Pernah Didera Emosi dan Fizikal, Shila Amzah Dedah Dalam Lagu
Dimuatkan di dalam album baharu, SA25 yang mempunyai makna cukup peribadi.

Oleh RUMI

Sirna Hati berdasarkan kisah sebenar mengenai penderaan emosi dan fizikal yang pernah saya alami. Menulisnya seakan menghidupkan semula memori yang sukar.”

SA itu mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk kepada ulang tahun saya bergelar anak seni,” kata penyanyi popular ini mengenai makna di sebalik SA25 yang menjadi judul album baharunya.

“Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya.”

Memuatkan 10 lagu baharu, sebuah remake, serta empat trek bonus, album berkenaan adalah simbolik kepada perjalanan 25 tahunnya di dalam industri seni sejak kemunculan pertama pada 2000.

Jelasnya, karya baharu yang dimuatkan di dalam albumnya menggambarkan situasi hidup yang pernah dilaluinya dengan Sirna Hati menjadi judul paling mencabar untuk disiapkan.

Sirna Hati berdasarkan kisah sebenar mengenai penderaan emosi dan fizikal yang pernah saya alami. Menulisnya seakan menghidupkan semula memori yang sukar. Namun, Ubai (suami) banyak membantu dalam proses menyiapkan lagu ini,” katanya, memetik kenyataan medianya.

“Ubai galakkan saya menulis untuk menutup buku lama, ibarat menulis diari dan kemudian menutupnya untuk selamanya.”

Bukan rahsia mengenai episod peribadi Shila, antaranya membabitkan keluarga yang turut menyaksikan perceraian orang tuanya, penyanyi dan pelakon, Datuk ND Lala dan ibu, Fauziah Sarman, selepas 34 tahun mendirikan rumahtangga.

Selepas lebih dua tahun hidup sendirian, Fauziah, 57, baru ini, mengumumkan dia bertemu jodoh dengan Brigedier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh, 55, yang juga seorang duda.

SA25 menyaksikan Shila tampil dengan sisi lebih matang sebagai penyanyi, komposer, dan penulis lirik.

“Album ini bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi jurnal hidup saya. Setiap lagu mencerminkan fasa dan situasi berbeza yang saya lalui. Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer yang berlainan, DNA muzik saya tetap dikekalkan.

 “Setiap lagu membawa mesej bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan, kehilangan. Ia album yang penuh emosi, ibarat roller coaster.”

Selain karya terbaharu, ada juga karya yang dihasilkan beberapa tahun lalu, antaranya Tinggal Kenangan yag ditulis pada 2017. Untukmu pula ditulis khas buat suaminya dan antara lagu yang dekat di hatinya ialah Kamu dan Pernah Punya Aku.

Pernah Punya Aku bukan kisah saya, namun ia berlaku di depan mata dan memberi kesan mendalam,” katanya mengenai lagu yang juga single pertama yang dikeluarkan empat bulan lalu.

Selain Ubai sebagai penulis lirik, SA25 turut mendapat sentuhan beberapa nama yang sudah lama bersama Shila dalam dunia kreatif, antaranya Izzy Musa dan Raja Nazrin Shah.

“Saya memilih mereka kerana hubungan persahabatan dan kefahaman yang mendalam terhadap diri saya. Album ini sangat peribadi, jadi saya perlukan orang yang benar-benar mengenali perjalanan saya,” katanya.

Bagi trek bonus, Memori Tercipta yang pernah melonjakkan namanya selepas penyertaannya di dalam program realiti, One in a Million, antara yang dirakam semula. Juga disifatkan mempunyai nilai sentimental dan pengaruh besar terhadap perkembangan kerjaya dan kehidupannya ialah Penyejuk Hati, Tiada Dirimu, dan Khilaf Asmara.

Jika diringkaskan dalam satu perkataan, kata Shila, SA25 disifatkan sebagai kekuatan.

“Setiap lagu membawa mesej bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan, kehilangan. Ia album yang penuh emosi, ibarat roller coaster,” katanya, seraya mengakui ibu dan suami, antara sumber inspirasi dalam penghasilan album ini.

SA25 diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment milik Shila, dan boleh didapatkan dalam bentuk fizikal di platform e-dagang, selain platform digital.