“Ini cerminan hidup kita.” – Syafie Naswip tentang Hello Bam Bam dan watak mak nyahnya
Sebuah drama Tik Tok yang benarkan audiens memilih – gembira atau sedih sebagai pengakhirannya.

Oleh Zurina Waji | Foto Produksi Hello Bam Bam

“… Hello Bam Bam ini adalah cerminan kepada hidup kita yang nyata. Ada babak tertentu yang merobek hati anda, kalau berlaku, itu sebenarnya… “ – Syafie

“SEJUJURNYA, kalau boleh tak mahu bawa watak yang sama berulang kali,” kata Syfie Naswip, mengenai peranan Awin, seorang lelaki dengan perwatakan lembut atau mak nyah yang dilakonkannya di dalam drama Hello Bam Bam.

Diarahkan oleh sutradara box-office, Hasyim Rejab, drama CSR itu yang merupakan idea dan karya asal penerbitnya, Amy Mazurah itu juga diterbitkan secara bersama oleh MFI dan Video Brosur.

“Tetapi apabila diberitahu mengenai konsep dan temanya yang mengangkat soal kesedaran kesihatan mental, saya rasa ia suatu yang perlu dipenuhi sebagai seorang pelakon untuk dekat dengan masyarakat, untuk beritahu apa permasalahannya,” tambahnya mengenai drama baru Tik Tok itu.

“Lagi pula, saya teringin untuk bekerja dengan Hasyim Rejab dan semua pelakonnya. Sudah tentu, saya juga tidak pernah buat drama Tik Tok. Ini pengalaman pertama dan saya menghargainya, semua momen di set.”

Pernah memainkan watak mak nyah, lakonannya sebagai Hamid menerusi telefilem, Demi Tuhan Aku Bersaksi, sempat meraih kecaman apabila dituduh memburukkan imej sekolah tahfiz dan mempromosi budaya homoseksual.

Diarahkan oleh Eyra Rahman untuk siaran RTM pada 2019, Hamid berdepan cabaran dan penghinaan apabila golongan sepertinya cuba kembali ke pangkal jalan dengan mendalami ilmu agama.

Hello Bam Bam pertemukan pelakon berpengalaman dan pempengaruh

SINOPSIS

Didera dan dibuli kerana penampilannya, Awin melarikan diri daripada rumah anak yatim. Dia diselamatkan oleh Deddy seorang pendandan rambut flamboyan yang memberinya harapan. Awin jadi akrab dengan Jojo, seorang tomboy yang diselamatkannya bersama temannya, Kak Sha ketika cuba menamatkan riwayat hidupnya. Kehadiran Bam Bam yang menjadi mangsa sindiket minta sedekah oleh bapanya sendiri mengubah hidup mereka yang menjadi ‘ibu bapa’ kepada kanak-kanak itu. Namun di tengah kebahagiaan itu, kehidupan silam kembali menghantui mereka.

Pemenang beberapa anugerah, seawal kemenangannya sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi lakonan sulungnya di dalam Mukhsin, Syafie menyifatkan Hello Bam Bam bukan sekadar drama hiburan.

“Apa yang dipersembahkan di dalam Hello Bam Bam ini adalah cerminan kepada hidup kita yang nyata,” katanya mengenai drama 40 episod itu yang menampilkan muka baru seperti pempengaruh, Bang Aji, Hello Angah dan Sharina Richie, selain Dr Moja Salim, vokalis band indie, Late Night Frequency yang pernah berkhidmat di Jabatan Psikiatri, Hospital Serdang.

“Ada babak tertentu yang merobek hati anda, kalau berlaku, itu sebenarnya adalah benda yang tercetus daripada dalam hati anda yang dikeluarkan di dalam Hello Bam Bam. Sebab itu, kena tonton.”

Sementara itu, Amy pada sidang media telefilem berkenaan, baru ini, melihat Tik Tok sebagai platform terbaik untuk menyebarkan mesej drama itu yang merupakan sebuah inisiatif seni yang mengangkat isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak, dan kehidupan insan terpinggir.

“Dia sangat memahami konti dan hafal dialog, dua asas penting dalam lakonan. Hasyim, pengarah yang suka ambil banyak shot, tapi kalau diulang 10,000 kali pun,  Bang Aji tetap ingat dialog dia.” – Diva AA tentang Bang Aji

Gandingan mantap Syafie Naswip, Angah dan Bang Aji

Dr Moja, dari bidang psikiatri ke dunia muzik, kini lakonan

“Ini adalah satu inisiatif dalam menyediakan sebuah konten drama inspirasi yang penuh mesej positif bagi tontonan masyarakat, terutamanya remaja yang berdepan tekanan hidup, buli, bunuh diri, krisis identiti, dan kezaliman sosial.

“Bukan saja subjeknya, tapi Hello Bam Bam juga bersifat interaktif yang memberi kuasa kepada audiens untuk menentukan pengakhiran yang dimahukan. Baik pengakhiran gembira atau sedih yang dipilih, mesej yang harus menjadi pegangan ialah ‘hidup itu struggle, tapi kami tak give up.”

Lalu, apa pula kata pelakon lain mengenai Hello Bam Bam?

Angah sebagai Jojo

“Saya tak pernah bawa watak seberat itu dan saya pun tak pernah digandingkan dengan Syafie. Jadi, apabila dia dapat anugerah, memang betullah sebab dia memang hebat. Apabila saya tak pandai nak membawakan watak, dialah yang banyak memberi tunjuk ajar.”

Datin Maria Farida sebagai Cik Wawa

“Siapa tak nak buat drama Tik Tok? Tengah hot  kan. Lagi pula dapat berlakon dengan Diva AA dan boleh maki dia sebab dalam kehidupan sebenar siapa dapat maki dia, selain dikejutkan dengan kehadiran wanita paling cantik (Awin) di set. Tapi jalan cerita sangat menarik, bagus sangat.”

Dr Moja sebagai Moja

“Saya diminta jadi orang jahat yang kutuk pesakit mental, ironinya di situ. Tapi itu membuatnya menarik dan jadi cabaran buat saya sebab sudah tiba masanya dihasilkan drama yang mungkin boleh jadi komersil, menyentuh isu penting dalam masyarakat.”

Diva AA sebagai Deddy

“Saya tabik pada si kenit, si comel Bang Aji. Dia sangat memahami konti dan hafal dialog, dua asas penting dalam lakonan. Hasyim, pengarah yang suka ambil banyak shot, tapi kalau diulang 10,000 kali pun,  Bang Aji tetap ingat dialog dia. Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada drama ini.”