Apa Lagu Rock M Nasir Paling Power?

Lebih 3,000 lagu diciptanya, namun judul yang satu ini ternyata tidak tertanding sampai ke hari ini.
Oleh Zurina Waji
“Kerana ia sebuah lagu balada dan orang Asia, atau Timur Tengah ini memang suka pada balada. Tapi pada masa yang sama dia (meminati) rock balada.”
“BAKAT sentiasa ada, tapi keperluan pada waktu itu yang melahirkan banyak bakat,” kata Datuk M Nasir, membalas kepada pandangan mengenai kegemilangan muzik rock era 80an dan 90an, terutamanya.
“Kemeriahan itu lahirkan ramai bakat.”
Mana mungkin untuk menyangkal kenyataan daripada seorang komposer sepertinya yang merupakan antara tangan-tangan magis yang menaikkan ramai penyanyi dan band rock dengan ciptaannya.
Iaitu, lagu-lagu yang ikut memperkenalkan penulis seperti Allahyarham Loloq dan Bob Lokman, antaranya.
Justeru, bukanlah aneh apabila pada 27 September ini gilirannya untuk memperdengarkan lagu-lagu rock ciptaannya, dan mungkin beberapa judul yang “dirock-kan”, menerusi sebuah konsert yang digelar Dato’ M.N46IR Cipta 3.
Dianjurkan Icon Entertainment dengan Etiqa sebagai rakan strategik utama, ia bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bukan rahsia M Nasir memiliki ratusan, atau mungkin ribuan, judul rock yang masih menjadi siulan sampai kini.
Tiara, misalnya, diberikan kepada band Kris yang kembali meledak di Nusantara, beberapa tahun ini, atau Srikandi Cintaku yang menaikkan nama Bloodshed sebelum dikeroncongkan olehnya, malah dijadikan lagu runut bunyi filem box-office, Hantu Kak Limah arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Cuma, antara judul rock yang berada di dalam arkib M Nasir, mana satu paling membekas baginya?
“Yang mula memecahkan scene (rock),” kata M Nasir, pada satu pertemuan kami, “Fantasia Bulan Madu.”
Ditanya lanjut, ujarnya, “Kerana ia sebuah lagu balada dan orang Asia, atau Timur Tengah ini memang suka pada balada. Tapi pada masa yang sama dia (meminati) rock balada. Ada orang menghasilkan lagu balada lain yang dia kata rock, tapi tak berapa rock.
“Tapi ini (Fantasia Bulan Madu) lagu rock, (sebelumnya) ada lagu Kamelia tapi itu bukan lagu kita, itu lagu Indonesia. Apabila kumpulan muda seperti Search lahir pada waktu itu dan menyanyikan lagu rock balada yang macam itu dan reaksi daripada orang ramai sangat (hebat)… boleh dijadikan bukulah.”

“Penciptaan budaya yang baru, trend pada waktu itu dan macam-macam lagi yang memberi kerja kepada ramai orang kerana satu lagu yang menjadi trend pada masa itu. Dia (Fantasia Bulan Madu) macam… dia yang memulakan.”
LAGU YANG MEMULAKAN
Jujur, menurut M Nasir, beliau tidak menduga Fantasia Bulan Madu yang dimuatkan di dalam album 1987 Search yang berjudul Mentari Merah di Ufuk Timur akan mendapatkan sambutan sebegitu dahsyat.
Ciptaan M Nasir sepenuhnya, ia meledak di Indonesia dengan judul Cinta Kita sebagai duet Amy Search dan Inka Christie. Ia juga menjadikan Search, band rock tanahair digilai Indonesia yang turut dihantui lagu seperti Isabella, juga ciptaan M Nasir dengan lirik Bob Lokman.
“Kita yang di dalam ini (industri) tidak mengharap banyak sangat,” katanya. “Kita agak, kita mungkin, kita usaha, kita cuba buat daripada pengalaman dan pengetahuan kita. Kita boleh agak, tak boleh tahu kerana apabila sesuatu…
“Kenapa saya katakan muzik lagu itu penting, kerana bermula daripada lagulah lain-lain itu tumbuh. Kerana daripada lagu, ada penerbit, ada syarikat rakaman, ada penerbit konsert, ada orang nak belajar muzik.
“Penciptaan budaya yang baru, trend pada waktu itu dan macam-macam lagi yang memberi kerja kepada ramai orang kerana satu lagu yang menjadi trend pada masa itu. Dia (Fantasia Bulan Madu) macam… dia yang memulakan.”
Sementara band seperti Sweet Charity mempengaruhi banyak band yang kemudiannya mencetuskan scene muzik rock pada pertengahan 80an, jelas M Nasir, wajar untuk melihat perkembangan muzik pada zaman sebelumnya.
“Kena lihat zaman sebelum itu, iaitu yang melahirkan zaman sebelum itu, orang seperti penulis lirik, pencipta lagu, penyanyi yang membesar pada tahun 70an. Pengalaman pada tahun 70an itu yang menjadikan (muzik) 80an,” katanya.
Berkonsep Malam Ini Gua Rock, konsert Dato’ M.N46IR Cipta 3 yang juga keraian trilogi M.Nasir Cipta boleh disaksikan dengan harga tiket serendah RM258. Sila layari www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 untuk pembelian tiket.

Comments are closed.