Bluntsheep Raikan 2026 Lewat Remake Pedih

Segar dan matang, single ini menonjolkan identiti muzik band pop rock alternatif ini.
Oleh RUMI
“… single Pedih adalah sebuah remake yang diberi sentuhan dan susunan muzik baharu yang lebih segar dan matang, serta menonjolkan identiti band muda ini yang dikenali berani bereksperimen dengan bunyi dan emosi”
“SEBUAH lagu tidak mempunyai batas usia atau tempoh tertentu. Karya lama boleh dihidupkan semula melalui interpretasi dam jiwa yang berbeza mengikut zaman,” kata vokalis Bluntsheep, Atta Rumnan.
Bagi memperkemaskan langkah dalam seni, single Pedih adalah sebuah remake yang diberi sentuhan dan susunan muzik baharu yang lebih segar dan matang, serta menonjolkan identiti band muda ini yang dikenali berani bereksperimen dengan bunyi dan emosi.
Keunikan muzik mereka menjadikan Pedih, asalnya sebuah lagu bernuansa pop R&B yang pertama kali dirakam Sarah Suhairi, sebagai sebuah interpretasi baharu yang lebih mendalam dan relevan dengan landskap muzik semasa.
Tapi, mengapa Pedih?
Atta, atau nama sebenarnya, Attana Qawiuddin Rumnan, mengakui mempunyai hubungan emosi dengan lagu ciptaan Hadi Rumnan itu yang juga merupakanya bapanya, sekali gus menjadikannya cukup peribadi.
“Saya ingin meneruskan legasi ayah,” katanya, memetik kenyatan medianya, malah merancang untuk terus membuat remake ciptaan bapanya, antaranya pernah dirakam Encik Mimpi, Ezad Lazim, Santesh, dan Syafiq Farhain.
“Bersama Bluntsheep, saya akan terus bereksperimen dalam muzik rock.”
Selain Atta yang juga merupakan pemain gitar utama, Bluntsheep turut dianggotai Umar Naufal (gitar elektrik dan vokal latar), Moses Dass (dram), serta ahli tambahan, Ariff Azmi (bes).
Pedih, menurutnya, menyaksikan keraian berganda buat Bluntsheep pada tahun 2026 ini apabila turut diundang sebagai pembuka tirai konsert Malam Simfoni Luka, baru ini, yang menampilkan Midnight Fusic, Insomniacks dan for Revenge.
“Bayangkan, kami baru saja dalam proses melancarkan lagu terbaharu, Pedih, kemudian menyusul pula undangan sebagai band pembuka tirai untuk konsert Malam Simfoni Luka.
“Sejujurnya, semua ini berlaku dengan begitu pantas dan kami sendiri masih cuba menghadam segalanya,” katanya, berterima kasih kepada penganjur, Icon Entertainment yang membuka laluan.
Pedih boleh didengarkan di semua platform digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak 23 Januari lalu.




Comments are closed.