Andmesh & Ziva Magnolya Hangatkan Festival Tentang Cinta
Ogos ini, menerusi konsert berskala besar yang menghimpunkan artis serantau.

Oleh RUMI

“… menyatukan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia ini menampilkan barisan penyanyi popular seperti Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya yang akan mempersembahkan rangkaian lagu cinta untuk peminat mereka.” – Julianah

LAGU-lagu cinta akan berkumandang, mewarnai Kota Kinabalu dengan lantunan lunak dan bait-bait indah daripada bintang Indonesia, Andmesh Kamaleng hinggalah Ara Johari, selain bakal dijampi Hael Husaini.

Digelar Festival Tentang Cinta, konsert berkenaan yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 9 Ogos nanti merupakan penganjuran sulung Extreme Visionary Venture.

Pengarah Urusannya, Julianah Ishak, berharap gabungan bintang muda rantau ini dapat menarik minat penggemar muzik, terutama masyarakat Sabah.

“Konsert yang bakal menyatukan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia ini menampilkan barisan penyanyi popular seperti Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya yang akan mempersembahkan rangkaian lagu cinta untuk peminat mereka.

“Selain Andmesh dan Ziva, turut memeriahkan konsert ini adalah Ara Johari, Adira Sulaiman, Mary Grace dan Hael Husaini,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Ziva, dalam kenyataan sama, mengakui teruja dengan kunjungan pertamanya di Negeri Bawah Bayu itu.

“Ini pertama kali saya akan menyanyi di Kota Kinabalu,” menurut pelantun Peri Cintaku itu. “Ia adalah satu pengalaman yang luar biasa dan saya sangat menghargai peluang yang diberikan Festival Tentang Cinta.”

Kali kedua berkunjung ke Sabah, bagi Andmesh yang dikenali, antaranya menerusi lagu Cinta Luar Biasa itu menyifatkan festival seumpama ini boleh menjadi medan bagi mengeratkan hubungan sesama peminat serantau melalu muzik.

“Saya sangat senang kerana dapat menyatukan kekeluargaan ini melalui muzik,” katanya mengenai festival yang disokong Tourism Malaysia itu. “Kami akan beri persembahan terbaik daripada segi susunan muzik, semangat dan pengalaman.”

Akses

  • 9 Ogos 2025
  • 8pm
  • SICC, Kota Kinabalu

Tiket

  • RM998 (VVIP), RM488 (VIP), RM288 (Gold) & RM158 (Silver)
  • Layari www.ticket2u.com.my untuk pembelian tiket.