Stigma Anak Haram Jadi Sorotan Akad Yang Hilang
Astro Shaw buka tirai 2026 dengan filem yang mengangkat realiti nikah tidak sah.

Oleh RUMI | Foto Astro Shaw

“AKAD Yang Hilang bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah naskhah yang mampu mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang,” kata Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

“Sebagai penerbit, Astro Shaw percaya filem mampu menjadi medium perubahan sosial.”

Diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri, filem sulungnya ini mengetengahkan realiti yang wujud dalam masyarakat, tapi jarang dibincangkan, iaitu nikah fasid yang bersandarkan pengkisahan seorang gadis bernama Maryam yang disandang Mira Filzah.

Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan, tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak, sekali gus memberi implikasi besar kepada status perkahwinan dan anak-anak yang terlibat.

Persoalan ini menjadi nadi Akad Yang Hilang dengan mengetengahkan refleksi realiti bagaimana seseorang terperangkap di antara implikasi undang-undang dan stigma masyarakat.

Astro Shaw, menerusi kenyataan medianya, juga menyebut naskah berkenaan yang memulai tahun 2026 mereka sebagai sebuah filem berani yang membawa pengalaman sinema yang mengubah perspektif.

“Filem ini akan membuatkan anda berpaling kepada orang di sebelah dan bertanya, ‘Apa yang akan kita lakukan jika perkara ini berlaku kepada kita?’ Kami mahu mencetuskan perbualan – di dalam pawagam, dalam perjalanan pulang dan di meja makan,” ujarnya.

SINOPSIS

Maryam yang ingin berkahwin dengan kekasihnya, Ammar, didedahkan dengan status sebenar dirinya ketika cuba memohon bernikah secara wali hakim berikutan kematian bapanya, Husni, sedangkan satu-satunya adiknya, Zaki, baru berumur 17 tahun.
Pemohonan di Mahkamah Syariah membawa kepada pendedahan mengenai perkahwinan ibu bapanya yang tidak sah kerana fasid. Kisah Maryam malangnya tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat.
Persoalannya, bagaimana Maryam ingin meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah.

Menurut Raja Jastina, kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi orang yang tersayang.

“Dengan gabungan elemen cinta dan konflik moral, kami merasakan naskah seperti Akad Yang Hilang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan.

“Ia membawa penonton untuk lebih memahami impak besar yang timbul daripada satu kesilapan atau keputusan kecil, sekali gus mencabar persepsi dan cemuhan masyarakat terhadap mereka yang terbabit.”

Filem ini juga menandakan kembalinya Mira ke layar perak selepas beberapa tahun, dan bergandingan, buat pertama kalinya, dengan Syarul Ezany sejak penampilan terakhirnya pada 2008.

Turut membintangi filem ini ialah Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis. Manakala skrip ditulis oleh Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar, dan lagu dendangan Dinda Dania, Yang Tertulis, dipilih sebagai lagu tema. Akad Yang Hilang boleh ditonton di pawagam sejak 15 Januari lalu.