Sheila Majid, Gelar Biduanita Negara dan Fenomena Monthong Wittaya

Bagaimana rentetan itu memberi indikasi ada yang harus dipertimbangkan.
Oleh Zurina Waji | Foto Altus Prohouse
“… menongkah arus dengan muzik yang disifatkan ‘kelas elit’ itu ketika Bintang RTM memilih seorang gadis kampung berbakat besar bernama Ramlah Ram sebagai Queen Pop Melayu yang baharu.”
“TAHU tak kenapa merah?” kata Datuk Sheila Majid, matanya bercahaya, ada keterujaan dalam nada suaranya, persis remaja yang tidak sabar mahu berkongsi rahsia. Cuma satu: pemilik tubuh kecil dengan ketinggian hanya setengah inci lagi mencecah 5 kaki ini sudah berusia 60 tahun.
Mata yang terpanah keremajaan wajahnya melangkaui pilates yang jadi rutinnya, apatah lagi mengingati Januari depan bermakna usianya meningkat satu angka lagi. Tapi, tanpa tanda-tanda ibu empat anak ini akan memperlahankan langkahnya.
Sheila Majid 40 Years in Music, dua pekan lalu, meraih status sold out. Di bawah disco ball perak, 9,000 penggemarnya menikmati vibrasi yang ditebarkan pesona sang ratu yang memilih merah sebagai tema malam bersejarah itu.
“Red ruby, sebenarnya,” katanya lagi selepas saya, dalam pertemuan bersama beberapa rakan media di belakang pentas usai konsert, menyentuh mengenai persalinannya, salah satunya sarat bermanik, direka ala retro yang mengingatkan gaya Cher, berkilauan di kejauhan.
“Sebab itu adalah warna untuk (keraian) ke-40 tahun.”
Hampir tiga perempat daripada usianya telah diabadikannya kepada dunia seni sejak meledak dengan Pengemis Muda pada 1985, melempiaskan pop 80an yang sedang menghangatkan dunia dengan Madonna dan Like A Virginnya.
Debut dengan Dimensi Baru, imej gadis dengan beret merah menyapa industri di tengah rock sedang menggila daripada muzik ke fesyen jeans ketat dan rambut mengerbang.Pada usia 20 tahun itu, dia menongkah arus dengan muzik yang disifatkan ‘kelas elit’ itu ketika Bintang RTM memilih seorang gadis kampung berbakat besar bernama Ramlah Ram sebagai Queen Pop Melayu yang baharu.
Ingatan kembali tersingkap kala lantunan Dia mengharukan penyanyi asalnya, Vina Panduwinata yang ikut menonton, dan bagaimana cover ikonik itu diandalkan dalam langkahnya, mempertaruhkan muzik pop berbaur jazz, R&B, dan citarasa fesyennya, membawa pengaruh besar jauh sebelum dunia mengenali pempengaruh dan algoritma.
“… keraian 40 tahunnya sebagai satu pernyataan dirinya yang baharu, bereksperimentasi dengan single Moving On dan mood diskonya, juga lewat kehadiran DJ Jemput Dengar dengan disco ball perak di kepala dan dek turntablenya… “


JANGAN SAMPAI TUA SEBELUM WAKTUNYA
Reputasi Sheila membuat saya tidak dapat mengelak daripada mempunyai jangkaan tinggi bagi Sheila Majid 40 Years in Music anjuran Altus Prohouse ini dengan TopGallant Show sebagai penganjur bersama.
Kerana 40 tahun – membina nama dan bertahan, bukan suatu yang boleh diperlekehkan. Disebut sebagai tribute terhadap banyaknya pembabitan individu hebat, lalu penghormatan semacam apa akan diberi kepada para arkitek dan tangan magis itu?
Kesetiaan tidak datang dalam masa sehari, dan Sheila masih ditemani Mac Chew sebagai Pegarah Muzik yang telah bersamanya sejak 1987; selain Jenny Chin, juga di keyboard dan menjadi kolaborator bersama. Tiada kompromi, para pemuzik berkelas dunia mengiringi, daripada Tohpati, pemain gitar jazz terkenal Indonesia ke Steve Thornton (perkusi), selain John Thomas (dram) dan Rozhan Razman (bass) yang mengesahkan kehebatan bakat muda tempatan namun jarang diperhatikan.
Tapi adakah malam sempena 40 tahunnya itu yang terbaik daripada Sheila?
“Sepatutnya lagi gah,” kata seorang teman yang mengakui masih mengingati keasyikan konsert Legenda di Johor Bahru pada 1991 yang mengimbas era kegemilangan RAP, label yang dilihat membawa muzik dan seniman tanah air ke next level.
Mengharapkan elemen yang signifikan kepada perjalanannya, kami membayangkan duet Sheila & Vina lewat Dia, menjadi kejutan yang akan melorekkan kenangan ekstra manis.
“Atau, Liza Aziz. Dia yang menjadi backup sejak awal, bawalah Azlina Aziz sekali nyanyi Bersatu Hati,”Tak rugi pun, dua-dua legenda,” ujarnya lagi, berharap. “Sheila akan lebih diraikan. Macam mana pun ini parti dia menyambut 40 tahun dalam karier. Itu semua lagu-lagu besar dia, (tapi) kenapa tidak ada? Mana lagu daripada album Ikhlas?”
Fikiran jadi melayang pada ketulusan Jentayu, duet Sheila & Nora yang saya kira antara lagu Melayu terbaik, dicipta Allahyarham Johan berlandaskan puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang. Juga pada keasyikan roh keMelayuan Entah Jadi Entahkan Tidak, duet Sheila & Allahyarham Tan Sri SM Salim .
Masih, saya tidak akan menafikan keindahan momen, menyaksikannya di bawah sorotan lampu dan diiringi piano Mac, memberikan rendisi terbaik Ku Mohon. Bibit indah turut dberikan Kerinduan yang diiringi petikan gitar Tohpati sepertimana judul Tua Sebelum Waktunya ke Memori yang buat badan ikut berhayun.
Tapi Sheila turut menjadikan keraian 40 tahunnya sebagai satu pernyataan dirinya yang baharu, bereksperimentasi dengan single Moving On dan mood diskonya, juga lewat kehadiran DJ Jemput Dengar dengan disco ball perak di kepala dan dek turntablenya sebagai pembuka konsert.
Mood dance turut disalurkan lewat Kayda dengan cover Boneka yang energetik, namun ketika puteri sulung Sheila itu tidak mungkin menjadi carbon copy ibunya, momen dua beranak itu tetap menghadirkan penghormatan.
Biar mungkin bukan set yang sempurna, ia tidak menepikan hakikat selepas empat dekad dia kekal relevan, memiliki penggemar rentas generasi dan bagi sebahagian, wajar saja dia diangkat Biduanita Negara yang bagaimanapun mengundang debat: Layakkah?

SEBUTIR BINTANG DI TAMAN SENI
Penggemar Sheila Majid mulai memenuhi Axiata Arena ketika nun di Bangkok ada fenomena sedang melanda, tentang satu pasukan kecil bola sepak daripada sebuah sekolah miskin dengan impian besar – Monthong Wittaya.
Stadium Suphacalasai dengan kapasiti 20,000 penonton dipenuhi 36,000 orang – pertama kali sejak 32 tahun, pada perlawanan akhir 7HD Champion Cup 2025 antara pasukan underdog itu dan Chai Nat Provincial Administrative Organisation School yang ternama.
Songtaew usang, sebuah pikap biru berusia 40 tahun yang dipandu jurulatih, Sakol Kliengprasert dijoloki “pengejar impian”, membawa anak kampung di tengah komuniti Islam itu, menambat hati rakyat dan menyatukan negara majoriti penganut Buddha.
Biar tewas tipis 1-2 kepada Chai Nat, Monthong Wittaya yang pertama kali menjejakkan kaki ke perlawanan akhir menjadi simbol kebangkitan, dan bahawa keajaiban bisa berlaku walau dalam keadaan terburuk. Di Malaysia, angin Monthong Wittaya bagai memberikan jawapan ketika negara berdepan skandal bola sepak yang memalukan.
Sheila Majid dan Monthong Wittaya mungkin dari dua dunia berbeza, namun dengan satu nilai sejagat: Mereka menginspirasi, mempamer kekentalan jiwa berjuang ke akhir garisan.
Sebab impian tidak memerlukan permulaan yang sempurna, sebaliknya keberanian untuk mengambil langkah pertama itu dan berdepan apa jua kemungkinan. Mereka bukti underdog juga boleh menggapai awan. Pencapaian mereka melangkaui jangkaan, meniupi bara patriotisme dan menjadi sebuah pengkisahan feel good serta simbol harapan, terutama buat generasi muda.

Fenomena pasukan bola sepak Monthong Wittaya
Begitupun, dalam perbalahan siapa yang layak untuk gelar Biduanita Negara, hatta Biduan Negara, soalnya siapa yang dipertanggungjawabkan? Bagaimana timbang tara dibuat dalam kesepakatan, atau bentuk kriteria, syarat dan format yang seharusnya selari dengan peredaran masa.
Jika Sasterawan Negara sudah memasuki pemilihan ke-16, peliklah kalau alasan Biduanita Negara cukup payah diketemukan calonnya sejak Allahyarham Puan Sri Saloma menerimanya pada 1978, diikuti Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006), dan Datuk Siti Nurhaliza hampir 20 tahun kemudian.
Masa menyaksikan nama Sheila mengharum tidak terbatas Antara Anyer dan Jakarta. Saat ini, kembali berlegar video Festival Muzik Tokyo ke-18 pada 1989 semasa Sinaran membuat Jepun terpana – pada lagu Melayu dan Sheila Majid, bintang dari sebuah negara kecil yang ketika itu sedang bangkit bersama polisi ekonomi Dasar Pandang ke Timurnya.
CD mini 3-inci yang memuatkan single Sinaran, ciptaan Azlan Abu Hassan dan Allahyarham Johan Nawawi, dengan susunan baharu menempatkan Sheila sebagai artis pertama Malaysia menembusi pasaran Jepun dan rekodnya itu masih utuh sampai hari ini. Pantaslah apabila lagu itu mengakhiri malam keraian 40 tahun Sheila Majid, simbolik perjalanannya yang panjang.
Tidak mengapalah kalau bukan untuk Sheila, dan bukan hari ini, tapi satu keanehan Malaysia ialah tabiatnya untuk memberi pengiktirafan apabila seseorang itu sudah tiada, seumpama pengkisahannya Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Yang tak syoknya, sejarah boleh berulang dan kita tidak pernah mahu belajar.
Trivia
– Sinaran pernah menduduki tangga No.1 di Stesen Radio Sapporo, Jepun pada 1989.
– Dikatakan dicipta sebenarnya oleh Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
– Dimuatkan di dalam album kedua Sheila, Emosi, ia uga dirakam dalam versi Jepun oleh Kaho Shimada dengan mood Latin Jazz pada 1997, selain bintang Hong Kong, Sammi Cheng (Kantonis) dan pemain saksofon terkenal, Dave Koz (instrumental).




Comments are closed.