Trendsetter Hipdut, Tenxi & Naykilla Bakal Ributkan KL

Bakal buat penampilan sulung lewat di Zepp KL, Januari depan
Oleh RUMI
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Saya tidak sabar untuk berdiri di atas pentas Zepp KL dan merasakan sorakan serta semangat penggemar di sini.” – NAYKILLA
“SAYA tahu vibrasi muzik di sini sangat kuat dan penuh energi,” kata Tenxi yang mencetus fenomena apabila lagunya, Garam dan Madu (Sakit Dadaku) meraih 2 juta tontonan hanya dalam masa dua hari penayangannya di YouTube pada Disember, tahun lalu.
Kini, mencatatkan 11.2 juta pendengar bulanan di Spotify dengan lebih 338 juta penstriman setakat Ogos 2025, bakat muda Indonesia ini sedia untuk menawan penggemar Malaysianya pada Januari nanti.
Sudah tentu bersama Naykilla yang turut membawa pengaruh besar dengan 260 juta penstriman, selain 390,000 pendengar aktif bulanan di Kuala Lumpur saja, lewat konsert yang digelar Panggung Puting Beliung – Tenxi & Naykilla Live in Kuala Lumpur.
Dipersembahkan oleh Icon Entertainment, konsert itu akan menyajikan gabungan genre hipdut moden yang diolah secara eksklusif dengan elemen visual serta pencahayaan sinematik.
“Kami mahu bawakan sesuatu yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang orang akan ingat lama selepas konsert berakhir,” ujar Tenxi lagi, merujuk konsert itu yang juga bersempena judul albumnya.

Anak jati Sidoarjo, Jawa Tengah ini, mencipta gelombang besar, termasuk mendominasi Tiktok Nusantara selepas kejayaan Garam dan Madu (Sakit Dadaku) yang turut menampilkannya bersama Jemsii, selain Naykilla. Dia juga hit dengan judul seperti Kasih Aba-Aba dan Berubah.
Sedang Naykilla, memetik kenyataan medianya, mengakui, “Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Saya tidak sabar untuk berdiri di atas pentas Zepp KL dan merasakan sorakan serta semangat penggemar di sini.
“Kami janji, malam itu akan jadi sesuatu yang luar biasa.”
Icon Entertainment, menerusi kenyataan medianya, berkata pemilihan Tenxi dan Naykilla bukan bersandarkan populariti semata, malah dilihat mewakili suara generasi baharu yang berani bereksperimen dengan identiti muzik tempatan.
“Panggung Puting Beliung bukan sekadar tajuk konsert, tetapi manifestasi kepada arus baharu yang dicipta oleh Tenxi,” kata kenyataan itu. “Dengan statistik digital yang kukuh serta permintaan yang terus meningkat, konsert ini dijangka akan dipenuhi peminat, khususnya Generasi Z yang menjadi nadi utama kebangkitan muzik hipdut masa kini.”
Akses
- 10 Januari 2026
- Zepp KL
- Tiket Tiket serendah RM130 boleh didapatkan dengan melayar ticket2u.com.my/Tenxi






Comments are closed.