“Ramai arkitek dan tangan magis… “ – 40 tahun Sheila Majid dalam seni

Bakal dizahirkan lewat Sheila Majid 40 Years in Music sebagai tribute kepada mereka di sebalik tabir kariernya.
Oleh RUMI
“… saya bertuah mendapat khidmat ramai arkitek dan tangan magis yang membantu karier saya sehingga kini. Jadi, Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute… “ – Sheila Majid
“EMPAT dekad atau 40 tahun satu fasa perjalanan karier yang cukup panjang,” kata Datuk Sheila Majid yang bakal kembali ke pentas dalam sebuah keraian secara besar-besaran, tentunya, pada 8 November nanti.
Digelar Sheila Majid 40 Years in Music, dia sendiri malahan sukar untuk mempercayai dia sudah melangkah sejauh ini dan semua itu akan dipahat untuk menjadi momen emas dunia seni tanahair pada tahun 2025.
“Saya juga tidak pernah menyangka memiliki keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak 40 tahun lepas,” katanya lagi, memetik kenyataan medianya usai pengumuman konsert anjuran Altus Prohouse itu dengan TopGallant Show selaku penganjur bersama.
Bagi pelantun yang mula meledak menerusi Pengemis Muda ini:
“Ini adalah anugerah buat saya. Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni Nusantara juga bukanlah hasil individu, tetapi saya bertuah mendapat khidmat ramai arkitek dan tangan magis yang membantu karier saya sehingga kini.
“Jadi, Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute terhadap banyaknya pembabitan inividu-individu hebat di belakang saya dan menjadi tanda manis kepada karier saya yang masih diterima baik oleh generasi kini.”

Miselyn Yee Siew, mewakili Altus Prohouse, menyifatkan penyanyi berkenaan adalah figura penting dalam dunia muzik Nusantara dan sewajarnya diraikan dalam sebuah penganjuran konsert yang cukup gah.
“Siapa yang mahu melepaskan momen atau sejarah yang tidak patut dilupakan – Sheila Majid 40 tahun dalam bidang muzik,” katanya, seraya menjelaskan pemilihan pentas mega, Axiata Arena sebagai lokasi konsert.
“Usia 40 tahun atau empat dekad adalah sebuah pencapaian yang yang luar biasa untuk seorang karyawan seni bukan hanya bertahan, tetapi terus relevan dalam pasaran masa kini.”
Justeru, katanya, Sheila Majid 40 Years in Music bukan sekadar konsert, sebaliknya sebuah pesta merayakan perjalanan panjang penuh ranjau, detik-detik penting dan manis penyanyi berusia 60 tahun itu.
“Juga bagaimana lagu-lagu miliknya seperti Sinaran, Hitam Putih Kehidupan, Legenda, Antara Anyer dan Jakarta yang telah dihasilkan pada era 80an, 90an hidup subur melangkaui batas serta mampu menawan hati penggemar muzik generasi kini,” tambahnya.
Akses
- 8 November 2025
- 8.30pm
- Axiata Arena, Bukit Jalil
Tiket
- RM3,400 (PARTY ZONE), RM768 (VVIP), RM668 (VIP), RM568 (CAT 1), RM468 (CAT 2), RM368 (CAT 3), dan RM268 (CAT 4)
- Layari www.ticket2u.com.my/sheilamajid40 untuk pembelian
- Bagi pembeli tiket OKU, sila WhatsApp ke talian hotlne +6019 595 1931

Comments are closed.