Saat Jiwa Ada Tulus
Di RIF 2025, ada huraian yang perlu diperkirakan usai tontonan yang membuai Kuala Lumpur.

Oleh Zurina Waji | Foto RIF 2025

“… apa yang membuatkan Tulus begitu dicintai? Semata-mata bait puitis lagu-lagunya yang seolah menzahirkan keperibadiannya, atau cara dia menyapa para penggemarnya?”

PESONA berdarah Minang ini melakukan apa yang diharapkan oleh 4,000 penggemarnya – membuai rasa dengan kelunakan suaranya, seawal memberi salam, petang itu, lewat Interaksi.

Juga dengan senyuman yang membikin banyak hati berbunga dan kesederhanaan yang diperlihatkan baik dalam bicara mahu pun penampilan, serba hitam dan snickers putih yang menjadi trademarknya.

Tulus nyata menyenangkan.

“Tak pernah tak penuh setiap kali konsert dia,” saya membisikkan kepada teman yang mengendalikan publisiti RIF 2025 ini sambil kami sama melihat hingga ke ruang duduk belakang Megastar Arena.

RIF 2025, singkatan bagi Ruang Inspirasi Festival anjuran Expoindo bersama Thrive itu baru pertama kali bertamu di Kuala Lumpur. Ia turut membawakan band pop alternatif, Juicy Luicy, selain Tulus, menerusi dua persembahan berasingan dalam masa satu hari.

Diwar-warkan sebagai gabungan persembahan muzik dengan elemen inspirasi dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis, ia disebut memberi pengalaman konsert yang “lebih happening, inspiratif dan penuh emosi.”

TULUS DAN DI CELAH KETERUJAAN

Jam menunjukkan 3.30 petang sebaik lampu pentas dimalapkan, membuat audiens yang setia menanti selepas persembahan pembukaan oleh Aziz Harun serentak bersorak menyambut.

Jelas antisipasi terhadap kemunculan jejaka tinggi lampai kelahiran Bukit Tinggi, Padang, ini yang melahirkan karya berentak jazz dengan paduan pop sejak debut dengan Tulus pada 2011.

“Perkenalkan, nama saya Tulus. Saya seorang penyanyi dan penulis lagu,” katanya, berbasa-basi selepas dua lagu yang mengundang sorakan lagi. Setiap kali audiens bereaksi, hati terdetik, apa yang membuatkan Tulus begitu dicintai?

Semata-mata bait puitis lagu-lagunya yang seolah menzahirkan keperibadiannya, atau cara dia menyapa para penggemarnya?

Pemilihan Tulus mungkin sebagaimana yang disebut penganjur, sebelum ini, iaitu tentang RIF 2025 sendiri sebagai “ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,”

Saya sendiri, mungkin kerana sudah beberapa kali menyaksikan persembahannya terfikir lagi entah buat ke berapa kalinya melihatkan para penggemar yang seolah tidak pernah jemu biarpun dengan pentas sesederhana petang itu.

“Di sebalik rasa senang melihat para audiens melangkah puas di arena yang malamnya menanti giliran Juicy Luicy, juga daripada Indonesia, saya tertanya tentang keberuntungan buat industri, terutama anak seni tanah air.”

BACA: Lebih Happening, RIF 2025 Tampilkan Juicy Luicy

Suasana bagaimana terasa ekstra teruja para penggemarnya yang mempamer senyuman lebar dan telefon bimbit dalam mode sedia untuk merakam sang penyanyi yang melangkah turun dari pentas. Bukan sekali, tapi dua kali.

“Berdua kita hadapi dunia,” seluruh arena bergema dengan suara penggemarnya, jelas asyik apabila Tulus menyambut, mengundang suasana roman, dengan bait berikutnya

daripada lagu Teman Hidup, “Kau milikku ku milikmu… “ sebelum mendekati audiens, lagi, lewat Sepatu yang diperdengarkan menghampiri penghujung persembahan.

Itu bukanlah aneh pun, tapi untuk berupaya menawan banyak hati, menghibur dengan 15 lagu, termasuk Satu Kali, Monokrom, Lagu Untuk Matahari, Sewindu dan Hati-Hati di Jalan, sememangnya tiada apa yang hendak diragukan lagi tentang kelebihan dimilikinya.

Tapi RIF, daripada satu sudut, membuat saya memikirkan semula bagaimana persembahan bagi mempromosi jenama festival Indonesia ini dapat menjadi “jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia.”

Di sebalik rasa senang melihat para audiens melangkah puas di arena yang malamnya menanti giliran Juicy Luicy, juga daripada Indonesia, saya tertanya tentang keberuntungan buat industri, terutama anak seni tanah air.

Persoalan itu terus berlegar sambil seorang teman, sebelum buru-buru beredar, menyimpulkan pengalamannya: “Sebab dia Tulus. Tak ada sebab untuk tidak menyukai dia.”