Malam Nostalgia Tahun Baharu Ernie & Syamel
Tahun 2026 diraikan penuh kehangatan lewat konsert Nostalgia New Year’s Eve.

Oleh RUMI | Foto Universal Music

“Apabila Syamel mula menyanyi dan saya mendengar sorakan penonton, Alhamdulillah, feel yang kami perolehi pada malam itu sebenarnya tidak jauh beza… “ – ERNIE ZAKRI

“TAK pasti bagaimana vibe dan reaksi penonton,” menurut Ernie Zakri, mengakui agak gusar awalnya untuk menjayakan konsert Nostalgia New Year’s Eve yang menggandingkannya dengan suami, Syamel.

Diadakan di Le Meridien, Petaling Jaya, Bintang Paling Popular ABPBH37 itu, bagaimanapun tidak menduga konsert itu memberikan pengalaman sambutan ambang tahun baharu yang berbeza, eksklusif, dan penuh kehangatan.

Dianjurkan dengan kerjasama Universal Music Malaysia dan Le Meridien Petaling Jaya, ini adalah sambutan secara tertutup pertama yang dipersembahkan, baik oleh Ernie, mahupun Syamel sendiri.

“Secara jujur, saya agak gusar kerana kami tidak pernah mengadakan acara sambutan Tahun Baharu di dalam ballroom,” katanya, memetik kenyataan medianya, namun mengakui gemar dengan suasana di dalam dewan yang sangat selesa.

Kegusaran yang dirasakan awalnya, katanya, hilang sebaik persembahan bermula.

“Apabila Syamel mula menyanyi dan saya mendengar sorakan penonton, Alhamdulillah, feel yang kami perolehi pada malam itu sebenarnya tidak jauh beza antara persembahan dalam atau pun luar. Rasa yang hadir tetap sama,” ujarnya, seraya memberikan penghargaan kepada penganjur atas kepercayaan diberikan.

“Ia agak mencabar kerana kebiasaannya orang memilih untuk meraikannya di luar, tetapi malam ini istimewa kerana mereka memilih untuk bersama kami.”

Dimeriahkan dengan saijan muzik hebat DJ Fuzz yang menyuntik elemen nostalgia dan tenaga segar, kata Ernie lagi, pengalaman sambutan Tahun Baharu itu juga dianggap projek yang sangat membahagiakannya dan Syamel.

Bagi Syamel, konsert Nostalgia New Year’s Eve itu cukup bermakna kerana dapat berkongsi detik istimewa itu bersama peminat dalam suasana yang tenang dan nyaman, sekali gus memberikan pengalaman baharu dan berbeza dalam membuat persembahan.

“Sebenarnya., ini merupakan satu kelainan buat kami apabila dimaklumkan oleh pihak label, Universal Music Malaysia bahawa akan diadakan sebuah acara sambutan Tahun Baharu secara tertutup, hasil kerjasama dengan Le Meridien.

“Paling bermakna, ini juga kali pertama kami merasakan pengalaman menyanyi dalam suasana yang sangat tenang, selesa dan teratur. Lazimnya, sambutan Tahun Baharu dikaitkan dengan kesesakan dan hiruk-pikuk, tetapi kali ini segalanya berjalan lancar sehingga tanpa sedar kita sudah pun melangkah ke tahun baharu,” katanya.