Barbarik Bayar Balik Lewat Pentas Barbarik Vol 2, Januari 2026
Susulan insiden di Odeon, baru ini, band rock ini umumkan konsert berskala besar.

Oleh RUMI

“Penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan bermaksud kami mahu menutup kekecohan dan kekhilafan yang berlaku pada Barbarik Vol 1, sebaliknya… ”

“WALAUPUN pahit atau manis, yang pastinya ada cerita untuk dibawa pulang sebaik keluar menyaksikan kami,” ujar JoBranko, menjanjikan pengalaman berbeza lewat Pentas Barbarik Vol 2 yang akan berlangsung pada 31 Januari depan.

Dipersiapkan sebagai sebuah persembahan berskala besar di lMegastar Arena yang dapat memuatkan sehingga 5,000 orang, ia juga disebut bakal menjadi sebuah “konsert paling kecoh” pada awal tahun nanti.

Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records (RMR) dan Pentas Barbaik Sdn Bhd, pengumuman itu dibuat sebagai usaha Barbarik “membayar semula” kekhilafan yang berlaku susulan insiden kekecohan pada konsert di Odeon pada 12 Disember lalu yang menyaksikan ratusan pembeli tiket gagal memasuki arena kerana melebihi kapasiti.

Begitupun, pendiri dan pemain giitar Barbarik ini menafikan Pentas Barbarik Vol 2 sebagai satu cubaan untuk menutup apa yang berlaku, baru ini.

“Penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan bermaksud kami mahu menutup kekecohan dan kekhilafan yang berlaku pada Barbarik Vol 1, sebaliknya ia memang telah lama ada dalam agenda kami.

“Namun, berikutan insiden yang berlaku, Barbarik mahu mengambil tanggungjawab penuh dalam menjaga reputasi di antara kami dengan peminat yang menyokong kami dengan cukup luar biasa.

Pentas Barbarik Vol 2 juga adalah usaha dan tanda kesungguhan kami dalam memenuhi dan memberi persembahan berskala besar yang lebih baik, berkualiti, serta mahu menjamin tidak berlaku lagi penjualan tiket berlebihan sehingga boleh menjejaskan hubungan Barbarik dengan semua peminat kami,” katanya.

RMR yang diwakili Abdul Musa Mokhtar, dalam kenyataannya, menegaskan Pentas Barbarik Vol 2 bukan untuk mengambil kesempatan, malah ia adalah medan pertempuran yang signifikan selepas beberapa siri penganjuran, sebelum ini.

“RMR menyifatkan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 sebagai signifikan dengan kekuatan mereka dan Megastar Arena adalah lokasi terbaik buat perayaan tahun baharu dimulakan,” katanya, turut memberi jaminan “mengelak terbabit dengan penjualan tiket tidak sah, berlebihan dan apa saja perkara yang boleh menjejaskan reputasi, bukan saja Barbarik, tetapi juga penganjur di Malaysia.”

Bukan sekadar penganjuran sambil lewa, Pentas Barbarik Vol 2 akan dihangatkan dengan penampilan khas pemuzik dikagumi, iaitu pemain gitar Cromok, Karl; selain mengekalkan kehadiran Eddie, Black, Mel dan Jojet.

Direncana berlangsung selama 2 jam 30 minit, kenyataan medianya menyebut, konsert akan datang itu bakal memperlihatkan 30 peratus kelainan daripada Barbarik Vol 1.

“Dengan perancangan yang sudah cukup lama dan persediaan mantap, Pentas Barbarik Vol 2 akan menyaksikan 30 peratus repertoire berbeza, termasuk pemilihan lagu daripada apa yang telah dipersembahkan dalam konsert atau penganjuran pentas sebelumnya.

“Ini kerana, kami mahu memberi yang terbaik buat peminat sipaya mereka tidak datang ke sebuah persembahan secara langsung dan mendengar pengulangan seperti dalam kaset, permainan cakera padat, atau platform penstriman,” kata JoBranko.

Selain JoBranko, Barbarik turut dianggotai Ainol, Rozaimi, Muss, dan Lee.

Mengenai pemilihan Karl, beliau berkata, “Kenapa tidak? Selain kewibawaan dan legendanya seorang Karl, beliau juga ditampilkan dalam album sulung kami, Peluru Cokelat, melalui lagu Kayu Golok.

“Jadi, apa salahnya Barbarik membawa Karl dan kita semua dapat mendengar serta melihat persembahan secara langsung daripada beliau yag sentiasa penuh dengan magis.”

Tiket telah mulai dijual pada 18 Disember.

Akses

  • 31 Januari 2026
  • Megastar Arena, KL
  • 8pm

Tiket

  • RM138 (Umum), RM168 (Rockzone – Berdiri), RM268 (Normal – Duduk), RM368 (VIP – Duduk) & RM1,500 (Grand VIP – Couple Seat)
  • Sila layari www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2 untuk pembelian