“Siapa dapat dia bertuah.” – Along Exists tentang hadiah gitar pada konsert

Ada cerita di sebalik penberian gitar Manuel Rodriguez pada malam Exists Premium Live @PJ nanti.
Oleh ZURINA WAJI
“Kami pun ada lagu yang kami suka, tapi tak dimainkan di radio dan kita mahu kongsi kepuasan itu bersama fans dengan lagu yang sekian lama tersorok, tersimpan dan akhirnya dapat dipersembahkan pada Premium… “
“RASANYA dekat RM5,000 jugalah masa saya beli dulu,” kata Along, pemain gitar Exists, mengenai sebuah gitar yang dipersiapkan untuk audiens konsert Exists Premium Live @PJ yang akan berlangsung pada 20 Disember ini.
“Gitar Manuel Rodriguez ini sebenarnya adalah sebuah gitar buatan tangan dari Sepanyol. Ia merupakan sebuah gitar klasikal yang saya beli pada tahun 2018. Gitar ini memang unik, istimewa kerana saya tidak pernah beli gitar klasikal. Ini adalah gitar klasikal pertama saya beli.”
Pernah digunakan, antaranya untuk rakaman studio bagi lagu Setanggi Syurga oleh kumpulan nasyid terkenal, Inteam, gitar berkenaan juga diusung dalam rangka promosi konsert Reunion pertama Exists.
“Ada banyak juga cerita mengiringi perjalanan saya bersama gitar ini. Ia meninggalkan banyak kenangan indah, dan bermakna. Sebab itu, saya merasakan gitar ini sangat istimewa dan bertuahlah siapa yang memenanginya,” katanya.
Dijadualkan berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, selain gitar milik Along, audiens juga berpeluang memenangi sebuah set dram milik Ujang. Selain Along dan Ujang, Exists Premium Live @PJ akan turut disertai Ezad, Musa dan Ajai.
Jelas Along, dia mempunyai hampir 20 gitar di dalam koleksinya dan jenama Manuel Rodriguez ini yang mempunyai nilai sentimentalnya dipilih sebagai menyatakan penghargaan atas sokongan peminat terhadap Exists.
“Sesuai dengan konsep premium, saya memikirkan apa yang dapat kami berikan yang tidak dapat ditemukan di tempat lain. Justeru, saya tidak bersedih walaupun harus berpisah sebab memang sudah berniat untuk beri sesuatu pada fans.
“Gitar ini juga memang berguna, malah kondisinya masih elok, badan masih cantik. Saya juga memikirkan sudah lama sejak Exists membuat persembahan, tak pernah kami berikan apa-apa kepada fans. Jadi, kali ini kami berikan sesuatu yang premium, khas buat konsert,” katanya lagi.

Sebagai penutup tahun 2025, akui Along, konsert ini sebenarnya agak mencabar buat Exists.
“Kali ini agak berat kerana asalnya, konsert Premium ini dirancang untuk digabungkan dengan Selangor FC sempena pelancaran jersi baharu pasukan bola sepak itu. Tapi di saat akhir, rancangan itu dibatalkan.
“Penganjur, bagaimanapun mahu meneruskannya dengan sebuah konsert premium. Sebab itulah, konsert ini ditunda daripada Oktober ke Disember., tapi ada baiknya juga kerana ada beberapa benda baharu yang boleh kami rancang untuk diberikan kepada fans,” ujarnya.
Premium juga, katanya, bermakna konsert berkenaan akan menjadi lebih peribadi, baik buat Exists mahu pun para penggemar mereka.
“Kami mahukan satu persembahan yang bersifat intimasi, di mana Exists lebih terbuka. Ada segmen untuk kita berbual-bual dengan fans dan mereka boleh tanya apa saja yang mereka ingin tanya,” katanya, senyum.
Along, baru ini, turut berkongsi setlist yang akan diperdengarkan pada konsert akan datang, termasuk membabitkan judul yang jarang atau tidak pernah dibawa pada mana-mana persembahkan, sebelum ini.
“Pemilihan lagu, selain judul wajib yang tidak boleh tidak ada, iaitu hits dan judul malar segar, istimewanya Premium ini kerana ada juga judul yang tidak pernah kami mainkan secara live. Ada juga judul yang mendapat banyak permintaan, namun tiada kesempatan untuk ditunaikan dan kali ini kita akan tunaikan.
“Penting untuk Exists memberikan suatu yang istimewa pada setiap konsert, tambahan Exists ada banyak lagi lagu yang belum pernah dimainkan. Kami pun ada lagu yang kami suka, tapi tak dimainkan di radio dan kita mahu kongsi kepuasan itu bersama fans dengan lagu yang sekian lama tersorok, tersimpan dan akhirnya dapat dipersembahkan pada Premium,” katanya.
Sebelum menamatkan perbualan, sambil tersenyum, Along menitipkan pesan,”Saya berbesar hati memberikan kenangan indah saya menerusi hadiah gitar itu. Siapa yang menang nanti, simpan elok-elok.”







Comments are closed.