Pasca Slam X Exists: “Kami sudah buat yang terbaik untuk Abang Johan.”

Di sebalik konsert bersejarah dua band papan atas itu ada impian yang tertunai, akhirnya.
Oleh Zurina Waji | Foto Natrah
“… menghidap kanser, dapat juga dia tengok konsert dengan kemeriahannya. Ini satu benda yang sudah lama Abang Johan impikan, entah berapa lama dia asyik bertanya bila nak buat, bila nak buat.”
“KONSERT kali ini, sebenarnya, apa yang isitimewanya adalah sebab Abang Johan,” kata Along, merujuk malam Slam X Exists – Our Journey yang berlabuh di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 26 Julai lalu.
Tanpa ragu, menurut pemain gitar itu yang bersama Exists seawal penubuhan, insan yang diteriak “Abang Johan” itu adalah sosok yang akan selamanya ada dalam pengkisahan perjalanan dua band asal Johor ini.
“Sebab Abang Johan yang merupakan bekas pengurus dan juga pengasas Exists, dan Slam, adalah antara orang yang bersungguh mahukan Exists dan Slam dipertemukan di satu pentas, konsert bersama.
“Jadi, dalam keadaannya yang sedang menghidap kanser, dapat juga dia tengok konsert dengan kemeriahannya. Ini satu benda yang sudah lama Abang Johan impikan, entah berapa lama dia asyik bertanya bila nak buat, bila nak buat.
“Apabila dah buat, Alhamdulillah. Kita sudah buat yang terbaik untuk dia, juga buat fans,” katanya.
Abang Johan, atau Johan Aziz, 60, menyatukan Ajai yang bermain keyboard, Musa (bass), Shah (gitar) dan Ujang (dram) dengan Along dan Mamat (vokalis) – kedua-duanya baru berusia 12 tahun dan termuda, sebagai Exists sebelum hadir Ezad pada 1995 sebagai penyanyi.
Setahun menjaga Exists yang ketika itu, meledak seawal diperkenalkan lewat Untukmu Ibu, Johan kemudian meninggalkan label Jojo’s Production yang dinaungi band itu. Bersama Shah, mereka mengasaskan Slam yang kekal dengan Zamani sebagai vokalisnya, Lili (bass), Eddie (keyboard) dan Man (dram), selain Shah sendiri.

Hampir 30 tahun menguruskan Slam yang memberikan hits seawal Kembali Terjalin daripada album kedua mereka, Kesan Terbukti, sebelum beralih menjaga kerjaya solo Zamani, pada 2018 dia disahkan menghidap kanser usus yang merebak ke tulang dan memaksanya menjalani kemoterapi sehingga 75 kali, selain melakukan pembedahan bagi membuang usus dan sebahagian hati.
Pantaslah mengapa konsert anjuran Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture ini terlalu peribadi.
Tidak hanya Johan dan band, malah penggemar, terutama yang membesar bersama untaian dua band ini yang memperdengarkan 30 lagu, malam itu, memberi momen manis, antaranya apabila Ezad memperdengarkan hit Slam, Tak Mungkin Berpaling sebelum Zamani memberikan Untukmu Ibu dalam versinya.
“Konsert ini bukan saja tentang impian yang lama tertunda dan akhirnya terlaksana,” katanya. “Malah lagi satu, di sini kami dapat membuktikan kami tidak sama. Sungguhpun Exists lebih senior (daripada Slam), ini kesempatan untuk menunjukkan kami masih up-to-date, masih aktif, masih bertenaga membuat persembahan.”
“… malam bersejarah yang telah memberi nafas baharu kepada Slam dan Exists. Sebab menerusi kolaborasi ini bertambah fans apabila fans Exists dapat menonton Slam, selain fans Slam pun dapat menonton Exists… “

KALA SLAM DAN EXISTS KEMBALI TERJALIN
“Ini simbolik penghargaan buat insan seperti Abang Johan, selain fans yang setia menemani,” kata Along. “Selama perjalanan Slam dan Exists, melepasi tiga dekad perjuangan dan tidak tanpa onak ranjau yang Alhamdulillah, mengirim kami sejauh ini.”
Sempat, dalam nada berseloroh, dia menambah, “Juga, kami tak naklah terlalu nampak abang-abang sangat. Pokoknya, siapa yang tidak pergi konsert ini memang rugi sebab entah bila pertemuan rare Slam-Exists dapat diadakan lagi, selain persembahan akan datang di Singapura pada 29 November nanti.”
Dia berkata, pertemuan Slam dan Exists sememangnya sudah dirancang sejak 2018 lagi.
“Baru sekarang terlaksana, Alhamdulillah konsert sold out dan happening,” ujarnya, merujuk kehadiran 5,000 audiens pada malam Slam X Exists – Our Journey walaupun bertembung dengan satu festival pada tarikh sama.
“Ini adalah sebuah malam bersejarah yang telah memberi nafas baharu kepada Slam dan Exists. Sebab menerusi kolaborasi ini bertambah fans apabila fans Exists dapat menonton Slam, selain fans Slam pun dapat menonton Exists dan secara automatiknya kedua-dua band sudah dapat fans baharu.”
Ditanya pandangannya mengenai lagu-lagu Exists dan Slam, akuinya konsep dan muzik dua band ini ada persamaan, terutama lagu berentak perlahan yang antaranya dicipta komposer sama seperti LY dan Saari Amri.

“Cuma Exists lebih agresif dalam lagu berentak fast, tapi bagi lagu berentak perlahan ada persamaan di situ. Lagu walaupun tidak sama, moodnya sama. Jadi, apabila bergabung nampak ada persamaan, namun masih dengan cara tersendiri,” tegasnya.
Jelas, tiga dekad bertahan bukan satu jangka masa yang pendek, apatah lagi mudah.
Justeru, sering mereka dihadapkan dengan pertanyaan tentang kunci ketahanan mereka. Along yang mendengarnya, sebaliknya berkata: “Tidak ada yang kita rasa nak bertahan, penting dapat buat sesuatu yang baharu. Lagu baharu, konsert baharu, contohnya.
“Sebab tidak boleh (berikan) benda sama untuk kita saji kepada orang. Kalau bagi makan, misalnya, tidak bolehlah lauk yang sama. Jika konsert, setiap konsert mesti ada pembaharuan, mesti ada kelainan supaya tidak tersekat di tempat sama agar orang tidak bosan hanya melihat benda sama.”
Tahun depan, Exists yang baru ini muncul dengan Alasanmu 2025 akan meraikan ulang tahun mereka yang ke-35. Mungkinkah kolaborasi Slam-Exists diteroka, misalnyha dengan lagu baharu pula?
“Entah bila boleh buat, tapi perbincangan itu ada. Tahun depan, mungkin? Insya-Allah,” kata Along, senyum penuh makna.
Comments are closed.