Berani Ronggeng dengan Aruel & The Fasola?
Pada Malam Pesta Ronggeng di Saloma Kuala Lumpur yang membangkitkan nostalgia, Ogos ini.

Oleh RUMI

“Malam penuh magis itu juga bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia era 40an hingga 60an, terutamanya karya agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.”

“ADA elemen Malay Jazz dan klasik, serta suntikan latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa dan Twist,” kata Aruel yang membentuk Aruel & The Fasola mengenai malam persembahan mereka di Saloma Kuala Lumpur nanti.

Ia merupakan edisi sulung Malam Pesta Ronggeng yang dianjurkan oleh HS Event & Entertainment.

Dibuka untuk tempahan pada harga serendah RM4,000 semeja atau RM400 seorang, termasuk untuk makan malam, ia mempersembahkan konsep ala Buloh Inn yang terkenal dengan suasana klasik dan eksklusif.

Malam penuh magis itu juga, ujar Aruel, bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia era 40an hingga 60an, terutamanya karya agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.

Persembahan dua malam itu juga akan diiringi 10 pemuzik, termasuk penyanyi latar.

“Kami bawakan gubahan muzik dengan gabungan elemen klasik dan moden agar lebih segar untuk didengar,” katanya, memetik kenyataan medianya. “Ia bukan saja mengekalkan keaslian karya lama, tapi turut memberi sentuhan baharu supaya relevan dengan generasi masa kini.”

Tapi kenapa ronggeng yang diangkat menjadi tema malam berkenaan?

“Dalam sudut kebudayaan, memang wujud istilah tarian ronggeng,” kata Aruel. “Namun bagi kami, Aruel & The Fasola, ronggeng itu kami gambarkan dengan suasana tari menari menerusi pelbagai elemen muzik yang pasti akan menukar malam menjadi malam tari menari untuk semua hadirin.”

“… membuat semua tetamu bangun dan menari bersama pada malam itu. Kami mahu menghidupkan semula kenangan manis dengan lagu-lagu klasik yang sudah sebati dengan jiwa ramai pendengar.”

Teruja dengan kesempatan diberikan selepas sekian lama menghibur di underground dan majlis tertutup, dia berharap persembahan mereka kelak benar dapat mengembalikan nostalgia, sambil memberi kepuasan sepenuhnya kepada tetamu.

“Semestinya kami akan cuba membuat semua tetamu bangun dan menari bersama pada malam itu,” ujarnya. “Kami mahu menghidupkan semula kenangan manis dengan lagu-lagu klasik yang sudah sebati dengan jiwa ramai pendengar.”

Bagi penganjur, Datin Riza Che Umar, pemilihan Aruel & The Fasola bertepatan dengan matlamat penganjuran Malam Pesta Ronggeng yang diharap menjadi platform untuk memperkenalkan keindahan muzik klasik dan tradisi tari menari kepada generasi muda.

Malam Pesta Ronggeng diadakan untuk mencipta ruang hiburan yang bukan saja eksklusif, tetapi juga mengekalkan elemen seni budaya tempatan yang semakin dilupakan. Kami ingin semua tetamu merasai keunikan muzik klasik dengan sentuhan moden dalam suasana penuh gaya,” katanya, turut merancang untuk mengadakannya secara berkala ekoran sambutan awal yang memberangsangkan.

Akses

  • 15 & 16 Ogos 2025
  • Saloma Kuala Lumpur

Tiket

  • DIAMOND – VIP (RM8,000/ RM800 per pax), PLATINUM (RM6,000/ RM600 per pax) & GOLD (RM4,000/ RM400 per pax)
  • Semua pakej termasuk makan malam dan cenderahati rasmi
  • Untuk tempahan meja/ tiket, sila hubungi: SNI – 012 6624079, HATTA – 018 2239934 & JOE -017 4705455