Itoshi-Hito, Lagu Jepun Karya Pakya Senario Buat Shazia
Bermaksud Rinduku, lagu itu diharap membawa penyanyinya melangkah lebih jauh.

Oleh RUMI | Foto Luncai Emas

“.. melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang halus, Itoshi-Hito memberi pengalaman emosional kepada pendengarnya kerana sentuhan perasaan rindu… “

“ITOSHI-Hito memberi makna yang sangat romantik dalam bahasa Jepun,” jelas Shazia Rozaini, merujuk lagu terbaharunya itu.

“Saya mengaspirasikan kerinduan saya terhadap seni nyanyian yang pada mulanya membawa saya ke dunia seni.”

Lagu baharu penyanyi yang juga pelakon ini yang dianggap penuh emosi menggambarkan kisah seorang gadis Melayu yang menyimpan perasaan terhadap seorang jejaka di Jepun.

Cintanya itu, bagaimanapun tidak pernah dilafazkan. Dia mengandaikan jejaka itu turut mencintainya  mencintainya, namun tanpa kepastian menyebabkan persoalan terus bermain di fikirannya.

Tambah menarik bukan saja kerana lagu ini dinyanyikan seorang penyanyi Melayu dalam bahasa Jepun sepenuhnya, malah ia turut mengingatkan tentang keupayaan pelawak terkenal, Ilya Buang yang dikenali sebagai Pakya Senario dalam bidang penciptaan.

“Jadi, apabila Pakya memberikan lagu ini kepada saya untuk dinyanyikan, saya sangat gembira,” kata Shazia, memetik kenyataan medianya. “Tambahan lagu ini menggambarkan keindahan di Jepun.”

Itoshi-Hito, menurut Pakya, membawa mood lagu Jepun 70an yang sering didengarinya dulu.

“Saya selalu mendengar lagu-lagu 70an yang banyak diilhamkan oleh pengkarya Jepun dan saya dapati iramanya sesuai untuk pendengar Melayu,” ujarnya. “Jadi, mengapa tidak kita menghasilkan lagu untuk halwa telinga mereka pula.”

Jelasnya, ini juga kerana selaku komposer eksklusif di bawah Luncai Emas, dia amat meyakini bakat Shazia yang merupakan lulusan Persembahan Vokal di UiTM. Pengedaran digial dan hakcipta lagu ini ditadbir oleh Luncai Emas.

“Shazia sangat berbakat dalam bidang nyanyian,” katanya,mengakui tertarik untuk menghasilkan lagu untuk Shazia selepas mengenalinya menerusi rancangan Sepahtu Reunion. “Lagu Itoshi-Hito menjadi satu langkah penting untuk menampilkan dan mengembangkan lagu perjalanan Shazia di dalam industri seni muzik ini.”

Dengan adunan melodi sentimental, pengaruh budaya Jeun dan penceritaan yang halus, Itoshi-Hito memberi pengalaman emosional kepada pendengarnya kerana sentuhan perasaan rindu yang menjadikan lagu ini sangat istimewa.

Lagu ini boleh didengarkan di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan iTunes, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas.