Adrianna Cinta Kembali dengan Impiana

Single tentang harapan, realiti, kehidupan dan keindahan dalam kesyukuran.
Oleh RUMI
“Kadang-kadang kita kejar sesuatu yang kita sangka bahagia, tapi akhirnya kita sedar kebahagiaan sebenar datang daripada kejujuran dan rasa syukur.”
LEBIH mendalam dan penuh emosi, Impiana diharap dapat memperkukuhkan lagi nama Adrianna Cinta di dalam dunia muzik tanahair.
Berbekalkan lirik yang jujur dan tema yang menyentuh tentang impian palsu, lagu garapan Syaizul Amal dan lirik oleh Ain Maisarah ini yang diterbitkan oleh Farouk Roman, menyelami sisi gelap di sebalik keindahan hidup yang sering didambakan.
“Lagu ini menyampaikan mesej tentang kebenaran daam hidup,” katanya. “Kita semua suka kejar benda-benda yang indah, tapi untuk mencapai keindahan itu banyak benda susah atau buruk yang perlu dilalui.
“Impiana, bagi saya, bukan sekadar lagu tentang impian, tapi realiti yang kadang-kadang kita sendiri tidak mahu hadap.”
Ujar penyanyi yang mula diperkenalkan lewat single My Baby ini, Impiana turut menjadi wadah untuk dirinya meluahkan perasaan sebenar tentang kehidupan yang tidak selalu seindah seperti yang digambarkan, namun di sebaliknya tetap ada keindahan kecil yang patut disyukuri.
Dia, menerusi kenyataan medianya, juga mengimbau bagaimana atas saranan penerbitnya, sesi rakaman Impiana diadakan pada jam 1 pagi hanya untuk mendapatkan emosi yang tulen dan suasana yang lebih mendalam.

“Farouk mahu saya menyampaikan lagu ini dengan cara yang lain daripada biasa. Jadi, saya tidur dulu dan bangun semula pada tengah malam untuk mendapatkan suara yang raspy dan mood tenang.
“Lagu ini memerlukan rasa yang natural, bukan dibuat-buat, sesuai dengan mesejnya tentang kejujuran,” katanya.
Sebagai anak muda, Adrianna Cinta juga berharap Impiana mampu memberi kekuatan dan inspirasi kepada generasinya untuk melihat impian daripada sudut yang lebih realistik dan berjiwa.
“Buat siapa saja yang sedang mengejar impian, sentiasalah bersyukur. Untuk mencapai impian besar, harus lalui impian kecil dulu. Setiap kali kita berjaya mencapai sesuatu, walaupun kecil, berhenti sejenak dan hargai. Itu tanda kemajuan sebenar.
“Saya juga berharap Impiana dapat menyentuh hati semua pendengar. Kadang-kadang kita kejar sesuatu yang kita sangka bahagia, tapi akhirnya kita sedar kebahagiaan sebenar datang daripada kejujuran dan rasa syukur.
“Jika lagu ini boleh buat orang berfikir sejenak dan menghargai diri, saya sudah bersyukur,” katanya.
Diedarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, single Impiana kini boleh didengarkan di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.





Comments are closed.