Saat Kaki Tersandung di Latihan Pestapora
Pasca festival muzik dan kesenian, melihat di sebalik kolaborasi yang berisik.

Oleh Zurina Waji | Foto Hitman Solutions

“… membawakan karakter dengan nama panggung, Hindia yang menjadikan muzik untuk refleksi sosial dan politik, dia menawan lautan audiens dengan lagu kritisnya, bersahaja.”

“TAPI itulah… tengok dari jauh Baskara besar mancis je,” kongsi seorang teman, nada separuh kesal, tentang pengalamannya, namun mengingati semula momen itu mengundang rasa lucu pada masa sama.

Latihan Pestapora Malaysia 2025 mungkin sudah berlalu, tetapi masih enak untuk dibualkan, setidaknya sebagai justifikasi kepada lebih 25 pemuzik yang membuat persembahan, daripada pendukung pop ke rock, juga indie ke hip hop, malah dangdut.

Pasal Baskara. Sosok yang dimaksudkan teman tadi ialah Baskara Putra. Di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama bandnya,.Feast sebelum muncul membawakan karakter dengan nama panggung, Hindia yang menjadikan muzik untuk refleksi sosial dan politik, dia menawan lautan audiens dengan lagu kritisnya, bersahaja.

Dimomokkan sebagai platform kolaborasi budaya Nusantara antara dua negara yang diraikan secara terbuka menerusi muzik dan kesenian, penganjuran pertama jenama Pestapora di luar Indonesia itu telah meraih kehadiran 25,000 orang.

Line up latihan menjelang edisi utama Pestapora Jakarta, September nanti, yang dipersembahkan penganjur, Hitman Solutions dan Boss Creator itu, termasuk Kunto Aji dan Pamungkas, turut menyenaraikan Salammusik, Bittersweet dan Bunkface.

Empat grup tanahair dan… Oh! Satu nama lagi, Dolla! Iaitu daripada 12 yang diberi penghormatan di pentas utama.

Bukan rahsia, di pentas sekangkang kera Hingar Bingar, 15 artis tanah air – Dukes, Julia Duclos, Naki, Fahimi, ALVN, Empty Page, Aziz Harun, DJ Cza, Lil J, Elva Suyan, Killa Driz, Gaston Pong, Yonnyboii, Sonnaone dan Ismail Izzani – berhempas pulas menebarkan vibrasi indie di tengah audiens yang marah-marah kepenatan berbaris panjang kerana masih belum berjaya membeli hatta sebotol mineral biarpun selepas lebih sejam.

Masih, di tengah bahang cuaca petang 26 Julai itu, mereka memilih untuk menanti..

Kerana selepas tujuh tahun, Sheila On 7 (SO7) kembali, akhirnya untuk merawat kerinduan dengan karya senostalgia Sebuah Kisah Klasik ke Seberapa Pantas, daripada Berhenti Berharap ke Melompat Lebih Tinggi, selain Sephia yang tidak pernah berhenti menghantui.

“Sam dan attitudenya membuat stadium hangat dijampi sang frontman lewat lagu seperti Darah Muda, Revolusi Rentak Laguku dan Ekstravaganza. Padu, dengan bunyi dan energi yang dilempiaskan, ia menuntut Bunkface dinilai dengan pandangan baharu.”

MALAM INI KITA PUNYA

SheilaGank atau tidak, keberhasilan penganjur menghadirkan band asal Yogyakarta ini yang tinggal Duta sebagai vokalis, Eross (gitar) dan Adam (bass) jadi umpan yang mengundang ketakjuban dan tidak kurang, cemburu.

Tapi, tanpa enggan menafikan kegilaan yang dicetuskan SO7, saya sudah terganggu seawal pembukaan. Duta, barangkali tidak selincah dulu, namun kenapa vibrasi yang pernah diberikannya satu ketika dulu belum juga kunjung? Atau, silap saya kerana meletak ekspektasi?

“Penat tu, show mereka kan back-to-back. Patutnya rehat dah,” kata seorang teman promoter.

Tapi selepas sekian lama penantian tentunya apa yang mahu dilihat harus bersesuaian dengan status SO7 sebagai sebuah band legenda. Atau, hadam saja SO7 versi hari ini yang dirujuk pengguna muda media sosial sebagai “Om Duta” dalam postingan?

Kata seorang teman: “Kenapa SO7 ini, perform asal boleh je.” Seorang teman lain, datang demi SO7, tidak menduga melihat pergelutan Duta sehingga suaranya ditenggelami muzik, namun tetap berharap momen yang akan membuatnya meloncat bakal segera datang.

Nak tak nak, kelemahan audio yang memburukkan lagi keadaan membuat sebahagian audiens segera membandingkan kejutan diberikan Bunkface untuk menjadikan “malam ini kita punya.”

Sam dan attitudenya membuat stadium hangat dijampi sang frontman lewat lagu seperti Darah Muda, Revolusi Rentak Laguku dan Ekstravaganza. Padu, dengan bunyi dan energi yang dilempiaskan, ia menuntut Bunkface dinilai dengan pandangan baharu.

“Tapi nama pun Latihan Pestapora, dan latihan tidak semestinya sempurna,” kata teman promoter tadi lagi.

Ketidaksempurnaan, seperti halnya SO7, nampaknya bukan isu bagi band nostalgia yang membuat penggemar tidak akan serik berharap demi mencetak momen baharu sedang penganjur senyum menepuk kantung.

Latihan Pestapora Malaysia 2025, sungguhpun begitu, tetap memberikan keasyikan, menemukan pada band seperti Barasuara yang muncul bersama Efek Rumah Kaca, sambil cuba memahami mengapa band lokal seumpama Salammusik masihb juga underrated.

Itu buat saya ikut tertanya, apakah edisi latihan ini akan membuka lorong buat artis Malaysia pada Pestapora Jakarta mendatang? Barulah ada namanya keadilan apabila kolaborasi budaya Nusantara antara dua negara ini merentas lautan, Jelas, keajaiban perlu datang.