Satukan Kami di Syurga Diharap Jadi Fenomena
Lagu baharu Inteam yang dilihat memberi nafas baharu kepada kumpulan nasyid ini.

Oleh RUMI

“Satukan Kami di Syurga bukan sekadar lagu – ia perlu disampaikan dengan rasa dan keikhlasan yang mendalam.” – Hisyam

“LAGU ini ada potensi,” kata Hazamin, salah seorang anggota kumpulan nasyid terkenal, Inteam, merujuk Satukan Kami di Syurga, buah tangan terbaharu mereka yang merupakan ciptaan Farouk Roman.

Mengakui teruja dapat bekerjasama dengan Farouk, seorang komposer yang dikenali dengan karya hitnya bersama Khai Bahar, Hazama, dan Datuk Siti Nurhaliza, antaranya, lagu itu disifatkan sebagai satu kelainan dalam perjalanan seni mereka.

“Kami berharap lagu ini menjadi fenomena dan dekat di hati pendengar,” katanya lagi, menyakini kolaborasi itu yang turut membabitkan Fedtri Yahya sebagai penulis lirik, membawa sentuhan baharu dalam nasyid kontemporari.

Selain Hazamin, Inteam juga dianggotai oleh Syah, Rahim, dan Hisyam.

Lagu yang membawa mesej kasih sayang, pengharapan dan doa agar dipertemukan kembali di syurga bersama insan tersayang menjadikannya relevan dalam dunia penuh cabaran hari ini.

Sebuah video muzik mengiringi karya ini, menariknya menampilkan pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka, dan merupakan kolaborasi kedua mereka bersama Inteam selepas DIA pada 2019.

Hisyam, dalam kenyataan medianya, pula menyifatkan, “Satukan Kami di Syurga bukan sekadar lagu – ia perlu disampaikan dengan rasa dan keikhlasan yang mendalam.”

Rahim, sepertimana Hazamin, juga optimis mengenai potensi lagu berkenaan bukan saja untuk jadi popular, malah disifatkan memberi nafas baharu buat kumpulan yang berusia 25 tahun itu.

Tidak mustahil, terutama apabila Syah, dalam kenyataan sama, menyifatkan, “Lagu ini sangat universal, mudah diterima dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.”

Malah sepatah kata Norman, “Ia satu momen yang menyentuh hati.”Satukan Kami di Syurga kini boleh ditonton di saluran YouTube Inteam Digital dan didengari di semua platform penstriman digital utama.