Spider Unplugged: Senikmat Biskut Rendam Kopi O!
Di malam konsert, selepas hampir tiga dekad, yang menggugah rasa.

Oleh Zurina Waji

“… sukar untuk tidak meletak harapan tinggi terhadap keupayaan Spider pada malam Unplugged itu selepasSpider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 menghambat nostalgia.”

SAAT Spider mengumumkan Spider Unplugged Concert mereka, diri penasaran memikirkan kelak semacam apakah karya band rock dengan pengaruh ska dan punk ini hendak diperlakukan.

Keterujaan sedia memuncak kerana konsert di Megastar Arena itu adalah yang pertama seumpamanya daripada band asal Johor Bahru ini. Iaitu, selepas hampir tiga dekad bertahan dalam dunia muzik dengan sepak terajangnya.

Kerana semenjak debut dengan Ngam Ho pada 1998, Spider tidak pernah gagal meraih perhatian dengan paduan Tam Mustafah-Allahyarham Loloq yang menguasai sebahagian besar arkib karya mereka.

Apatah lagi hakikatnya konsert solo Spider antara yang paling langka, tidak berpadanan dengan tempoh keberadaan mereka dalam jalur perdana. Sungguh antara band dengan muzik terbilang niche, justeru membuahkan kekaguman.

HARAPAN TINGGI

Jujur saja, saya yakin seperti ramai penggemar, memang sukar untuk tidak meletak harapan tinggi terhadap keupayaan Spider pada malam Unplugged itu selepasSpider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 menghambat nostalgia.

Konsert 2024 itu yang menurut saya, sebuah malam yang mengimbau penemuan hampir tiga dekad Datuk M Nasir, produser dan pemilik Luncai Emas, iaitu label mereka bernaung, dan jargon indah Loloq lewat liriknya, telah menjadi penanda aras bagi persembahan Spider selepas itu.

Unplugged, atau akustk, sekadar istilah yang disebut Tam, frontman dan pengasas Spider, dengan bunyi-bunyian instrumen muzik dan nyanyian, semuanya “tone down sikit”, secara automatik tentulah harus sebagus konsert Sarang, atau lebih lagi, tidak boleh kurang.

Di konsert yang hampir full house, baru ini, nyata harapan turut dibenihkan kekuatan muzik Spider sendiri yang disempurnakan oleh Aie Nasir pada permainan dramnya, juga Iss dengan dengungan besnya dan pemain gitar muda, Pown Hasril, yang meniupkan angin segar pada persembahan.

Saya kira, ketara dalam perjalanan Spider, terutama dengan ketiadaan dua lagi anggota asalnya, Allahyarham Nafie dan Tony, Tam mendominasi. Ibarat lelabah, begitupun mana mungkin menguasai tanpa kaki-kaki kecilnya kala menyirat benang mempamer kehebatan.

“… Waduh Tijah, signature  M Nasir sebagai penciptanya masih enak didengar. Kejutan diberikan Tam yang menyuntik getar rocknya lewat hits Kembara, Impian Seorang Nelayan yang menusuk banyak hati… “

WADUH SPIDER!

Seawal membuka panggung dengan Rasakan Resapan, menghadiahkan 24 karya semuanya, tidak ada sekali pun adrenalin menurun pada malam yang menampilkan Firdaus Mahmud sebagai Pengarah Muzik itu.

Spider sendiri, secara bersama, jelas menikmati keberadaan di pentas, terasa benar memberikan 101% yang ditimbal balik 5,000 audiens yang memenuhi arena dengan energi yang menambah kehangatan malam.

Di tangan Fridaus yang turut bermain keyboard dan Rafi Mohd yang memimpin 15 pemuzik strings – biola dan selo, selain tiga horns – sebagai Penyusun Muzik, terolah karya creme de la crème yang berhasil mempamer sisi lain Spider. Kehadiran Paang Zaman di perkusi menambah kemewahan muzik lewat sistem bunyi yang padu.

Visual kreatif, tidak menyesakkan mata, mengimbangi kesederhanaan pentas yang memberi kenyamanan dalam menikmati karya. Biar saya agak off dengan visual yang mengiringi Waduh Tijah, signature  M Nasir sebagai penciptanya masih enak didengar. Kejutan diberikan Tam yang menyuntik getar rocknya lewat hits Kembara, Impian Seorang Nelayan yang menusuk banyak hati, malam itu.

Bila Nak Saksi, Aladin, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin, antara judul lazim, namun menariknya set Unplugged ini juga memperlihatkan hampir keseluruhan album 2004 mereka, Nazraku, disenaraikan, antaranya all time favourite saya, Cinta Dewa Dewi. Dihimpun bersama judul seperti Ngam Ho dan Mabuk, antaranya juga mengundang kerinduan pada kegilaan pemikiran Loloq.

Mungkinkah Terjadi, juga ciptaan M Nasir yang jelas digemari sebahagian besar audiens yang sudah pun berlari ke depan pentas pada tiga lagu terakhir, menutupi malam Unplugged yang penuh makna.

Iaitu, sebagai malam yang saya kira menzahirkan penghargaan Spider buat sang sifu dalam perjalanan mereka pada konsert yang boleh disimpulkan sebagai sebuah kenikmatan – dengan meminjam bahasa Loloq, senikmat biskut rendam kopi O!