Demi Fans, Drama Band Persembahkan Konsert Drama 15 Tahun
Harga tiket rendah untuk keraian ulang tahun ke-15 itu, Drama Band tolak tepi soal untung rugi.

Oleh RUMI

“Bukan untuk meraih keuntungan semata, tapi lebih sebagai penghargaan kepada fans setia Drama Band yang bersama kami selama 15 tahun ini.” – AEPUL ROZA

“REZEKI semuanya di tangan Allah,” kata Aepul Roza, vokalis Drama Band, mengakui tidak gusar dengan harga tiket yang dianggap agak rendah untuk Konsert Drama 15 Tahun mereka pada 31 Januari depan.

Sambil menegaskan konsert bukan sumber utama pendapatan mereka, menurutnya mereka sebenarnya tidak tergamak untuk mengenakan harga tinggi kerana enggan para penggemar mereka merasa terbeban.

Ujarnya, apatah lagi memandangkan konsert yang membuka tirai 2026 mereka itu adalah bagi meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-15 sejak muncul Naib Juara pertandingan Twisties Bingit Hot FM pada 2010.

“Bukan untuk meraih keuntungan semata, tapi lebih sebagai penghargaan kepada fans setia Drama Band yang bersama kami selama 15 tahun ini,” kata Aepul lagi, merujuk tiket konsert di RCD Big Studio, Shah Alam, itu yang dijual pada harga serendah RM118.

“Kami ingin meraikan fans kerana mereka tidak pernah jemu memberi sokongan.”

Dianjurkan oleh Aepul Roza Enterprise, konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures. Ini adalah konsert solo kedua mereka selepas penganjuran The Hardest Malam Drama, tahun lalu.

Selain Aepul, Drama Band turut dianggotai Adib dan Padel, kedua-duanya bermain gitar, Daus (bes), Syahmir (keyboard), dan Faeez (dram).

Selain giat menjalani latihan, band rock ini juga merancang untuk melaksanakan siri jelajah promosi merangkumi 22 lokasi di seluruh negara bagi menarik kehadiran ke Konsert Drama 15 Tahun nanti.

Dikenali kerana sering mengenengahkan isu semasa, dalam bentuk sindiran, menerusi lagu-lagu mereka, Aepul menjelaskan konsert kali ini akan hadir bersama pelbagai elemen kejutan, termasuk penampilan istimewa seorang penyanyi legenda.

“Tapi macam mana bentuk persembahan Drama Band dalam konsert ini, tunggulah,” katanya,   membiarkan para penggemar mereka berteka-teki, namun yakin kejutan yang dipersiapkan akan menjadikan penantian ini berbaloi.

Hit dengan lagu seperti Biarkanlah, Drama, dan terbaru, FYP, Aepul dalam satu temubual, sebelum ini, mengakui 15 tahun ini adalah satu perjalanan yang mencabar, malah bukan sekali dua mereka berdepan dengan penolakan.

Justeru, dalam berhibur mereka berharap konsert ini juga dapat menginspirasi mereka yang hadir, termasuk Drama Band sendiri untuk yakin dalam meneruskan langkah dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Akses

  • 31 Januari 2026
  • 8pm
  • RCD Big Studio, Shah Alam

Tiket