Makan Budu, ‘Rahsia’ Baby Shima Rakam Single Dialek Kelantan, Bey Kelik Laa Bey

Single ciptaan Eddie Hamid itu sebagai hadiah sempena kedatangan tahun baharu.
Oleh RUMI
“RAMAI orang Kelantan selalu tinggalkan komen, ‘Shima, cubalah nyanyi lagu Kelate sikit! Lama-kelamaan saya pun terpengaruh,” akui Baby Shima mengenai single terbaharunya, Bey Kelik Laa Bey.
Lagu ciptaan komposer, Eddie Hamid itu menampilkan lirik oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, dan Te Ha, serta merupakan single pertama yang dirakam dan dinyanyikan sepenuhnya dalam dialek Kelantan.
Menurut bintang dangdut berusia 33 tahun ini, dia mengambil masa seminggu untuk berlatih bagi mendapatkan sebutan yang tepat.
“Kadang-kadang apabila menyanyi, terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi rasa tak sedaplah. Semasa sesi rakaman pun, ada masanya saya tersasul, terutama apabila lapar. Tapi apabila makan budu, terus elok balik dialek Kelantan saya itu,” katanya, berseloroh.
Single terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music ini mengisahkan perasaan pilu seorang wanita yang merindui kekasihnya setelah dikecewakan. Terluka dengan harapan palsu kekasih sebelum menghilangkan diri, dia bagaimanapun masih berharap pasangannya kembali kepadanya.
Baby Shima berkata, dia selesa bekerjasama dengan Eddie yang lebih dikenali dengan lagu ‘tangkap leleh’
“Dalam studio, dialah cikgu dan saya pula murid yang suka buat lawak,” katanya, merujuk Eddie yang disifatkan sebagai seorang yang rileks, cool, tidak garang, dan baik hati. “Dia ajar saya daripada sebutan sehinggalah kepada panduan vokal.
“Walaupun sering tersalah sebutan dan ketawa sebelum merakam semula, saya bersyukur semuanya lancar. Abang Eddie memang jenis yang sangat penyabar.”
Bey Kelik Laa Bey boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik mulai ambang tahun baharu, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Kijang Music.







Comments are closed.