Konsert Fauziah Latiff: Tanda Penghormatan Buat Legenda Seni

Satu keraian perjalanan selama 40 tahun menjelang Hari Ibu yang memberi makna.
Oleh RUMI
“Kami mahu audiens pulang dengan kepuasan seperti menyaksikan konsert yang paling bermakna, paling berkualiti dan paling mahal daripada segi emosi dan pengalaman.”- Ezuwan Ismail
“FAUZIAH Latiff ialah sebuah nama yang dibina dengan aura bintang yang tidak pernah dipinjamkan daripada sesiapa,” kata pereka fesyen, Ezuwan Ismail mengenai penganjuran 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert, Mei nanti.
Pengumuman konsert itu jelas mengujakan, terutama buat penggemar bintang jelita ini.
“Ini adalah konsert solo pertamanya selepas 40 tahun,” katanya lagi, memetik kenyataan medianya pada sidang media, baru ini. “Jadi, kami mahu ia dibina dengan standard yang tinggi.”
Dianjurkan oleh Ideatelier, di bawah naungannya, jenama fesyennya diperkukuh apabila tiket Super VIP, misalnya, yang ditawarkan pada harga RM6,999 turut merangkumi persalinan gaun couture daripada Ezuwan Ismail bernilai RM15,000.
Terhad kepada 36 orang, pemegang tiket paling mahal itu turut berpeluang menyertai sesi Meet & Greet, selain menikmati Fine Dining secara Eksklusif bersama pelantun Setiaku Korbankan itu.
“Kami mahu audiens pulang dengan kepuasan seperti menyaksikan konsert yang paling bermakna, paling berkualiti dan paling mahal daripada segi emosi dan pengalaman,” katanya yang menyifatkan konsert itu akan menjadi antara paling dinantikan untuk tahun 2026.
Menariknya konsert berskala mega ini juga disusun bagi meraikan Hari Ibu yang bakal menjelang dalam menyanjung kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan wanita yang menjadi tunjang keluarga serta inspirasi ramai.
“… lama saya memilih untuk memperlahankan langkah, saya rasa inilah waktunya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah konsert yang benar-benar istimewa.” – Fauziah Latiff

Melalui pemilihan lagu yang penuh emosi, Fauziah akan membawa audiens menelusuri momen kenangan yang pernah menjadi latar kehidupan, cinta, kehilangan dan harapan, menjadikan malam itu lebih bermakna untuk dikenang bersama insan tersayang.
Tidak hairanlah mengapa bintang yang juga mesra dengan panggilan Jee ini yang sudah tidak lagi aktif sepenuhnya, sebaliknya menerima pelawaan Ideatelier.
“Saya menerima pelawaan ini kerana Ideatelier datang dengan niat yang sangat tulus untuk meraikan perjalanan 40 tahun ini dengan cara yang sangat ikhlas dan bermakna.
“Setelah sekian lama saya memilih untuk memperlahankan langkah, saya rasa inilah waktunya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah konsert yang benar-benar istimewa. Lebih-lebih lagi apabila konsert ini jatuh hampir dengan Hari Ibu, ia satu momen yang sangat dekat di hati saya,” katanya.
Bukan sekadar sebuah hiburan, kata Ezuwan lagi, 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert juga berupa sebuah tanda penghormatan terhadap legenda seni tanah air berkenaan yang telah membina nama dengan keunikan tersendiri.
Kenyataan medianya turut menyebut lagu ikonik yang dipilih bukan sekadar dipersembahkan.
Malah setiap judul akan dihidupkan melalui susunan muzik yang lebih segar, lebih megah dan lebih menyentuh rasa, bagi memastikan malam itu menjadi sebuah pengalaman yang benar-benar bermakna kepada peminat lewat penyatuan cinta, nostalgia sebuah era, dan penghargaan kepada wanita yang menjadi inspirasi kehidupan.
Akses
- 9 Mei 2026
- Plenary Hall KLCC
- 8.30pm
Tiket
- RM1,499 (Gubahan Rindu Puisi Syahdu,) RM1,299 (Dari Kaki Tangga ke Menara), RM899 (Teratai Layu di Tasik Madu), RM699 (Kau Merubah Segalanya), RM599 (Yang Lebih Kau Cinta), RM399 (Apa Sebenarnya), RM299 (Enggan), RM299 (Dia)
- RM6,999 bagi tiket Setiaku Korbankan (Super VIP) ditawarkan bersama sesi Meet & Greet, Eksklusif Fine Dining bersama Fauziah Latiff dan sepersalinan gaun couture daripada Ezuwan Ismail bernilai RM15,000, terhad kepada 36 orang
- Sila layari www.ticket2u.com.my/fauziahlatiff untuk pembelian






Comments are closed.