Deruan Dirilis Semula, Bawa DNA Sebenar Lokarya

Single sebagai sandaran untuk band indie city pop ini meraih tempat di arus perdana.
Oleh RUMI
“Kami suka muzilk yang rasa seperti kota – ada cahaya, ada kesibukan, dan juga ruang sunyi yang tidak terlihat.” – KHAIRI
“LOKARYA adalah ruang eksperimen kami. Setiap lagu bermula sebagai perbualan tentang hidup, hubungan, kebingungan, atau apa saja yang kami rasa,” kata frontman, Sheheth Nair.
Sempat dua tahun menyepi demi membina asas artistik yang lebih kukuh, band ini memperkenalkan semula single, Deruan, sempena kembalinya mereka ke pentas arus perdana.
Dirakam tiga tahun lalu, ketika Lokarya masih muda dalam industri dan belum memahami cara terbaik untuk memperkenalkan karya mereka, lagu berkenaan kembali sebagai pengenalan yang lebih jelas tentang arah muzik mereka.
Ditubuhkan pada 2019, Lokarya dianggotai Khairi Hamidi yang berada di posisi gitar, Rafael Ahmad (bass), Taka (keys), dan Amirul Zailan (dram), selain Shaheth yang turut bermain gitar. Band ini, menurut kenyataan media mereka, membentuk bunyi unik yang menggabungkan muzik city pop moden, jiwa soul dengan sentuhan alternatf yang bergaya.
“Deruan adalah lagu yang kami sayang sejak awal,’” kata Rafae, memetik kenyataan sama. “Tapi kami tahu waktu itu belum sesuai. Sekarang, dengan identiti yang lebih kuat, kami rasa lagu ini akhirnya berada di tempat yang betul.
“Ia menggambarkan DNA Lokarya yang sebenar.”

Gabungan city pop moden dengan sentuhan kontemporari menjadi identiti Lokarya yang mencampurkan melodi yang membawa nostalgia Jepun 80an dengan gaya moden, visual yang menarik dan lirik yang memeluk perasaan.
“Kami suka muzilk yang rasa seperti kota – ada cahaya, ada kesibukan, dan juga ruang sunyi yang tidak terlihat. Kami mahu pendengar merasai seolah-olah lagu-lagu kami bercakap terus dengan mereka,” ujar Khairi pula.
Deruan juga membawa harapan baharu buat band ini yang kini dalam fasa akhir pembikinan album penuh pertama yang mencerminkan perjalanan mereka seawal penubuhan.
Lokarya jelas teruja dengan penghasilan album itu yang turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama Noh Salleh yang turut menulis salah satu lagu penting di dalam album berkenaan.
“Kami membesar dengan menghormati karya-karya Noh Salleh,” akui Amirul. “Apabila beliau bersetuju untuk terbabit dalam album kami, ia bagaikan pengesahan bahawa kami berada di jalan yang betul.”
Penting, bagi band ini, untuk tidak mengejar trend, namun lebih membina ruang sendiri.
“Kami mahu muzik kami bertahan melepasi musim,” kata Shaheth. “Jika satu hari nanti orang mengimbau kehidupan mereka dan lagu kami menjadi sebahagian daripada memori itu, ia sudah cukup bagi kami.”






Comments are closed.