Coolie, Filem ke-171 Rajinikanth Ungguli Layar Malaysia
Bukan sekadar filem, ia adalah keraian sebuah legasi seorang bintang.

Oleh Zurina Waji | Foto Malik Streams Corporation

“… filem thriller aksi berbahasa Tamil itu mencipta sejarah apabila menjadi filem India pertama di Malaysia yang melangkaui kutipan RM10 juta pada minggu pembukaannya.”

COOLIE yang menyaksikan superstar Rajinikanth kembali beraksi terus hangat di 90 layar Malaysia, termasuk berada dalam carta Top 10 filem paling laris rangkaian pawagam terbesar, Golden Screen Cinema (GSC).

Diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj, filem yang diterbitkan oleh Kalanithi Maran itu meraikan hari ke-10 tayangannya pada 24 Ogos lalu dengan mencatat lebih setengah juta kemasukan secara keseluruhan.

Malaysia Tickets, menerusi platform X, memuat naik berita mengenai Coolie melepasi 550,000 kemasukan dengan 24 Ogos, iaitu hari kesepuluhnya mencatat 8,400 kemasukan daripada 90 panggung.

Mulai hari ke-11 tayangannya, filem itu dilihat mampu meraih kutipan sehingga RM200,000.

Coolie dibawa masuk oleh Malik Streams Corporation di bawah Kumpulan Syarikat Malik Streams yang beroleh hak penuh pengedaran filem itu di Malaysia. Ia telah memulai penayangannya pada 14 Ogos lalu.

TubeLight TV, menerusi muat naik di FB, sebelum ini menyebut filem thriller aksi berbahasa Tamil itu mencipta sejarah apabila menjadi filem India pertama di Malaysia yang melangkaui kutipan RM10 juta pada minggu pembukaannya.

Seawal pengumuman pembikinannya pada September 2023, ketika itu menggunakan judul Thalaivar 171 sempena filem ke-171 yang menampilkan Rajinikanth sebagai pelakon utama, ia yang menampilkan Anirudh Ravichander bagi runut bunyinya telah meraih perhatian luar biasa penggemar filem Tamil.

“Filem ini ada banyak kejutan, twist.” – Abdul Malik yakin Coolie akan terus catat sejarah

Ini diakui Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Malik Streams, Datuk Abdul Malik Dashtigeer yang turut meletakkan sasaran kutipan RM60 juta, sekali gus mencipta sejarah bagi filem India di negara ini.

“Filem ini ada banyak kejutan, twist. Ia sebuah filem aksi dan bagi pasaran Malaysia, disertakan sarikata dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya semasa hadir memeriahkan tayangan perdana filem itu di ibu kota, baru ini.

“Jualan tiket (Coolie), Malaysia No.1. Juga bagi kutipan tiket hari pertama, (filem) Rajinikanth No.1. Kami malah sudah berbincang dengan Rajinikanth dan ya, dia akan datang (ke Malaysia) dalam masa terdekat ini.”

Filem berdurasi 2 jam 48 minit itu juga dibintangi Nagarjuna, Soubin Shahir, Sathyaraj, Shruti Haasan, Rachita Ram, Upendra, dan bintang Bollywood, Aamir Khan. Selain GSC, filem itu turut menguasai senarai utama filem di rangkaian seperti TGV.

Sinopsis

Di dunia yang dikuasai ketamakan dan korupsi, seorang kuli menjadi kuasa luar biasa apabila dia membela golongan yang dilupakan, iaitu para buruh sehinggalah masa silam kembali mengejarnya dan musuh menyerang di kiri kanan yang mendorongnya untuk berjuang demi keadilan.

Legasi seorang bintang, Coolie bukan sekadar filem.

Ujar Abdul Malik lagi, Coolie yang dinamakan secara rasmi pada April 2024 itu sebenarnya adalah keraian sebuah legasi, iaitu lima dekad pembabitan Rajinikanth dalam lakonan sejak tampil menerusi Apoorva Raagangal pada 1975.

“Coolie bukan sekadar filem,” kata pemilik antara syarikat paling berjaya dalam industri hiburan Malaysia ini yang turut menceburi pelaburan hartanah, emas, pertukaran mata wang dan industri perhotelan, selain merupakan seorang dermawan.

“Ini adalah pejalanan yang paling tidak dapat dilupakan dan menarik untuk peminat kerana filem ini menandakan 50 tahun Superstar Padma Bhushan Rajinikanth dalam industri (seni).”