Joe Flizzow Kembali Temui Fans Hip Hop Dengan 501
Sekali gus menandakan kemunculan yang dinanti-nantikan selepas dua tahun menyepi.

Oleh RUMI

“.. dinanti-nantikan selepas dua tahun, lagu ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya, menampilkan refleksi kematangan dan keyakinan terhadap evolusinya sebagai seorang artis.”

501 dilancarkan, melambangkan kepulangan tepat pada masanya buat Joe Flizzow selepas melalui fasa jeda seni, pertumbuhan peribadi dan penilaian semula secara kreatif.

Ia merakam kejelasan dan kematangan yang diraih sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menyampaikan mesej ketahanan diri, keasilan dan keyakinan melalui lirik yang tajam serta produksi moden.

Kolaborasi Joe Flizzow bersama SonaOne dan Gard ini, menurut kenyataan medianya, memainkan penting dalam membentuk identiti bunyi 501. Gabungan produksi kontemporari dengan kekuatan penyampaian unik Joe Flizzow menghasilkan sebuah karya yang segar, namun masih setia kepada akar muziknya.

Disifatkan sebagai kemunculan yang dinanti-nantikan selepas dua tahun, lagu ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya, menampilkan refleksi kematangan dan keyakinan terhadap evolusinya sebagai seorang artis.

Tidak terhenti pada muzik semata, sebuah video muzik mempersembahkan kisah 501 yang bagaimanapun hanya memberikan sedikit gambaran kepada dunia yang lebih gelap, penuh ketegangan, konflik, dan emosi yang mendalam.

Dengan visual yang berani, suasana suram serta detik-detik aksi yang mencetus tanda tanya, audiens seolah-olah diajak untuk menyaksikan sendiri keseluruhan jalan ceritanya melalui skrin.

Paparan “To Be Continued” yang menutup video muzik, bagaimanapun memberi isyarat jelas bahawa ini hanyalah permulaan kepada sebuah naratif yang lebih besar. Pengakhiran yang tergantung ini turut menambah keterujaan fans yang tentunya menantikan lagi karya baharu daripada Joe Flizzow dalam masa terdekat ini.

Jelas, tidak hanya kembali mendekati fans setia, dia malah memperkenalkan bunyi baharunya kepada pendengar lebih muda menerusi single ini yang berupaya mengukuhkan lagi kerelevenan dan pengaruhnya dalam arena hip hop serantau.

501 kni boleh distrim di semua platform digital bersama video muziknya.