ALPHA Berputar 180 Darjah Lewat P Ramlee & Saloma
Single kedua yang menyerlahkan keupayaan kumpulan anak muda ini.

“… lagu ini merupakan kolaborasi komposer, Justin Seow, Mohsein dan RFE sebagai manifesto artistik yang memperkenalkan identiti mereka sebagai kumpulan yang berani mencabar norma dan tampil dengan bunyi yang tersendiri.”

APA cerita ALPHA dan P Ramlee & Saloma?

Bukan gimik semata, namun dua nama keramat itu sememangnya judul lagu berentak balada yang penuh emosi yang dilancarkan sebagai single kedua ALPHA yang dianggotai Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky.

Diterbitkan di bawah Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan kolaborasi komposer, Justin Seow, Mohsein dan RFE sebagai manifesto artistik yang memperkenalkan identiti mereka sebagai kumpulan yang berani mencabar norma dan tampil dengan bunyi yang tersendiri.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, percaya bakat Asia Tenggara perlu diketengahkan dalam acuan tersendiri.

“ALPHA adalah bukti yang nyata bahawa dengan bimbingan dan platform yang betul, kita boleh menghasilkan bintang setaraf antarabangsa,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Ini apa yang anda perlu tahu mengenai ALPHA:

Lahir Dari Pentas Realiti: Big Stage Alpha

Spin-off kepada program popular, Big Stage, mereka adalah tujuh daripada 18 peserta lelaki berumur antara 18 hingga 37 tahun daripada Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia yang paling menyerlah dalam persaingan selama lapan minggu.

Dinilai berdasarkan persembahan solo dan berkumpulan oleh juri profesional, iaitu Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini dengan pakej meliputi vokal, karisma, gaya serta personaliti unik yang tersendiri.

Visi & Misi ALPHA: Bersatu untuk Memimpin

Alpha, lambang permulaan, pemimpin dan kekuatan utama, dizahirkan menerusi gabungan tujuh karakter berbeza yang bersatu sebagai ALPHA untuk memimpin era baharu muzik Asia Tenggara.

Berbeza latar belakang, namun mereka disatukan dengan satu impian dan satu misi – untuk mengangkat bakat serantau ke tahap antarabangsa melalui muzik yang segar, berani dan berkualiti tinggi.

Single debut Mona Lisa (Bang Bang) – Karya Pop Bertaraf Global

Diperkenalkan menerusi single Mona Lisa (Bang Bang), sebuah lagu pop moden dengan suntikan elemen K-pop yang bertenaga, catchy dan penuh attitude. Dicipta Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Leaw, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand, muzik videonya dilancarkan pada 6 Julai lalu.

Sementara itu, single P Ramlee & Saloma sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama.