This is UNIC: Live in Concert Perkukuh Nama UNIC
Kejayaan konsert solo penuh pertama kumpulan nasyid ini selepas lebih dua dekad dalam seni.

Oleh RUMI

“Nasyid bukan sekadar muzik. Ia adalah medium untuk mengajak,menyentuh, dan mengingatkan.” – DR FITRI HARIS

“MENYANYIKAN semula lagu-lagu lama seperti Balqis, dan Remaja, kami seakan kembali ke titik awal perjalanan UNIC,” kata Bazli Hazwan, salah seorang ahli kumpulan nasyid kontemporari ini mengenai malam This is UNIC: Live in Concert, baru ini.

“Melihat audiens menyanyi bersama membuktikan bahawa lagu-lagu ini masih hidup dan bermakna hingga ke hari ini.”

Bukan persembahan hiburan semata, konsert anjuran Triple Am Global ini lebih sebagai satu pernyataan seni tentang kelangsungan dan relevannya muzik nasyid dalam landskap seni arus perdana masa kini.

Seawal Hanyut membuka tirai di Idea Live Arena, baru ini, UNIC yang tampil dengan busana yang direka khas oleh Eja Shahril membawa para penggemar menyelami perjalanan seni mereka yang panjang dan penuh warna.

Ini diikuti Balqis, Remaja, dan Sebuah Pertemuan, antaranya yang menurut kenyataan medianya, mengimbau perjalanan awal mereka, sebelum diperdengarkan karya yang menampilkan kematangan mesej dan susunan muzik seperti Jalinan, Keroncong Kasih Sayang, dan Kawan.

Hakikat Bahagia, Doa Dhuha, Anak Soleh, Jom Solat, dan Qunut Nazilah kemudiannya menjadi antara judul yang menjadikan segmen lebih reflektif, membawa seluruh arena bersatu dalam suasana penuh keinsafan dan ketenangan dalam satu ruang penghayatan.

Segmen inilah, menurut Dr Fitri Haris, yang mencerminkan teras sebenar UNIC.

“Apabila audiens ikut menyanyikan Hanya Tuhan Yang Tahu, dan Ainul Mardhiah, misalnya kami benar-benar terasa hubungan yang sangat kuat antara kami dan fans. Itu bukan sekadar persembahan, itu adalah perkongsian rasa,” – FAKHRUL RADHI

“Nasyid bukan sekadar muzik. Ia adalah medium untuk mengajak, menyentuh, dan mengingatkan. Apabila seluruh arena diam dan menghayati lagu seperti Doa Dhuha, dan Qunut Nazilah, itu adalah momen yang sangat menyentuh hati,” katanya.

Suara penggemar setia bergema, memuncak apabila UNIC memperdengarkan pula judul ikonik, daripada Hanya Tuhan Yang Tahu, Mahligai Kasih, Demi Cinta Suci, Atas Nama Cinta hinggalah  Ainul Mardhiah yang disifatkan Fakhrul Radhi pula sebagai detik paling mengharukan.

“Apabila audiens ikut menyanyikan Hanya Tuhan Yang Tahu, dan Ainul Mardhiah, misalnya kami benar-benar terasa hubungan yang sangat kuat antara kami dan fans. Itu bukan sekadar persembahan, itu adalah perkongsian rasa,” katanya.

This is UNIC: Live in Concert turut dihangatkan dengan penampilan rakan industri, Naufal Isa dan Nizam Laksamana menerusi satu segmen khas yang menurut Bazli, telah membawa makna besar.

“Naufal Isa dan Nizam Laksamana bukan sekadar artis jemputan, tetapi sahabat perjuangan. Kehadiran mereka pada malam ini melengkapi perjalanan This is UNIC, dan menambah kehangatan emosi di atas pentas,” tambahnya.

Sesuai dengan pemilihan  Ainul Mardhiah sebagai penutup malam, UNIC turut memanjatkan kesyukuran atas sokongan para penggemar mereka yang mencerminkan kepercayaan dan kasih sayang selama lebih 20 tahun ini.

This is UNIC: Live in Concert adalah bukti bahawa muzik nasyid masih relevan, masih kuat, dan masih diperlukan,” kata kumplan ini, memetik kenyataan sama. “Insya-Allah, ini bukan penamat, tapi permulaan kepada lebih banyak karya dan perkongsian yang bermakna.”