Ada Apa Dengan Papa Zola The Movie?

Ketika satu karakter animasi berdiri di sebalik pengertian menjadi lelaki.
Oleh Zurina Waji | Foto Astro Shaw
“Saya berbelah bagi awalnya, apakah untuk menyukai atau bersifat lebih kritis. Hadir dengan jangkaan tertentu, saya mengharapkan untuk digeletek lewat filem yang seharusnya memenuhi tuntutan escapism buat audiensnya.”
“DAH tengok Papa Zola? Bagus ke?”
Baru ini, saya ditanya lagi mengenai Papa Zola The Movie, filem animasi tempatan yang menjadi buah mulut, apatah lagi selepas karya itu dilaporkan mengaut lebih RM43 juta sejak ditayangkan pada 11 Disember lalu.
Diterbitkan MONSTA Studio dan Astro Shaw, filem arahan Nizam Abd Razak itu bukan saja mengetepikan pesaing antarabangsanya, Zootopia 2, malah mengejutkan penggemar francais gergasi, Avatar: Fire and Ash untuk berada di kedudukan No.1 carta Top10 GSC.
“Betul ke ceritanya sedih?” antara yang turut sering diajukan.
Jika ditanya sehebat manakah filem berkenaan, mana mungkin membandingkan, misalnya dengan karya Studio Ghibli, studio animasi Jepun yang dikenali dengan pendekatan artistiknya, mengadun fantasi dan realiti lewat visual mengagumkan dan karakter yang kompleks.
Tidak sempurna, mungkin, dengan kelompongan yang masih perlu diberi perhatian, seperti perjalanannya yang sedikit meleret pada pembukaan, tapi animasi ini tetap berupaya memberikan isi dan makna dalam penceritaannya.
Di luar jangkaan? Ya, Papa Zola The Movie, menurut saya, sememangnya tidak diduga.
Saya berbelah bagi awalnya, apakah untuk menyukai atau bersifat lebih kritis. Hadir dengan jangkaan tertentu, saya mengharapkan untuk digeletek lewat filem yang seharusnya memenuhi tuntutan escapism buat audiensnya.
Diperkenalkan lewat siri animasi BoBoiBoy, selain Gopal, Papa Zola yang tertanam dalam fikiran – seorang guru pendidikan jasmani dan kadang guru matematik, dan bermacam lagi, – juga adalah karakter yang sememangnya saya nantikan di layar lebar, menghibur dengan punch linenya.
Justeru, usai menghadiri Malam Galanya, beberapa hari sebelum animasi ini memulakan tayangan rasminya, saya mendapati diri dihadapkan dengan sebuah cerita yang matang, berlatar dunia realiti.
Saya datang untuk Papa Zola yang mengarut, tapi penulis naskah ini sebaliknya membawa audiens menyoroti kisah seorang lelaki biasa – seorang suami dan bapa kepada seorang anak kecil, bersama realiti pergelutan menjadi ketua keluarga yang cuba membina kehidupan di bandar.
Kepayahan hidup menuntutnya membuat dua, tiga pekerjaan, iaitu selain memandu bas sekolah, dia mencari duit lebih menjadi ‘abang rider’ makanan sambil cuba menjual buku yang dihasilkan bersama puteri kesayangan hanya untuk menghadap maruah seakan dipijak saat dia diremehkan.

“Sering, kita mencari hero di luar sana sedangkan selama ini, dia ada di depan mata.”
KETIKA LELAKI JUGA INGIN DIFAHAMI
Sekilas, dalam bahasa materi, wajar saja Papa Zola merasa gagal sebagai lelaki, suami dan bapa.
Cerita, bagaimanapun berubah dengan pendedahan rahsia lampau Papa Zola dalam dunia perisikan, menyertai karakter seperti Bob, superhero yang terpaksa menjalani hidup sebagai orang biasa dalam The Incredibles, mahupun Gru, si protagonis yang menjadi bapa segera dalam francais Despicable Me.
Tiada yang baru mengenainya, namun Papa Zola The Movie menepati prinsip Made in Malaysia dengan penceritaan, disokong visual bersifat lokal yang membangkitkan rasa kekitaan pada audiens. Kerana ceritanya, termasuk bahasanya, mudah membuat rasa ‘itu cerita aku’, paling tidak menyentuh orang yang kita kenal, dan tahu.
Ada ketika, naskah ini meniupi nostalgia, memberi vibrasi 80an, 90an lewat ‘Raja Jalan Raya KL’, iaitu bas mini merah jambu yang mengingatkan tentang love hate relationship antara kota ini dan penghuninya satu masa dulu..
Kerana saya juga penggemar filem Tamil, saya akui teruja untuk menantikan bagaimana jalan ceritanya akan diperkembangkan bersama kemunculan satu karakter badass yang jelas diinspirasi oleh legenda Kollywood, Rajinikanth yang kemudian menyumbang pada plot twist yang menarik.

Sementara pengisian berakar daripada realiti, kehadiran makhluk asing yang cuba untuk menguasai bumi dimanfaatkan pembikin Papa Zola The Movie sebagai bahasa universal untuk audiens mudanya, lokal, juga antarbangsa pada tahun 2026 kelak, sekali gus menuai rasa bangga melihat naskah rentas generasi Made in Malaysia yang membakar rasa patriotisme ini melangkaui sempadan, mengait pengiktirafan.
Jadi, apakah kesimpulan saya tentang animasi ini?
Jujur, ada ketikanya naskah sebegini membuat saya tidak selesa. Kerana Papa Zola The Movie mengingatkan pada kepedihan saat kelelahan seorang lelaki – apakah dia bapa, suami, atau anak – tertumpah air mata jantannya, menghambat kesal pada yang melihat, mencongak budi yang tidak terbalas.
Sering, kita mencari hero di luar sana sedangkan selama ini, dia ada di depan mata. Seaneh saya memikirkannya, di celah gelak ketawa, Papa Zola The Movie juga memberitakan bahawa kemenangan paling agung sebenarnya adalah keupayaan untuk bertahan dalam taufan dengan bermaruah.
Cuma jangan percaya cakap saya, tengok sendiri untuk tahu kebenarannya.
SINOPSIS
Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.






Comments are closed.