Dianjak ke November, AMK Indie 2025 Satu Solidariti

Di sebalik suramnya sambutan awal, festival perlu diteruskan demi survival muzik lokal.
Oleh RUMI
“… kami tidak batalkan. Kami hanya ubah tarikh. Ini kerana kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif lokal dan kami tahu masih ada komuniti yang masih menginginkannya terus hidup.”
FESTIVAL Aku.Muzik & Kamu (AMK) Indie 2025 yang sepatutnya berlangsung minggu ini, kini telah dianjak ke November nanti, sekali gus mendedahkan realiti pahit yang harus dihadapi industri muzik lokal.
Dianjurkan Coaction Events bersama Westzone Entertainment, acara itu telah diberikan tarikh baharu, iaitu pada 29 dan 30 November.
Aiman daripada Westzone Entertainment, dalam kenyataannya, menyifatkan situasi ini mencerminkan cabaran sebenar dalam usaha membina ruang untuk muzik lokal, termasuk mendapatkan sokongan sewajarnya daripada orang ramai.
“AMK Indie 2025 dibina untuk meraikan muzik kita sendiri, tetapi realitinya sambutan terhadap inisiatif ini masih belum mencukupi,” katanya, memberikan alasan penundaan.
“Kurangnya sokongan terhadap artis lokal memberi kesan besar kepada jualan tiket, dan akhirnya menjejaskan kelangsungan festival ini.”
Begitu pun, mereka tekad dan enggan dilihat menyerah kalah begitu saja.
“Sebab itu, kami tidak batalkan. Kami hanya ubah tarikh. Ini kerana, kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif lokal, dan kami tahu masih ada komuniti yang masih menginginkannya terus hidup,” tambahnya.
BACA: Dari Cromok, Hujan ke Butterfingers, AMK Indie 2025 Bawa 21 Band, 100% Lokal!

AMK Indie 2025 kekal dengan 21 band lokal sepertimana diumumkan, sebelum ini, sepanjang dua hari festival itu di Litar Antarabangsa Sepang yang menggabungkan muzik, daripada metal hingga ska pemain senior dan bakat baharu, antaranya Cromok, Metalasia hingga Hujan, SalamMusik, dan Gerhana Skacinta.
Aiman, dalam kenyataan sama, mengakui AMK Indie 2025 berdepan banyak cabaran, termasuk persaingan daripada konsert berskala besar lain dan ruang promosi yang terhad.
“Apabila ditengok semula, kami tahu festival ini memerlukan lebih masa untuk mencapai orang yang betul, tarik sokongan yang mencukupi, dan beri pengalaman yang kami sendiri bangga nak persembahkan.
“Jadi, kami putuskan untuk alih tarikh, bukan kerana kami menyerah, tapi sebab ingin menganjurkan festival ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya, sambil menekankan pada akhirnya, sokongan peminat juga yang menjadi penentu hidup atau matinya sebuah festival muzik.
Kenyataan itu juga menyebut harga tiket kekal serendah RM80, manakala bagi yang sudah membeli awal, versi tiket yang dikemas kini akan dikeluarkan kepada semua pemegang menjelang acara. Sila layari ilassotickets.com.my untuk pembelian.
Comments are closed.