“Dia adventurous. Dia fun. Sikit berdebarlah.” – Tam tentang Spider Unplugged Concert.
Satu yang pasti, kata vokalis dan pemain gitar ini, konsert rare esok jangan dilepaskan.

Oleh Zurina Waji

“… kalaulah saya duduk sebagai peminat Spider, kalau macam inilah treatment yang diberikan Spider, memang rugilah kalau tak datang. Kalau nak tengok sisi lain Spider, inilah masanya.”

SPIDER yang bakal meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-30, tahun depan, mengakui masih merasakan gementar apabila berdepan dengan persembahan seperti Spider Unplugged Concert.

Jelas frontman, Tam Mustafah, rasa itu tidak dapat dielak, apatah lagi konsep sebegitu adalah yang pertama buat mereka.

Unplugged, atau akustik, antara istilah yang digunakan, tapi akustik ini memang buat kita seronok, malah saya akui ia sangat adventurous untuk kami. Bukan saya seorang, malah kami semua. Gementar, semua artis akan mengalaminya, tapi bagus juga dan lawan, kumpul semangat balik.

“Dia adventurous. Dia fun. Sikit berdebarlah.”

Sempat, dengan nada separa berseloroh, kongsinya lagi, “Macam Pown (pemain gitar) sendiri, kalau dia main gitar biasanya ada elektrik, tapi sekarang dah tiada. Distort dah kering, (bunyi) ting! pun dah tiada. Is (pemain bass) samalah.

“Sama juga macam dram, Ayie, dia biasa main hempuk, sekarang kena main secara rileks saja.”

Dianjurkan oleh Naga Legenda Entertainment, malam yang diproduksikan oleh Beso Events itu, menurut sosok dengan nama sebenar, Rustam Mustafah, persembahan esok akan memperlihatkan sisi berbeza Spider.

“Bila tone down sikit, tiada distortion, menyanyi pun mungkin lain sikit, terutama daripada segi susunan lagunya. Saya kira, menariknya konsert ini kelak ialah susunannya yang paling istimewa, pada treatment semua lagu yang kami buat.

“Apa yang boleh saya katakan, kalaulah saya duduk sebagai peminat Spider, kalau macam inilah treatment yang diberikan Spider, memang rugilah kalau tak datang. Kalau nak tengok sisi lain Spider, inilah masanya,” katanya.

Pada pertemuan dengan media di Sungai Buloh, di studio mereka menjalani latihan bersama para pemuzik yang akan mengiringi Spider Unplugged Concert kelak, dia menepikan kegerunan terhadap persembahan akustik.

“Saya tahu, ada yang berpandangan paling bahaya sekali (persembahan) adalah akustik, orang cepat kesan dalam nyanyian. Kami pun pergi juga ke konsert pemuzik lain, kadang bukan itu (suara) yang kita nak tengok semata.

“Tapi kita nak tengok juga persembahannya, bunyinya, cara persembahan pentasnya. Itu yang diambil kira juga, bukan semata-mata vokal. Cuma kalau ada terkucil sana sini, sebab kita hanya manusia, bukan. Jadi kena hadaplah kalau terjadi, cuma harapnya okeylah pada malam Spider nanti.”

“Ada yang bertanya, macam unplugged Nirvana ke? Itu bukan konsert, ramai orang ingat itu konsert. Itu adalah satu persembahan di MTV, tapi memang sempoi mereka main.”

Diasaskan di Johor Bahru pada 1996, Spider yang meledak sebaik debut dengan album Ngam Ho, merupakan penyandang beberapa gelar berprestij, termasuk Album Pop Rock Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-10 meneusi album Aladin.

Relaku Pujuk yang dinobat Juara Lagu 2004 adalah antara puluhan malar segar dimiliki Spider.

Tam tidak menafikan ada dalam kalangan penggemar mereka yang tidak dapat membayangkan bagaimana pengaruh genre ska dan punk dalam karya mereka akan digubah bagi memenuhi tuntutan sebuah persembahan unplugged.

“Ada yang bertanya, macam unplugged Nirvana ke? Itu bukan konsert, ramai orang ingat itu konsert. Itu adalah satu persembahan di MTV, tapi memang sempoi mereka main. Tapi tengok sajalah nanti apa lagi yang kita boleh buat dengan muzik Spider.

“Jika mahu diterangkan dengan perkataan, susah. Kena rasa, kena alami. Nak cakap, jelaskan dengan perkataan memang susah. Jadi, kena datang dan siapa yang mahir untuk menjelaskan dalam perkataan, buatlah,” katanya.

Kemudian, sambil meletakkan tangan kanannya di kiri dadanya, tambahnya, “Rasa kita semua ada dalam ini (hati), kalau dalam bentuk perkataan kami tak pandai untuk menjelaskannya. Kena rasa sendiri.”Spider Unplugged Concert akan berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang. Tiket terhad pada harga serendah RM198 boleh didapatkan dengan melayari www.iLassotickets.com.my