SELAK, Karya Faizal Husin yang Tidak Hadir dengan Sopan
Pameran fotografi 12 ikon seni tanah air lewat lensa seniman ini.

Oleh RUMI | Foto Zulkarnain Hasan

“… potret aktor dan pemuzik, Qi Razali yang berjaket kulit hitam dan jari mengapit sepuntung rokok dengan bait: “The Weight of the day. Memilih hitam putih tidak semudah yang diucapkan.”

“KERANA bagi saya semua orang ada sisi gelap mereka. Bukan saya nak tunjukkan sisi gelap itu, tapi kita nak tunjukkan bahawa kita ini sebenarnya masih manusia. Kita berada di antara,” kata Faizal Husin.

“Kerana itu, imej-imej saya gelap sedikit.”

Anak jati Sungai Petani, Kedah, ini merujuk SELAK, pameran sulung karya hitam putihnya itu selepas tiga dekad berada di belakang tabir industri kreatif tanah air, melewati dunia teater, filem, TV, muzik, dan fotografi.

“Saya lebih suka dark. Saya menggunakan (pendekatan) Rembrandt dan low-key. Saya lebih suka perkara yang low-key,” tambahnya, memetik temuramah yang dikongsi Media Selangor, usai pelancaran SELAK di Centre of Photographic Arts (CPA), Kokopelli Templer, Petaling Jaya, baru ini.

SELAK menyaksikan himpunan potret hitam putih 12 ikon seni tanah air – daripada seniman selegenda Datuk M Nasir ke Dato Ito, dan Datuk Awie, malah gitaris terkenal, Edrie Hashim; duo, Satwo; dan sutradara, Nasir Jani.

M Nasir ditampilkan dalam dua sisi dan mood berbeda, meraih perhatian tetamu yang turut dihadiri aktres dan mantan pengarah, Fatimah Abu Bakar, dan anak, Sharifah Aleya, selain pemuzik seperti Neves Pretty Ugly, dengan catatan “Aku ke Saya. Melihat aku dalam saya.”

Qi Razali, hasil bidikan Faizal
Keraian seni lewat pameran SELAK oleh Faizal Husin

Dipersembahkan luar daripada kelaziman, juga menarik ialah potret aktor dan pemuzik, Qi Razali yang berjaket kulit hitam dan jari mengapit sepuntung rokok dengan bait: “The Weight of the day. Memilih hitam putih tidak semudah yang diucapkan.”

“Objektifnya adalah untuk meraikan mereka yang telah membuat kerja seni, iaitu pemuzik, pelakon dan penulis. Saya meraikan mereka dengan cara saya,” memetik temuramahnya bersama Media Selangor.

“Maknannya, selain diambil sebagai dokumentasi, ia juga bagi meraikan mereka yang membuat kerja-kerja seni. Saya nak buat sesuatu, (kalau) fotografi kita kena buat fotografi sampai habis, maksud saya gambar yang belum dicetak itu sebenarnya gambar yang belum siap.

“Selepas dicetak barulah (menjadi) art piece yang siap.”

“Karya-karya ini tidak hadir dengan sopan. Ia lahir daripada resah, ragu, keinginan, dan diam yang panjang. Ia kekal kerana ada yang memilih untuk tidak pergi.”

Jelas Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Husin, 52, apresiasi itu turut didorong, antaranya oleh tanggapan awam terhadap seni fotografi yang kini terkurung di telefon bimbit, misalnya..

“Mereka perlu melihat gambar secara fizikal. Jadi, sekarang ini sampai masanya kita raikan dalam bentuk cetakan sebab itu lebih memberi impak kepada penonton,” katanya, turut berterima kasih kepada Kurator, Cyril Pereira, dan Kurator Bersama, Soraya Yusof Talismail. SELAK disempurnakan oleh Pereka Pameran, Ariff Awaluddin, Chaska Talismail Creative Concepts dan Priscilla Ong (Rekaan Konsep), dan Simple and Nice Photo Albums (Pencetak).

Potrert para ikon seni yang dipamer, menurutnya, juga adalah sebagai satu pernyataan.

aizal bersama Datuk Ito, Blues Gang

“Sebenarnya, saya ingin memberitahu bahawa mereka yang membuat kerja-kerja seni, mereka juga manusia. Mereka juga macam kita dan daripada sudut jurugambar pula, saya nak mengatakan jurugambar ini penting, bukan (sekadar) orang jemput ambil gambar. Tidak.

“Dia ada pemikiran sendiri. Jadi, kita kena hormati dia sebagaimana kita menghormati doktor, peguam, semua itu,” katanya.

Menerusi buku yang diterbitkan bersempena SELAK, Faizal dipetik, berkata, “Karya-karya ini tidak hadir dengan sopan. Ia lahir daripada resah, ragu, keinginan, dan diam yang panjang. Ia kekal kerana ada yang memilih untuk tidak pergi.”

Faizal merupakan artis ketiga dalam siri CPA yang menyediakan platform bagi penganjuran pertunjukkan Galeri untuk anak seni berbakat. Pameran SELAK berlangsung sehingga 22 Januari ini.