“… feeling yang dia bawa.” – Andi Rianto tentang Ernie Zakri dan single, Perjalanan

Sebuah kolaborasi emosional yang mengangkat kisah hidup dalam bentuk muzik.
Oleh RUMI
“Saya suka tone dia, teknik dia, tapi paling penting feeling yang dia bawa. Dia sangat penuh emosi apabila menyanyi dan itu yang saya mahu tonjolkan.” – Andi Rianto
“INSPIRASINYA adalah Ernie Zakri,” akui Andi Rianto, mengenai inspirasi komposisi Perjalanan, karya terbaharu yang menggandingkannya dengan penyanyi bersuara emas itu.
“Saya rasa dia sudah melalui banyak pengalaman dan suka duka dalam industri, dan saya fikir inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti Perjalanan.”
Lagu itu, menurut komposer dan produser terkenal Indonesia itu, menyatukan kekuatan penceritaan dan keindahan melodi dalam sebuah karya yang mendalam dan penuh penghayatan.
Ia yang menyelami kisah hidup, pengalaman, dan cabaran yang dilalui masing-masing dalam industri seni yang disempurnakan melodi penuh jiwa dan lirik jujur, lagu ini hadir sebagai refleksi dan penghargaan terhadap perjalanan setiap insan.
“Idea lagu ini muncul apabila Andi minta saya tulis lirik sendiri, tentang apa yang saya rasa,” kata Ernie, memetik kenyataan medianya, mengakui lirik ditulisnya beradasarkan pengalaman sendiri.
“Beliau juga sangat menghormati ruang kreatif saya. Dia beri saya kebebasan untuk menulis kisah sendiri, malah dia cakap dia lebih suka mencipta melodi berdasarkan cerita saya.”
Andi, menerusi kenyataannya, mengakui kolaborasi itu sangat menyenangkan, malah ciptaannya juga berlaku secara spontan dan sangat organik.
“Bagi saya, elemen muzik paling penting adalah vokal Ernie. Saya suka tone dia, teknik dia, tapi paling penting feeling yang dia bawa. Dia sangat penuh emosi apabila menyanyi, dan itu yang saya mahu tonjolkan,” katanya.
Cabaran terbesar buat penghasilan karya terbaharu ini, menurutnya lagi adalah untuk memastikan bakat Ernie diserlahkan sepenuhnya.
“Saya mahu semua orang tahu betapa hebatnya Ernie Zakri, bukan saja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu. Itu yang saya mahu orang rasai melalui Perjalanan,” tambahnya.
Perjalanan yang turut dipilih sebagai runut bunyi bagi drama terbaharu TV3, Cinta Anak Lorong, kini bleh didengarkan di semua platform digital.






Comments are closed.