasarkan kepada fans tegar, selain menjadi collector’s item .
Pentas Wings Orang Kita bukan saja akan memperdengarkan tiga lagu berkenaan, selain sebuah lagi judul, Sang Kekasih, buat kali pertamanya, malah menjadi perkhabaran awal tentang hala tuju muzik Wings.
“Kita nak perubahan yang positif supaya semua sasaran golongan akan menerima benda ini. Kita ada sasaran kita, tak naklah sasarkan satu kaum saja,” katanya, mengakui karya baharu mereka diinspiras, daripada muzik Nusantara hinggalah The Rolling Stones dan The Beatles.
“Kita perlukan dia untuk lagu-lagu berhantu dia. Juga idea-idea dia, insya-Allah. Kita pecahkan dua, Edrie dan Wings akan terbitkan satu album, M Nasir akan terbitkan satu album.”

Pernah memberitahu untuk mengurangi lagu bernada tinggi, ternyata dia tidak dapat menolak apabila disua karya seumpama Khalifah Empat yang membawa elemen muzik Jawa.
“Cabaran kepada saya sebagai penyanyi,” akui Awie, menjelaskan puncanya menerima karya Edrie itu walaupun sukar untuk dibawa.
“Jadi, kita kena berlatih dan berlatih. Macam lagu Burung Tujuh, ia mencabar buat seorang penyanyi. Mereka buat susunan muzik, semua, tapi untuk penyanyi memang kena bersiap sedia pada bila-bila masa. Sebab itu, latihan itu penting.”
Begitu pun, apa yang sebenarnya diinginkan pendengar juga, ujarnya, sukar untuk ditebak.
“Kita nak pecahkan, contoh macam lagu Terima Kasih, saya sendiri tak tahu (impak), tapi apabila saya kaji pasal Terima Kasih, rupanya Cina, India semua suka,” katanya, merujuk lagu daripada album solonya, Satu, yang diterbitkan pada 1998 itu.
“Sampai ke Siam (Thailand) orang dengar, di Phuket orang menyanyi. Rupanya mereka suka lagu yang begitu. Sebab itu, kita buka, kita buatkan sasaran itu biar besar. Jangan kepada satu arah saja. Satu arah saja kecil nantilah yang membeli, yang mengikutnya.”
Keterujaan terhadap album berganda Wings itu turut didorong dengan pengumuman kembalinya komposer, Datuk M Nasir, untuk memberikan sentuhannya dengan karya baharu.
“Kita perlukan dia untuk lagu-lagu berhantu dia. Juga idea-idea dia, insya-Allah.
“Kita pecahkan dua, Edrie dan Wings akan terbitkan satu album, M Nasir akan terbitkan satu album. Jadi bila keluar sekali ada pecahan yang banyak yang boleh orang pilih. Sebab itu, kita nak keluarkan satu premium box itu untuk orang simpan (sebagai) kenangan,” katanya.
Konsert Wings Orang Kita turut memperkenalkan tiket kategori baharu, Rockzone Seating yang berharga RM298. Tiket terhad boleh didapatkan di rpm.ubertickets.com






Comments are closed.