“Pernah gaduh, bertelingkah… Exists kini fasa brotherhood.” – Ezad Lazim
Satu malam yang intimasi, konsert Exists Premium Live @PJ adalah cerminan perjalanan.

Oleh Zurina Waji | Foto Altus Prohouse

“… tak pernah kami bawa secara live. Melihatkan audiens sama seronok, ikut menyanyikan judul-judul underrated ini, seolah diimbau nostalgia, mengesahkan audiens malam itu memang hardcore fans Exists.”

“SEKILAS, rasa macam Backstreet Boys pula,” kata Ezad Lazim, ketawa, merujuk video muzik I Want It That Way, malah sempat menyanyikan sebaris hit boy band itu ketika ditanya mengenai penampilannya yang bersut serba putih pada malam Exists Premium Live @PJ, baru ini.

Dalam berseloroh, akuinya, sut yang dihadiahkan kakak angkatnya, kebetulan diterimanya menjelang konsert di JioSpace, Petaling Jaya itu, kini menyimpan banyak momen indah bersama fans yang mengingatkannya tentang perjalanan Exists sendiri yang bakal memasuki tahun ke-35nya, tahun depan.

Ditemani Ajai yang bermain keyboard, Along (gitar), Musa (bes) dan Ujang (dram), vokalis ini menyifatkan konsert anjuran JioBuddy itu yang diuruskan oleh Altus Prohouse, paling intimasi pernah dirasakan.

“Lebih intimasi, terasa cukup rapat dengan fans, malah lebih santai, boleh berbual dan fans boleh bertanya soalan, kami jawap dan siap kasi hadiah lagi. Dengan kehadiran audiens di bawah 1,000 orang, di lokasi sederhana, rasa akrab itu buat kami terharu,” katanya.

Setlist malam itu menyenaraikan 21 judul, hits sampai underrated, daripada Mama Tolonglah Percaya, Rahsia Pohon Cemara, Percayakan Siti dan Jesnita hingga Menantikan Saat Termampu, Janji Padamu danKau Akan Pulang, selain diberikan secara akustik melalui Jangan Gentar, Hani Lempengnya Hangus, Langkah Seiringan, dan Masih Terserlah Ayumu, sebelum ditutup dengan Alasanmu 2025.

“Juga bermakna apabila akhirnya kami dapat menyanyikan lagu yang antaranya tak pernah kami bawa secara live. Melihatkan audiens sama seronok, ikut menyanyikan judul-judul underrated ini, seolah diimbau nostalgia, mengesahkan audiens malam itu memang hardcore fans Exists,” katanya.

BACA: “Siapa dapat dia bertuah…” – Along Exists tentang hadiah gitar pada konsert

Di dunia maya, beberapa video yang dikongsi mengundang ulasan, antara lain mengungkapkan suaranya sebagai “suara kaset.” Ezad, 46, yang mendengar, senyum malu, dan cepat membalas, “Taklah sama sangat, dulu suara budak, sekarang dah tua, kertu!”

Diinspirasi angkatan senior yang masih boleh bertahan – membuat konsert dan tetap relevan pada usia melangkaui setengah abad, daripada Datuk Jamal Abdillah ke Datuk M Nasir, juga Datuk Awie, nadanya serius menyambung, “Allah yang empunya nikmat memberikan nikmat ini dan saya masih boleh menyanyi, masih boleh buat persembahan. Saya syukur.”

Tanpa diduga, dia mendedahkan sebenarnya telah kehilangan suara, dua hari sebelum konsert berlangsung.

“Saya terpaksa ke hospital, jumpa ENT dan ambil dua suntikan, iaitu dua hari sebelum konsert dan pada hari konsert. Suara dah rabak, tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan sepanjang persembahan,” ujarnya.

“Saya ingat lagi semasa mula menyertai Exists. Saya tengok susah payah budak-budak Exists untuk bangkit dan saya pun, budak lagi ketika itu, bermula dari bawah. Ia bukan fasa yang senang, sudah merasa waktu tiada duit.”

LANGKAH SEIRINGAN

Malam Exists Premium Live @PJ yang menjadi penutup diari 2025 Exists, menurutnya bukan cuma satu lagi konsert buat band asal Johor itu yang jelas menunjukkan kematangan, sebenarnya.

“Matang bukan saja daripada segi perangai, malah kehidupan, antara kami yang sudah melalui pelbagai fasa ini. Kami pernah bergaduh, pernah bertelingkah, tapi kini lebih macam adik beradik yang sudah boleh menerima apa saja kelebihan, apa jua kekurangan.

“Exists kini adalah tentang toleransi, bertimbang rasa. Alhamdulillah, tambah seronok nak bersama kerana penerimaan fans sampai kini juga bermakna rezeki dan tak akan kami sia-siakan apa yang diberi Allah, peluang untuk berkarya. Exists masih dengan anggota asalnya pun rezeki juga,” katanya.

Kerana itu, tambah Ezad, keberadaan Mamat, vokalis asal Exists juga diraikan dengan tulus.

“Kami bersama kemudian kami berpisah, dan kami bersama balik. Bagi kami, peluang ini jangan dipersiakan dan selagi orang masih mahukan kami, Exists akan sentiasa ada. Sebab itu, saya melihat Exists bukan pasal persahabatan lagi, tapi brotherhood.

“Perjalanan yang mematangkan menjadi satu refleksi dan setelah apa yang dilalui, terutama selepas sama-sama menunaikan Umrah, perasaan (kasih) itu jadi lebih dalam. Secara peribadi, saya berharap persaudaraan ini kekal selamanya,” katanya.

Ditanya tentang perancangan 2026, Ezad mengakui sedang mengatur projek solonya yang setakat ini sudah merakamkan enam lagu, termasuk yang dicipta bersama kawan-kawannya di bawah label indie miliknya, EZ Record.

Bersama Exists, bagaimanapun katanya belum ada perancangan jelas selain memenuhi permintaan untuk membuat persembahan dengan judul lama, terutama malar segar yang terus mendominasi setlist. Namun dia tidak menolak suatu yang bermakna akan dipersiapkan.

Suaranya bergetar, agak berremosi ketika mengimbau pertemuan pertamanya dengan Exists yang memperkenalkannya sebagai vokalis baharu mereka pada 1995 menerusi album Diammu Gunung Berapi.

“Saya ingat lagi semasa mula menyertai Exists,” kata Ezad, perlahan. “Saya tengok susah payah budak-budak Exists untuk bangkit dan saya pun, budak lagi ketika itu, bermula dari bawah.

“Ia bukan fasa yang senang, sudah merasa waktu tiada duit. Saya ingat macam mana nak bangun, bangkit, cari peluang, kerja kuat, berlatih dan semua pengorbanan itu, seawal saya masuk dan Alhamdulillah, berbaloi dengan apa yang diperolehi Exists sekarang.

“Semasa saya melihat semula, setiap personal Exists, daripada Ajai, Ujang, Along, Musa memang berbaloi dengan apa yang telah mereka korbankan untuk menjadi insan seni, tinggalkan kampung dan datang ke Kuala Lumpur. Sama macam saya, demi nak jadi penyanyi, saya pun dari kampung, ketika boleh menyambung pengajian tapi saya memilih seni.

“Berkat pengorbanan dan sejarah hidup kami inilah yang membentuk Exists, hari ini.”