Nidji x Bunkface: Malam Ini Siapa Punya?
Disebut paling energetik dan bersejarah 2025, penentuannya pada 21 Disember ini.

Oleh RUMI

Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan sekadar tapak konsert, bukan sekadar naik pentas buat persembahan, tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami.” – Sam

“BUKAN sekadar persembahan, tetapi momen epik yang tidak boleh diabaikan,” kata Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim mengenai pertemuan julung kali  Nidji dan Bunkface.

Ya. Nusa Fest kembali, namun berbanding dengan penganjuran 2023 yang hadir bersama puluhan line up, tahun ini hanya dua band diberi tanggungjawab sebagai penerus tradisi.

Dinamakan Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface – Nidji, mewakili Indonesia untuk terus menebarkan Cinta dan Sumpah Matiku, sementara Bunkface sebagai band andalan Malaysia yang tentu menjadikan kolaborasi julung kali ini Malam Ini Kita Punya di Megastar Arena, Kuala Lumpur, pada 21 Disember ini.

Pertemuan yang akan mencipta momen epik yang tidak akan dilupakan menjelang tahun 2026.

“Kenapa Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface? Kenapa tidak? Walaupun telah berkali-kali membuat persembahan di Malaysia, peminat Nidji tidak pernah melewatkan atau menolak kehadiran mereka.

“Energi yang dibawa Nidji sentiasa besar, membuat penganjur seperti Shiraz Projects teruja untuk melamar kugiran yang luar biasa ini membuat kolaborasi bersama Bunkface.

“Dan selaku pemain industri, siapa yang boleh menidakkan kredibiliti Bunkface. Dengan karya berkualiti dan penampilan penuh energetik, Bunkface adalah kugiran Malaysia yang sudah membuktikan reputasi dalam banyak penganjuran sebelum ini,” kata Shiraz, memetik kenyataan medianya.

Bagi vokalis Bunkface, Sam, projek ini membuktikan sinergi pemuzik Malaysia-Indonesia sentiasa mengalir dengan baik.

Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan sekadar tapak konsert, bukan sekadar naik pentas buat persembahan, tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” jelasnya.

Nidji, dalam kenyataannya, menyifatkan perkongsian pentas bersama Bunkface sebagai sebuah penghormatan besar buat mereka.

Kata vokalisnya, Ubay, “Memang Nidji dan Bunkface pernah bermain dalam festival yang sama, namun sepanggung hanya kami berdua adalah sebuah penghormatan buat kami. 

“Jadi, selamat bersenang-senang bersama Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface nanti kerana hanya yang terbaik akan kami persembahkan,” katanya.

Akses

  • 21 Disember 2025
  • 8pm
  • Megastar Arena, Kuala Lumpur

Tiket

  • RM168 (Platinum – duduk), RM198 (Diamond – duduk) & RM228 (Rockzone – berdiri)
  • Beli di www.ticket2u.com.my atau hubungi hotline 0122560082 untuk info