Relevan Lagikah Misha Omar?

Bukan sekadar menguji pasaran, konsert 29 November ini sememangnya keraian yang dinantikan.
Oleh RUMI
“DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang, tapi bagaimana perjuangan karier yang telah ditapaki lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat.”
BOLEH dibilang dengan jari berapa banyak konsert mega yang pernah diadakannya di sebalik bakat, selain hits dimiliki.
Padanlah apabila pengumuman DiA Misha Omar dilihat bakal melakar sejarah penting selepas lebih 20 tahun pemilik tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ini membina nama dalam dunia seni tanahair.
“DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang, tapi bagaimana perjuangan karier yang telah ditapaki lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat,” kata Misha, memetik kenyataan medianya.
Jelas bukan cuma satu lagi konsert, DiA Misha Omar adalah sebuah keraian perjalanan seni, merayakan muzik yang tetap subur dan tanda apresiasi terhadap sokongan lebih dua dekad yang diperolehinya sepanjang bergelar penghibur.
Ia juga menjadi titik perjalanan fasa baharu bintang yang mula diperkenalkan menerusi single Bunga-Bunga Cinta itu yang memilih untuk jarang bikin konsert, walaupun industri seni dibanjiri persembahan live.
“Ironi, saya tidak pernah mempunyai kelab peminat, tetapi dengan kuasa karya bermutu yang diberikan kepada saya, dengan kepercayaan peminat bahawa saya masih relevan untuk menghiburkan mereka, maka perjalanan seni saya dapat bertahan sehingga kini,” ujarnya yang baru muncul dengan single Break.

“Siapa sangka, diam-diam saya berjaya melewati hitam putih 20 tahun sebagai seorang penghibur. DiA Misha Omar adalah titik destinasi baharu yang akan saya tandai dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua.
“Ia umpama sebuah Riwayat Cinta daripada Misha Omar kepada semua. Saya mahu melihat adakah peminat Masih Mempunyai Rasa Itu terhadap Misha Omar. Jika ada, Pulangkan rasa itu dan Semoga Abadi DiA MIsha Omar dalam ingatan kita bersama.”
Dianjurkan oleh Double M Production dengan Altus Prohouse sebagai Pengurus Konsert DiA Misha Omar, konsert berskala besar yang akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu adalah sebagai menepati janjinya selepas kejayaan Misha Omar Back to Basic yang lebih bersifat intimasi.
Tanpa menjanjikan hal yang luar biasa terhadap penganjuran DiA Misha Omar, Altus Prohouse hanya mahu memastikan hadirin menikmati kepuasan dan pengalaman baharu yang pernah didapatkan menerusi persembahan Misha sebelum ini.
Jelas wakilnya, Miselyn Yee Siew, “Kami akan memastikan sesuatu yang berkualiti, pengalaman menikmati konsert yang hebat dengan barisan pemuzik dan persembahan panggung daripada sang legenda, Misha Omar pada tahap terbaik pada DiA Misha Omar, malam 29 November nanti.”
Tiket berharga serendah RM288 akan mula dijual pada 25 Julai ini, bermula jam 10 pagi.
Akses
- 29 November 2025
- 8pm
- Mega Star Arena, Kuala Lumpur
Tiket
- RM288 (SILVER), RM388 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM588 (DIAMOND), RM688 (VIP 2), RM1,200 (VIP 1) dan RM1,200 (2 pax, ROYAL TWIN SEAT). Pembeli VIP 1 akan berpeluang untuk Meet & Greet dan mendapatkan pas soundcheck
- Tiket akan mula dijual pada 25 Julai, jam 10 pagi
- Layari https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar untuk pembelian
- Pembeli OKU disediakan saluran khas secara WhatsApp di talian hotline +6011 1660 1122
Comments are closed.