“Bila buat lagu, Wings, Search ada dalam kepala.” – Addy
Tentang impian dan album studio baharu yang menamatkan hibernasi Cradle hampir dua dekad.

Oleh ZURINA WAJI | Foto BUSTAMAM MOKHTAR

“… tapi dengan suara Eiz dan saya dah boleh bayangkan suara garau dia. Jadi, sebaik dia cakap okay, saya terus tempah studio walaupun ketika itu, kami tiada apa-apa kecuali semangat dan minat mendalam.”

UNTUK meninggalkan legasi, Cradle harus dihidupkan kembali. Pada masa sama, Addy Rasidi bagaimanapun akur banyak yang sudah berubah sejak dia mengasaskan band rock alternatif itu pada usia 18 tahun.

Cradle diperkenalkan Addy lewat album Gurindam Keluli pada 1996, di tengah kebangkitan aliran muzik grunge, hanya dua tahun selepas dia mencipa nama bersama Teacher’s Pet.

Pengiktirafan diraih menerusi album kedua, Ceritera Awan pada 2007, antarnya bagi Album Terbaik Tahun 2008, Anugerah Planet Muzik 2008 seharusnya membawa mereka lebih jauh, namun tertangguh ekoran kesibukannya, termasuk dengan projek solo.

Pertama, dia perlu tampil berempat sepertimana Cradle asal. Tapi, kenapa mesti berempat?

“Band mesti nak macam The Beatles, empat orang. Bagi saya, Wings, Beatles adalah contoh baik untuk band empat orang,” katanya, mengimbau pencarian ahli baharu bandnya. “Jadi, pada 2016, atau 2017 macam tu, pertama kali saya hubungi Eiz Mohd.

“Sejak mula, saya memang dah ada Eiz dalam radar saya, (kriteria) penyanyinya mesti begini.”

Eiz, ketika itu, bersama Gerilia, sebuah band projek oleh gitaris Exists, Along. Gerilia yang berteraskan muzik heavy metal, membawa pengaruh band seperti Metallica dan Megadeth, antaranya.

Ia bagaimanapun tidak terus diterima Eiz sehinggalah lima tahun kemudian apabila Addy melamar buat kali kedua.

“Saya mula kumpul lagu dalam iPhone, sekadar strumming gitar dan bertukar pendapat dengan Eiz. Juga dengar band macam Gigi, (muzik) Indonesia sikit walaupun saya berbalik semula pada Wings, Search kerana inilah muzik kita membesar,” katanya pada pertemuan usai latihan untuk persembahan Cradle Live!

Dijadual berlangsung hari ini, di Hotel Ideas, Kuala Lumpur, ia diadakan bersempena kelahiran album studio penuh Cradle, Hela Nafasku yang memuatkan 11 lagu, sebahagiannya ciptaan Addy dan Eiz, dengan Ayuh! sebagai single pertama.

Legenda, Datuk Ramli Sarip yang juga Penasihat Eksekutif album merupakan tamu istimewa dalam persembahan band itu yang turut bernaung di bawah label Rasa Karya yang dimilikinya.

“Macam mana pun, (pengaruh) tetap tempatan,” kata Addy lagi yang terdahulu memperkenalkan dua lagi ahli baharu Cradle, Zul Wahab yang bermain bass, dan Adha Lizam (dram), selain Eiz.

“Bila buat lagu, Wings, Search ada dalam kepala, tapi dengan suara Eiz dan saya dah boleh bayangkan suara garau dia. Jadi, sebaik dia cakap okay, saya terus tempah studio walaupun ketika itu, kami tiada apa-apa kecuali semangat dan minat mendalam.”

“… Hela Nafasku  yang membawa vibrasi 90an itu dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhan Cradle, ketika penghasilan album studio penuh, hari ini, dianggap tidak lagi relevan berbanding single.”

Dirakam di Studio 47, Singapura, dan Sonic, Malaysia, menariknya Hela Nafasku  yang membawa vibrasi 90an itu dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhan Cradle, ketika penghasilan album studio penuh, hari ini, dianggap tidak lagi relevan berbanding single.

Addy yang juga Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik, selain menjadi Penerbit Eksekutif bersama Lisa Ang, menyifatkan tempoh dua tahun yang diambil untuk menyiapkan album itu nyata berbaloi.

Kerana jelasnya, perjuangan Cradle yang diteruskan sebagai legasi buat generasi baharu, harus dipersiapkan bukan atas dasar muzik semata, malahan perlu mampu membawa semangat yang sama.

“Alhamdulillah, kadang jodoh pertemuan kita tak tahu,” katanya, menyifatkan penggabungan mereka berempat sebagai satu yang magikal. “Kita cuba (dengan ahli lain),  tapi tak menjadi. Sebelum Zul pun ada pemain bes lain, ada pemain dram lain juga.

“Pertemuan kami, mungkin (disebabkan) keserasian dan perangai, adab sesama kita dan bagi saya, itu sangat penting. Semasa pelawa Zul pun, sebab dia berpengalaman dan berguru dengan pemuzik sehebat Allahyarham Aji dan Kelly, saya fikir dia old timer, tak mungkinlah dia mahu menyertai Cradle. Itulah tak sangka dia mahu pula.

“Seperti Adha, setahun selepas melamarnya, barulah dia bersetuju. Itulah, apabila dapat Eiz seorang saya teruskan rakaman. Nekad, saya tempah studio dan bayar, kita jalan saja,” ujarnya.

Tiket bagi Cradle Live!  berharga RM250 (VIP) dan RM160 berbaki sedikit saja lagi. Harga merangkumi bufet makan malam, selain persembahan. Sila layari www.iLassoTickets.com/cradlelive atau hubungi hotline +6011 13297822 untuk pembelian.