Kertas Wangi, Refleksi Jujur Kmy Kmo & Luca Sickta
Diperkaya dengan unsur tradisi Pantai Timur, rap moden ini menjadi satu refleksi kerohanian.

Oleh RUMI

“… Kertas Wangi yang menampilkan elemen tradisi Pantai Timur seperti Dikir Barat yang digarap secara kreatif dalam ritma, susunan vokal latar dan harmoni.” – Luca Sickta

“SEGAR, tapi masih ada jiwa Melayu,” kata Luca Sickta, merujuk single terbaharu, Kertas Wangi yang menampilkan elemen tradisi Pantai Timur seperti Dikir Barat yang digarap secara kreatif dalam ritma, susunan vokal latar dan harmoni.

“Beat tegas dipadankan dengan harmoni moden dan sedikit rasa Dikir Barat, semuanya dirancang supaya pendengar dapat merasai kedalaman emosi. Rap pula memberi ruang supaya mesej berat tentang tekanan hidup, materi dan nilai diri sampai dengan jelas dan jujur.”

Memperkukuhkan kedudukan duo Kmy Kmo & Luca Sickta dalam arena muzik, Kertas Wangi membawa mesej jelas tentang dunia yang sering mengaburi mata manusia dengan janji manis materi.

Kata Kmy pula, “Rap adalah medium paling jujur untuk menyampaikan mesej sosial. Ia dekat dengan anak muda dan terus terang, tapi boleh juga puitis. Dengan cara ini, mesej kerohanian dan nilai budi tetap relevan walapun dalam muzik kontemporari.”

Menjelaskan lanjut, tambahnya, Kertas Wangi sebagai metafora yang melambangkan bagaimana nilai wang boleh menutup nilai sebenar manusia, menjadikannya sebuah karya rap moden yang sarat makna.

Diterbitkan Sony Music Entertainment Malaysia, ia refleksi jujur tentang bagaimana manusia sering terperangkap dengan tekanan hidup, gaya luaran, dan godaan dunia yang bersifat sementara.

“Inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian saya terhadap kehidupan kita seharian,” kata Kmy, memetik kenyataan medianya. “Kita semua diuji dengan pelbagai cabaran dan godaan dunia.

“Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa berlumba gaya, tekanan hidup dan mengejar perkara materi boleh mengaburi hati dan nilai budi. Kertas Wangi adalah cerminan diri bagi saya dan sesiapa yang mendengarnya.”

“… Kmy sangat natural. Dia membawa kedalaman kata, saya membawa bentuk pada bunyi dan susunan. Setiap lapisan muzik dan lirik saling melengkapi, dan itu yang membuatkan Kertas Wangi terasa sangat organik dan kedengaran jujur.”

KERTAS WANGI BUKAN CUMA LAGU

Tegas Luca, Kertas Wangi bukan sekadar pengalaman peribadi.

“Ia lebih kepada refleksi umum tentang perjalanan hidup yang penuh ujian. Mesej paling penting, jangan biarkan dunia materi menguasai hati dan jiwa kita. Itu mesej yang saya mahu pendengar bawa pulang,” katanya.

Sesuai dengan vibrasi yang dilepaskan, majlis Pelancaran Single dan Sidang Media Kertas Wangi telah diadakan di bangunan warisan ikonik, Pasar Seni yang turut menyaksikan penyerahan plak Kertas Wangi oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara,Kenny Ong kepada duo berkenaan.

Ia juga diadakan bersamaan Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang berakhir pada 25 Januari lalu.

Di sebalik kematangan dan keserasian kreatif duo ini yang diperlihatkan menerusi Kertas Wangi, kata Kmy, karya itu tentunya tdak hadir tanpa cabaran.

“Cabaran terbesar adalah menyatukan dua kepala kreatif yang penuh idea. Kadang pandangan kami berbeza, tetapi perbezaan itu membuat karya ini lebih kaya. Saya fokus pada lirik dan makna, Luca pula memberi nyawa melalui muzik dan susunan,” katanya, senang gabungan mereka menghasilkan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang dibayangkan.

Luca yang mendengar, mencelah, “Kerjasama dengan Kmy sangat natural. Dia membawa kedalaman kata, saya membawa bentuk pada bunyi dan susunan. Setiap lapisan muzik dan lirik saling melengkapi, dan itu yang membuatkan Kertas Wangi terasa sangat organik dan kedengaran jujur.”

Padanlah mengapa duo ini menyifatkan Kertas Wangi bukan sekadar lagu.

“Saya berharap lagu ini membuka ruang untuk pendengar berhenti sejenak, tarik nafas dan fikir semula tentang apa yang benar-benar penting dalam hidup. Walaupun seorang saja yang tersentuh dan terinspirasi untuk menilai dirinya kembali, itu sudah cukup besar bagi kami,” kata Kmy.