Malik Choo Tampil Lebih Matang Lewat Move On

Single ketiga berentak rap pop dengan sentuhan R&B yang menampilkan kejujuran emosi.
Oleh RUMI
“… video muzik yang menampilkan Malik dalam dimensi visual yang lebih rapi, berdisiplin, dan berpretasi tinggi. Diarahkan oleh Evan Lim, a menampilkan koreografi oleh pereka tari, Meor Mukhris yang mengambil inspirasi daripada persembahan K-pop…”
“ADA sedikit sentuhan peribadi,” akui Malik Choo, merujuk karya terbaharunya yang disebut sebagai manifesto muzikalnya untuk menghadapi hidup dengan keberanian. “Move On lahir pada satu fasa dalam hidup saya ketika saya belajar melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai.
“Tapi pada dasarnya ia mewakili perasaan yang mungkin semua orang pernah rasa, di saat kita melepaskan sesuatu dan mula hidup dengan hati yang lebih ringan.”
Lebih dulu muncul dengan Suka Kamu dan Apa Saja, single ketiganya ini dicipta dan diterbitkan Mas Dewanga, Jova Devito, dan Kidd Santhe, serta ditulis oleh Altimet. Ia menggabungkan kejujuran emosi, produksi yang mantap, serta mesej motivasi yang mengajar pendengar untuk melangkah ke depan.
Sebuah karya rap pop dengan sentuhan R&B, ia menyaksikan artis di bawah pengurusan SVLTAN Management ini bekerjasama sekali lagi dengan Altimet,atau nama penanya, Mambang selepas Kita Jaga Kita yang sebelum ini meraih 10 juta tontonan di YouTube.
Move On, menurut Malik, bukan sekadar satu lagi kerjasama dengan Altimet yang juga bertanggungjawab mencungkil bakat dan menjadi mentornya, malah sebagai penyatuan visi, pengalaman, dan paduan kreatif yang mencorakkan emosi lagu.
“Proses bermula dengan pendekatan go with the flow,” katanya, memetik kenyataan medianya. “Saya fokus pada struktur dan penyampaian setiap bahagian supaya lancar dan penuh emosi. Tujuan utama adalah untuk menjadikan lagu ini ringan didengar, tapi tetap menyentuh hati.”

Memulai kerjaya muziknya seawal 2009 sebagai DJ Kino, dia mensyukuri pengalaman dilalui yang disifatkan sebagai “perjalanan panjang langkah demi langkah, penuh dengan usaha dan pengorbanan.”
Selain Altimet, beberapa kolaborasinya turut membantu memperkenalkan namanya, termasuk bersama Afieq Shazwan menerusi Lelaki di Telefon yang mencatat 12 juta tontonan di YouTube, serta Ralit bersama Tuju.
Move On hadir bersama sebuah video muzik yang menampilkan Malik dalam dimensi visual yang lebih rapi, berdisiplin, dan berpretasi tinggi. Diarahkan oleh Evan Lim, ia menampilkan koreografi oleh pereka tari, Meor Mukhris yang mengambil inspirasi daripada persembahan K-pop yang tepat, dinamik, dan bertenaga.
Sambil berkongsi perancangan untuk menganjurkan sebuah mini showcase eksklusif, Malik juga berharap lagu itu dapat menjadi teman dan motivasi bagi mereka yang sedang menghadapi perubahan hidup.
“Saya merancang untuk mengeluarkan lebih banyak muzik, fokus kepada persembahan secara langsung, dan terus membina dunia muzik saya, langkah demi langkah, merendah diri, tapi penuh keyakinan,” katanya lagi.
Move On adalahsebahagian daripada projek di bawah Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi. Ia kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Manakala video muziknya boleh ditonton di saluran rasmi YouTube VE VO @MalikChoo.





Comments are closed.